Tuesday, June 26, 2007

Mengubah sikap Melayu

Keprihatinan ahli politik, usahawan dan pemikir Melayu terhadap nasib dan masa depan bangsa Melayu sangat terserlah dalam Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara. Kesedaran mereka mengenai nasib bangsa ini digambarkan melalui kebimbangan yang ditimbulkan apabila melihat peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam sektor ekonomi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Faktor sikap dan mentaliti menjadi penyebab kepada kegagalan Melayu untuk membabitkan diri dalam arus perdana pembangunan negara.

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani berpendapat, keputusan untuk memajukan diri dan ekonomi Melayu bergantung sepenuhnya kepada diri mereka sendiri. Kerajaan telah mengambil banyak langkah bagi menyediakan ruang dan peluang untuk mereka memajukan diri tetapi tidak banyak perubahan yang dapat diperhatikan untuk dibanggai.

Berbeza dengan Amerika Syarikat, iaitu negara yang telah lama merdeka, masyarakatnya telah meneroka dunia luar melalui perkembangan pasaran dan pengenalan produk-produk baru. Kentucky Fried Chicken, McDonald dan General Electric adalah jenama besar dalam pasaran dunia yang bermula di sana. Eropah pula berbangga dengan Shell dan Airbus manakala Jepun berbangga dengan Fujitsu dan Toyota. Kejayaan syarikat-syarikat ini bermula dengan ilmu pengetahuan yang mengutamakan penyelidikan dan pembangunan.

Hidup di negara majmuk seperti Malaysia sebenarnya berdepan dengan berbagai-bagai cabaran sebagai penduduk pribumi. Tebing yang didaki dan lurah yang dituruni adalah gambaran halangan dan cabaran yang terbentang di depan mata. Situasi ini menjadikan kita lebih sabar dan cekal.

Kehidupan yang lebih bermakna adalah hidup dengan bermasyarakat bagi membentuk kerjasama. Belajar untuk merangka strategi bagi mempastikan keputusan yang akan diambil kelak memberi manfaat. Strategi dapat mengenal pasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang. Semua ini mesti diambil kira bagi mempastikan setiap masa adalah bermakna dan membawa manfaat. Pelbagai halangan yang datang dari semasa ke semasa adalah umpama ombak yang menghempas ke pantai: ada pasang dan surutnya.

Setiakawan, tolong-menolong, bertolak ansur dan bekerjasama adalah nilai-nilai yang mendominasi kejayaan dalam kerja berpasukan. Dengan adanya program khusus bagi menjayakan misi, sedikit demi sedikit nilai-nilai ini dibina dan dibangunkan. Justeru, misi membina minda dan sikap Melayu ke arah pembentukan jati diri yang utuh adalah misi yang berterusan. Gandingan masyarakat Melayu dari semua lapisan wajar digembleng dan diperkukuhkan. Usaha ini tidak boleh dipadam begitu sahaja kerana peranannya sangat penting bagi survival bangsa. Jika dalam konteks bangsa, misi ini akan meneruskan survival bangsa. Jika dalam konteks ideologi, misi ini akan turut memanjangkan ideologi berkenaan.

Bangsa Melayu telah pun melalui beberapa siri survival yang menjadikan mereka lebih perihatin dan mengambil berat tentang nasib bangsa ini. Konsep kesedaran Melayu dilihat melalui tiga fasa kritikal yang mana peringkat awal melibatkan kecemerlangan Melayu yang sangat dominan di Asia Tenggara.

Pada 24 Julai 1511, Sultan Ahmad Shah memanggil orang Besar-besar, hulubalang dan kesatria Melaka ke balairung untuk memperdengarkan bacaan Hikayat Amir Hamzah mengenai kegagahan pahlawan Amir Hamzah dan puteranya Rastam yang berperang melawan Peringgi. Baginda memilih hikayat berkenaan untuk membangkitkan semangat wira dan pahlawan Melayu bagi menentang Portugis pada keesokan harinya.

