Kelahiran adalah anugerah Tuhan kepada manusia dan makhluk yang lain bagi meneruskan zuriat. Biar bagaimana keadaan sekali pun, merasai nikmat hidup dan bersyukur menjadi lebih bererti jika seluruh kehidupan setiap makhluk berada dalam keberkatan. Justeru, ketabahan hati seorang nelayan buta yang lebih separuh abad mencari rezeki di laut mencelikkan akal orang yang sempurna betapa usaha adalah keperluan untuk hidup, bukannya berpeluk tubuh. Kegigihan nelayan buta ini mengundang simpati dan doa orang ramai.
Kesempurnaan fizikal atau anggota badan ketika lahir menjadi keutamaan setiap ibu bapa terhadap anak-anak. Kecacatan di mana-mana bahagian badan pasti menjejaskan pergerakan mereka ketika sedang melalui proses tumbesaran. Bagi kes yang istimewa, kecacatan anggota fizikal sedikit pun tidak menjejaskan keupayaan mental untuk meraih kejayaan. Di dalam masyarakat Malaysia, sedikit demi sedikit ruang kejayaan diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menyumbang buah fikiran, tenaga dan masa mereka bagi pembangunan negara.
Kemudahan infrastruktur di bangunan kerajaan umpamanya disesuaikan bagi kemudahan mereka. Butang aras di dalam lif yang dahulunya direka pada ketinggian tertentu, kini direndahkan dan lebih mudah untuk ditekan. Manakala laluan siar kaki di taman-taman rekreasi awam mula mengambilkira keperluan golongan ini. Kesedaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semakin menyerlah setelah didedahkan dengan kebaikan menyediakan kemudahan untuk golongan berkenaan.
Pengangkutan awam turut berperanan menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan kemudahan yang serupa. Jika dahulu penumpang bas berebut untuk memilih tempat duduk, kini keutamaan diberikan kepada golongan OKU dengan memperuntukkan tempat duduk yang lebih luas dan selesa.
Keupayaan menyediakan kemudahan kepada OKU tidak akan bererti bagi kerajaan jika kanak-kanak OKU dari mula kelahiran hingga dewasa tidak diketengahkan kepada pengetahuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Seruan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa keluarga yang mempunyai anak-anak OKU agar tidak malu untuk mendapatkan khidmat bantuan daripada agensi kerajaan yang bersedia menghulurkan bantuan. Stigma keluarga yang berasa malu dan berat hati untuk mendaftar anak-anak OKU hanya memudaratkan dan merugikan diri anak-anak tersebut.
Berdaftar dengan agensi kerajaan yang berkaitan memberi manfaat yang besar kepada keluarga. Selain daripada anak-anak OKU mendapat pembelaan dari segi kesihatan, perbelanjaan hidup dan perhatian, ibu bapa dapat berjumpa dengan para pakar yang sedia memberi bantuan dan bimbingan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka. Melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan membantu proses sosialisasi yang lebih bermakna. Sokongan sosial daripada persatuan dan galakan daripada pakar akan menolak jauh tohmahan segelintir ahli masyarakat yang memandang rendah keluarga yang mempunyai anak OKU ini.
OKU yang berjaya adalah mereka yang sedia untuk berubah. Menangisi kecacatan dan kekurangan diri tidak akan memberi apa-apa makna untuk berjaya dalam hidup.
Kisah dua orang rakan yang saya kenali sebagai pekerja gigih boleh dijadikan iktibar kepada kita untuk melihat betapa mereka juga boleh berdikari. Kedua-duanya rabun mata kiri dan kanan tetapi masih ingin mencari rezeki sendiri dan tidak mengharapkan ihsan daripada masyarakat.
Sazani adalah tukang urut refleksiologi yang telah lama bekerja di Kuala Lumpur. Berasal dari Sabah, beliau merantau ke kota raya untuk mengubah keadaan hidup dan memilih perkhidmatan refleksiologi sebagai asas kepada sumber pendapatan sendiri. Belajar dengan rakan-rakan lain di Malaysian Blind Association (MBA), beliau melangkah dengan yakin untuk mencari wang sendiri bagi masa depannya. Kini beliau sedang menunggu kelahiran anak yang pertama setelah mendirikan rumah tangga dengan wanita normal tahun lepas. Setiap hari Sazani berulang-alik dari Sepang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan tidak pernah mengeluh mengenai kecacatannya.
Kedua ialah Hishamudin, tinggal di Kampung Baru dan telah berkeluarga. Berbeza daripada Sazani, Hishamudin telah bersedia untuk buta sepenuhnya. Pelanggannya dalam urutan refleksiologi memang ramai dan kadangkala tidak menang tangan untuk melayan panggilan pelanggan yang merangkumi orang perseorangan, orang kenamaan dan pegawai kerajaan. Beliau seorang yang gigih dan berani meluaskan perniagaannya serta pernah menawarkan perkhidmatan refleksiologi di Menara Kuala Lumpur. Di samping itu beliau juga memberi khidmat dari rumah ke rumah dan hotel. Sama seperti Sazani, Hishamudin tidak pernah mengeluh kekurangan dirinya. Setiap kali ada kesempatan beliau akan menawarkan khidmat urut kaki kerana berprinsip setiap orang berpotensi untuk menjadi pelanggan yang setia.
Kita percaya ramai lagi orang kurang upaya seperti Sazani dan Hishamudin yang gigih berusaha sendiri untuk memajukan hidup masing-masing. Nelayan tua dan dua lelaki pengusaha kesihatan alternatif seperti ini bakal menjadi semangat kepada orang yang senasib dengan mereka. Suntikan dorongan betapa orang cacat boleh berjaya akan melenyapkan sama sekali persepsi masyarakat yang memandang rendah kepada keupayaan orang kurang upaya untuk berdikari sendiri.
No comments:
Post a Comment