Banjir yang berlaku kelmarin mengulangi sejarah lama iaitu kira-kira empat tahun yang lalu. Bandaraya Kuala Lumpur kembali bergenang dengan air di kawasan-kawasan tumpuan seperti Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Kampung Baru. Walaupun tidak sehebat banjir di Johor pada tahun lepas, kesan banjir ini tetap meninggalkan trauma yang sukar dihilangkan dalam masa yang singkat.
Banjir di Kuala Lumpur berlaku sangat pantas. Hujan yang turun tanpa henti meningkatkan paras sungai dan parit serta longkang yang dibina di seluruh bandaraya ini. Air yang tidak dapat mengalir akan bergerak memasuki ruang-ruang yang ada termasuk premis perniagaan, rumah dan kenderaan yang terperangkap. Kerugiannya pula tentulah mencecah ribuan ringgit jika melibatkan peralatan elektrik, perabot, pakaian atau mesin. Akhirnya peniaga mengeluh kerugian dan terpaksa menanggung beban akibat bencana alam.
Banjir yang kerap berlaku disebabkan pelbagai faktor dan biasanya peralihan angin monsun dikaitkan dengan hujan yang lebat. Orang ramai akan tertanya-tanya apakah banjir berlaku dengan kerap ini disebabkan oleh peralihan angin monsun sahaja atau ada sebab-sebab lain seperti pengurusan sungai, sampah dan sistem peparitan. Pihak berkuasa mentadbir iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tentunya mempunyai pasukan perancang bandar yang mantap untuk menguruskan pembangunan Kuala Lumpur yang bebas daripada banjir seperti yang berlaku ini.
Aspek yang wajar diberi perhatian kini oleh perancang bandar ialah psikologi penduduk bandaraya. Mangsa utama ialah penduduk Kuala Lumpur sendiri yang mendiami kondominium, rumah pangsa dan taman-taman. Termasuk juga kawasan setinggan yang masih wujud di celah-celah pembangunan yang pesat. Mereka yang tidak mempunyai rumah dan tidur di tepi jalan juga berhadapan dengan kesan psikologi banjir ini. Mangsa-mangsa lain ialah mereka yang terperangkap dalam kesesakan dan juga pelancong asing. Semua mangsa sama ada secara langsung atau tidak menghadapi tekanan yang disebabkan oleh banjir.
Tekanan adalah asam garam dan rencah hidup bagi seseorang yang normal. Hidup dengan tekanan adalah hidup yang normal. Tekanan yang berlebihan dan tidak dapat diatasi itulah yang menyebabkan gangguan ke atas kesihatan fizikal, mental dan spiritual. Kita tidak dapat lari daripada tekanan walaupun mendapat khabar yang baik seperti berjaya mendapatkan pekerjaan atau berjaya mengikat tali pertunangan. Walau bagaimanapun tekanan yang berbentuk negatif lebih ketara memberi kesan ke atas kemerosotan hidup.
Mangsa banjir di Kuala Lumpur pasti kecewa dengan berulangnya kejadian banjir kali ini. Trauma rumah dimasuki air, kereta tenggelam dan sampah berselerakan akan muncul setiap kali hujan turun dan lambat berhenti. Dengar sahaja bunyi rintik air hujan jatuh ke atas bumbung rumah, mereka akan cepat-cepat membuat persiapan seperti mengalih kenderaan dan menyusun barang-barang di dalam rumah pada kedudukan yang lebih tinggi. Keadaan yang berulang-ulang seperti ini akan menimbulkan rasa syak wasangka terhadap pengurusan banjir sedia ada dan bagi jangka masa panjang, keyakinan terhadap usaha-usaha pihak berkuasa akan semakin berkurangan.
Daripada banjir, mangsa juga turut mengalami kemerosotan dalam badan. Tekanan yang berterusan menyebabkan rembesan hormon yang turut merosakkan saluran darah dan jantung. Tidak dapat dielakkan juga, daya tahan melawan penyakit akan lemah. Interaksi psikologi, emosi dan fizikal ketika dalam keadaan lemah memungkinkan kecelaruan psikomatik yang ditunjukkan melalui penyakit-penyakit masa kini seperti tekanan darah tinggi, asma dan keradangan sendi.
Persekitaran rumah atau kawasan perdagangan yang comot dengan sampah-sarap turut mengundang tekanan sosial kepada mangsa banjir. Waktu dan tenaga yang diperuntukkan untuk membersihkan kawasan perniagaan dan kediaman tentunya meletihkan dan menyebabkan peningkatan kos.
Kerja-kerja pembersihan yang melibatkan banyak pihak hanya dapat membersihkan persekitaran fizikal tetapi sampah-sarap yang bersarang di dalam hati mangsa banjir akan mengambil masa untuk dibersihkan kerana kesan perancangan bandar yang tidak berkesan. Kesan psikologi yang muncul ketika bencana seperti ini sukar dibendung apatah lagi dengan pelbagai program pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan. Sudah sampai masanya perancang bandar di bandaraya Kuala Lumpur melihat elemen pembangunan sosial dalam usaha mereka kerana yang menghuni bandaraya ini ialah manusia yang sangat bergantung kepada kelancaran pergerakan dan terhindar daripada bencana alam.
No comments:
Post a Comment