Masa ini sangat kritikal kerana peperangan akan memusnahkan apa sahaja yang menjadi kebanggaan tamadun Melayu Melaka. Ternyata kekalahan Melaka dan penjajahan Portugis melenyapkan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan serantau. Penduduknya bertempiaran lari dan ramai ulama Islam yang diburu dan dibunuh. Ianya adalah gerakan yang terancang kerana tujuan Portugis menjajah dan menakluk negara-negara Timur adalah kerana empat G iaitu gospel (agama), geography (lokasi), gold (harta) dan glory (kemenangan). Selepas itu bangsa Melayu terpaksa menunggu 446 tahun untuk kembali bersatu dan menjadi tuan di negara sendiri.

Penjajahan British telah membina kesedaran dan keinginan bangsa Melayu untuk membebaskan negara mereka. Walaupun sebagai penjajah dan mengaut kekayaan Tanah Melayu, British masih lagi dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada golongan terpilih. Mereka sedar, suatu hari nanti, British akan dihalau keluar dari Tanah Melayu dan kepimpinan negara mesti diserahkan kepada golongan yang dapat meneruskan agenda pentadbiran mereka.

Penentangan yang semakin memuncak di negara-negara terjajah turut menggerakkan semangat nasionalisme anak-anak muda Melayu untuk membebaskan negara daripada British. Ibrahim Haji Yaacob, pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah mengetuai kelompok ini bagi menyedarkan bangsa Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada British. Usaha beliau berhadapan dengan banyak halangan.

Setelah sebuah demi sebuah negara-negara yang dijajah mendapat kemerdekaan, Tanah Melayu juga mengikut jejak langkah yang sama. Rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah merealisasikan hasrat dan keazaman bangsa Melayu untuk bebas daripada penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris setelah fizikal, minda dan jiwa mereka dibelenggu selama 446 tahun. Slogan "merdeka" yang menjadi perkataan keramat kini menjadi nyata. Dan Melayu bebas mencorakkan negara mereka sendiri.

Letusan semangat patriotisme telah meletakkan pemikiran dan sikap pejuang-pejuang bangsa dan kemerdekaan negara berada pada landasan yang betul bagi mengajak seluruh masyarakat untuk bangkit dan menuntut pembebasan segera. Letusan ini sangat kuat sehingga mampu menarik perhatian British dan dengan terpaksa, menyerahkan Tanah Melayu kepada pemiliknya.

Sepanjang merentas 50 tahun kemerdekaan, Malaysia yang didiami oleh 26 juta orang, pelbagai agama, bangsa dan budaya telah menjadi model kepada masyarakat dunia tentang bagaimana mentadbir masyarakat berbilang bangsa ini. Masyarakat yang produktif tanpa mengira kaum, bergerak aktif membina kekuatan politik dan ekonomi mereka kerana pembangunan adalah pilihan yang terbaik. Sistem nilai dan ideologi semakin kurang mendokong pembangunan sebaliknya kaedah perbincangan dan persetujuan bersama mengambil tempat. Kewujudan bangsa Malaysia, walaupun berdepan dengan banyak halangan, semakin memperlihatkan kemajuan kerana sistem politik berasaskan suku, daerah dan kenegerian telah dikurangkan. Yang ada cuma kesatuan bangsa yang sangat jelas dalam pentadbiran politik: Melayu dengan UMNO, Cina dengan MCA dan India dengan MIC.

Perubahan sikap Melayu sangat ketara ketika berada dalam era selepas merdeka kerana hendak menebus kembali masa dijajah selama 446 tahun. Mungkin 50 tahun yang akan datang masih belum mencukupi bagi mengubah sikap Melayu yang sering dipersalahkan ketika ini. Empat elemen utama yang mempengaruhi sikap ini ialah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Politik

Apakah Melayu masih wujud dalam tempoh 100 tahun yang akan datang? Melayu hari ini diasak dengan keruntuhan moral dari lahir hingga mati. Keruntuhan moral sejak lahir kerana kelahiran bayi tanpa perkahwinan dan berleluasanya maksiat dan zina. Keruntuhan moral hingga ke liang lahad pula kerana sehingga mati pun, kisah peribadi arwah masih dijaja ke sana-sini.

Soal pecah amanah, rasuah, nepotisme dan salah guna kuasa telah menjadi bualan umum. Apatah lagi kajian terhadap pemimpin politik di Malaysia meletakkan kelompok ini jauh ke belakang untuk dipercayai. Keadaan ini sangatlah berbeza ketika kesedaran nasionalisme Melayu dahulu yang mula berkembang mulai tahun 1938.

Mengimbas kembali politik dan pengaruhnya terhadap gerakan perubahan minda dan sikap Melayu, W.R. Roff menyatakan kesedaran nasionalisme Melayu telah dicetuskan oleh tiga kelompok yang berbeza iaitu: reformis Islam berpendidikan Arab, intelektual berpendidikan Melayu dan birokrat berpendidikan Inggeris. Ketiga-tiga kelompok ini mengembangkan kesedaran berpolitik Melayu secara beransur-ansur melalui tiga tahap iaitu:

Tahap beragama (1906 – 1926). Menjadikan Turki dan Mesir sebagai model;

Tahap sosial dan ekonomi (1926 – 1938). Kesedaran yang tinggi terhadap kedudukan ekonomi dan sosial Melayu yang ditekan hebat oleh orang-orang Cina yang menguasai aktiviti perniagaan, tuntutan orang Cina supaya diberi peranan yang lebih besar dalam kerajaan dan kecaman mereka terhadap dasar British yang pro-Melayu; dan

Tahap kesedaran politik (1938 – 1945). Kebimbangan Melayu terhadap kegiatan komunis di kalangan penduduk Cina, kemelesetan ekonomi pada 1929 hingga 1933, peperangan China dan Jepun pada 1937 dan pemulauan barang-barang Jepun oleh penduduk Cina di Tanah Melayu telah mengukuhkan kesedaran berpolitik Melayu.

Pemacuan terhadap perlunya orang Melayu menubuhkan kekuatan mereka membantu kesedaran politik yang tinggi. Justeru, penguasaan Melayu dalam politik Malaysia selepas merdeka sangat ketara kerana pada tahun 2020, 60 peratus penduduk Malaysia adalah berbangsa Melayu yang menjadi asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Bilangan orang Cina pula dijangka akan berkurangan kepada 20 peratus.

Politik "ketuanan Melayu" dijangka terus mendominasi warna politik Malaysia bagi jangka masa panjang kerana ianya telah bertapak kukuh dalam struktur pentadbiran sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Sistem ini juga dapat mempastikan kestabilan politik yang lebih mantap dan mendidik masyarakat ke arah kewujudan politik matang. Selain itu, mewujudkan keadaan yang merangsang aktiviti ekonomi yang lebih aktif dan berdaya saing.

Ekonomi

Semenjak merdeka, sikap Melayu terhadap pertumbuhan ekonomi telah banyak berubah. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat bumiputera untuk menempatkan diri mereka dalam arus perdana perdagangan negara. Keupayaan bumiputera untuk bersaing dengan kaum-kaum lain sangat bergantung kepada kesediaan kerajaan membantu mereka. Tanpa penguasaan sebahagian ekonomi, Melayu akan hanya bergantung kepada peniaga-peniaga Cina untuk meneruskan hidup mereka.

Penyertaan besar-besaran usahawan bumiputera ke dalam sektor perniagaan telah melonjakkan minda Melayu untuk berfikir lebih jauh bagi membangunkan ekonomi negara bersama-sama dengan masyarakat Cina dan India. Pencapaian tahap penguasaan yang masih rendah dikaitkan dengan pembabitan mereka dalam sektor ekonomi yang tidak kompetetif. Walaupun kerajaan melakukan pelbagai usaha dan bantuan bagi meningkatkan ekonomi Melayu, masih banyak ruang yang perlu diisi oleh mereka.

Sektor industri yang melibatkan kepakaran dan profesionalisme masih tidak dipenuhi dengan tenaga kerja Melayu. Keutamaan pelajar-pelajar Melayu hari ini yang masih lagi menumpukan pengajian sastera dan sains sosial harus diseimbangkan dengan aliran sains supaya tenaga kerja dalam bidang sains dan teknologi dalam pembangunan negara sentiasa didominasi oleh Melayu.

Peniaga industri kecil dan sederhana (PKS) Melayu masih lagi dalam jumlah yang kecil dan berhadapan dengan banyak halangan khususnya kemahiran perniagaan dan peluasan pasaran. Keadaan ini tentunya tidak dapat menjadi katalis kepada jaringan global sepertimana peniaga Cina yang dianggarkan berjumlah 55 juta orang di seluruh dunia dan di luar negara China. Walaupun pendedahan secara berterusan oleh agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), perubahan sikap masih lagi memerlukan usaha yang gigih.

Usaha memajukan ekonomi bumiputera melalui sistem francais telah memberi ruang kepada mereka untuk meneroka bidang perniagaan yang lebih kompetetif. Ini kerana perniagaan francais adalah sejenis perniagaan yang paling cepat berkembang di dunia. Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat 35 peratus daripada jumlah jualan runcit di negara itu datang daripada cawangan-cawagan francais. Manakala nilai jualan tahunannya pula mencecah US$800 bilion. Kejayaan sistem ini memberi gambaran bahawa francais adalah konsep pemasaran yang paling berjaya dan mudah untuk dilaksanakan.

Sehingga kini, usahawan golongan menengah bumiputera dibentuk bagi merealisasikan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Kementerian Pembangunan Usahawan menyatakan bahawa: dari segi pertumbuhan industri francais, pada masa ini Malaysia menduduki tangga yang kedua (2) di kalangan negara Asia dan tangga yang kedua puluh satu (21) di dunia. Mengikut perangkaan, sebanyak lima peratus dari jumlah jualan runcit tahunan di Malaysia adalah daripada outlet francais. Ini adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain. Kementerian tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan sebenar perniagaan francais yang dijalankan di negara ini. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan terdapat 268 buah perniagaan yang difrancaiskan dan sebanyak 6,500 outlet perniagaan francais di Malaysia. Sebahagian besar daripada perniagaan francais ini adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi.

Sudah pasti program ini dapat memberi peluang kepada Melayu untuk mengubah sikap mereka terhadap perniagaan dan keupayaan mereka meningkat maju dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburi.

Memperkatakan sikap peniaga Melayu, kajian demi kajian menyerlahkan betapa sikap tidak begitu berperanan besar kerana pembentukan jaringan perniagaan sesama bangsa dilihat lebih dominan. Kejayaan peniaga Cina meletakkan kepercayaan kepada rakan sebangsa dan mengukuhkan jaringan dalam apa juga bidang perniagaan menjadi faktor kritikal bagi kejayaan mereka menguasai ekonomi Malaysia. Usahawan Melayu hanya akan berdaya saing dan lebih maju jika meletakkan jaringan dan pembinaan kepercayaan sebagai teras kepada sesuatu bidang perniagaan.

Pendidikan

Peranan pendidikan sebagai agen perubahan menjadi lebih ketara selepas Malaysia mencapai kemerdekaan kerana hala tuju dan pembinaan modal insan adalah 100 peratus disumbangkan oleh aliran pendidikan yang berkualiti. Tidak ada negara yang mengesampingkan pendidikan termasuk Malaysia. Justeru, peruntukan yang besar dalam bajet tahunan kerajaan bagi pendidikan rakyat sangat dihargai.

Pendidikan membuatkan pemikiran lebih matang dan mengubah kualiti hidup ke arah yang lebih baik. Mempunyai 20 buah universiti awam dan berpuluh universiti swasta adalah pemangkin kepada kemajuan negara. Peluang Melayu untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dan konsep pendidikan sepanjang hayat mesti diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin Melayu supaya mereka terus belajar. Konsep iqra' barangkali sangat sesuai untuk menterjemahkan kesungguhan pemikir Melayu bagi menggerakkan kepintaran bangsa ini.

Bermula sejak pendidikan prasekolah, kurikulum harus menjurus ke arah pembinaan modal insan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira persediaan Melayu bagi 100 tahun yang akan datang. Siapakah yang akan memenuhi agenda "impian" YAB Perdana Menteri jika generasi muda hari ini tidak diberi pendedahan dan galakan yang maksimum?

Usaha memenuhi "impian" berkenaan sama seperti kisah seorang kanak-kanak yang dijumpai tanpa diketahui siapa ibu bapa dan dari mana datangnya. Kulit anak ini yang berwarna sawa matang, sering menangis dan tidak mandi serta tidak cukup makan. Dijumpai oleh seorang pemimpin yang berjiwa besar, anak ini diambilnya, dimandikan, diberi makan dan diasuh dengan pendidikan, adab dan akhlak yang terbaik. Apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan ialah menyediakan anak ini sebagai pemimpin masa depan.

Siapakah pemimpin yang berjiwa besar ini? Beliau ialah bekas Perdana Menteri, YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Anak kecil yang berkulit sawa matang itu ialah bangsa Melayu. Kisah ini sering diulang dalam kursus kepimpinan negara sebagai kesan ke atas pembentukan yang berkualiti iaitu menyediakan bangsa dengan pemimpin yang berwawasan.

Kegagalan membentuk modal insan yang berguna mungkin disebabkan asas kepada pendidikan yang kurang mantap, terdapat kekurangan dalam elemen kognitif dan kemahuan yang tinggi.

Sosial

Masyarakat bersosial bukannya masyarakat yang hu-ha-hu-ha sebaliknya melihat kebajikan seluruh masyarakat berada dalam kesejahteraan. Masyarakat Melayu yang sering dikaitkan dengan masalah sosial hari ini dilihat menyumbang kepada masalah negara. Penagihan dadah, adab dan akhlak yang lemah serta sumbang mahram makin menambah perit nasib bangsa.

Dari segi kebajikan sosial, pembinaan bangsa yang bermaruah dalam kewangan keluarga, rendah kadar kemiskinan dan kesedaran keagamaan yang tinggi boleh menutup dan mengurangkan jenayah sosial yang mengganggu kesejahteraan masyarakat keseluruhan. Tidak ada yang mustahil jika kita ingin melihat bangsa Melayu yang dinamik dan dapat menjadi contoh kepada masyarakat lainnya.

Empat faktor yang menjadi pemangkin kepada perubahan sikap Melayu sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa. Seminar, konferens dan konvensyen menjadi medan kepada pemikir dan penggerak bangsa Melayu untuk memacu kemajuan bangsa ini. Tidak ada negara di dunia yang sangat prihatin dengan jatuh bangun bangsanya sepertimana yang direncanakan ke atas bangsa Melayu.

Sekiranya bangsa Melayu sendiri gagal untuk berubah, kegagalan itu tidak upaya diletakkan kepada sesiapa melainkan diri sendiri. Nasib bangsa Melayu diumpamakan seperti cerita pemuda yang angkuh dan pendeta yang bijak.

Di sebuah kawasan kampung, majlis meraikan sekmpulan pemuda yang akan tamat pelajaran seni mempertahankan diri dipanggil untuk diberi anugerah. Mahaguru yang bersama dengan mereka pada hari itu sedia untuk melepaskan anak-anak muda ini. Ramailah orang kampung yang dijemput untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut, membuat bulatan dan masing-masing membawa ahli keluarga. Hidangan buah dan daging yang lazat disediakan.

Seorang pemuda yang begitu bangga dan angkuh di atas pencapaiannya ingin sangat menunjukkan kepintarannya sebagai bukti dirinya lebih hebat daripada mahaguru. Dia juga ingin menjatuhkan maruah mahaguru yang mengajarnya selama ini kerana di usia muda, dia merasakan dirinya lebih hebat dan pintar.


Di tengah kesibukan orang ramai, dia meluru di hadapan dan mencabar mahaguru untuk meneka apa yang ada di dalam kantung kecil di tangannya.

"Hei orang tua! Hari ini aku ingin mengujimu. Jika engkau bijak, apa yang ada di dalam kantung ini?" Sambil mencebik bibirnya, dia melirik ke arah mahaguru. Orang ramai mula memberi perhatian kerana ingin melihat sejauh mana kepintaran mahaguru tersebut.

Agak lama juga mahaguru hendak memberi jawapan. Orang ramai mula gelisah dan bersuara meminta mahaguru memberi jawapan. Pemuda yang angkuh masih lagi berdiri di situ dan semakin teruja dengan sokongan orang ramai.

Mahaguru yang sedar pemuda ini ingin mengujinya menjawab dengan perlahan tetapi jelas, "burung." Pemuda itu tersentak. Mata orang ramai beralih kepada pemuda angkuh. Perlahan-lahan dia mengangguk. "Ya, burung. Aku tahu ia seekor burung tapi itu bukan soalan aku yang sebenarnya. Hei orang tua! Ini soalan aku, adakah burung ini hidup atau mati?" Lantang suaranya membingitkan telinga mahaguru.

Orang ramai kembali melihat mahaguru. Mereka bersorak untuk mendengar jawapan daripadanya.

"Di dalam tanganmu," mahaguru menjawab.

"Ya, aku tahu. Burung ini di dalam tanganku. Hidup atau mati?" Pemuda ini mula berpeluh. Barangkali mahaguru mahu mempermainkannya.

"Di dalam tanganmu," mahaguru mengulangi jawapannya. Tanpa ada sebarang kenyataan lain.

Pemuda yang mula resah, semakin terdesak dengan jawapan mahaguru.

Beberapa kali soalan yang ditanya, itulah jawapan diberikan oleh mahaguru. Orang ramai yang mulai sedar itulah jawapan kepada soalan berkenaan mula mentertawakan pemuda ini. Akhirnya, akibat malu beliau meluru keluar meninggalkan majlis berkenaan.

Kisah ini sama seperti bangsa Melayu. Hidup atau matinya terletak pada diri mereka sendiri. Sekiranya mereka tidak mahu mengubah sikap, orang lain akan menentukan nasib mereka. Kritikan yang sangat jauh tersasar daripada Duta Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia, Thierry Rommel terhadap dasar negara Malaysia adalah contoh bagaimana orang luar mengambil kesempatan ke atas sikap bangsa Melayu.


Rommel mendakwa dasar-dasar yang dijalankan oleh Malaysia termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya menguntungkan golongan tertentu. Tidakkah beliau sedar betapa bangsa Melayu memerlukan perhatian dan bimbingan supaya sosiopolitik di Malaysia menjadi stabil dan peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang lagi? Tindak-tanduk Rommel yang keras kepala dan degil memang diketahui oleh penyelidik Asia dan Eropah. Selepas ini beliau tidak lagi dapat duduk diam setelah ditegur oleh orang nombor dua dalam kerajaan Malaysia.

Bangsa Melayu harus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini dan mereka boleh berjaya jika bersiap sedia dengan kekuatan. YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan-ucapan beliau sering mengingatkan betapa kita harus bersedia dengan kekuatan. Persediaan yang beliau maksudkan ialah:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah Al-Anfaal, ayat 60)

No comments:

Post a Comment