Wednesday, August 01, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (3)

Guru yang sebenar melibatkan aktiviti lebih daripada menuruti bulat-bulat pelan pengajaran yang disediakan. Kecemerlangan mengajar melibatkan "apa" yang mahu diajar dan "bagaimana" hendak mengajar. Mengajar adalah aktiviti yang kompleks, perlukan pemikiran yang mantap, memberi dorongan kepada orang lain dan mendapat penilaian yang baik.

Apakah pengetahuan yang diperlukan untuk mengajar?

Seorang guru wajar melengkapkan diri dengan tiga bentuk pengetahuan: pengetahuan tentang diri dan pelajar; pengetahuan terhadap subjek; dan pengetahuan mengenai teori pendidikan dan penyelidikan.

Guru yang berkesan amat memahami diri mereka dan sangat sensitif dengan keperluan pelajar. Sebaiknya, guru perlu memahami pelajarnya sebanyak yang boleh supaya proses komunikasi dapat berlaku dengan lancar. Bagaimanapun, apakah kaitannya di antara maklumat diri dan keupayaan merangsang proses pembelajaran pelajar? Jika seorang guru memahami keperluan diri, situasi tersebut dapat membantu proses pembelajaran pelajarnya. Arthur Jersild (1955) yang mengkaji kaitan di antara memenuhi keperluan peribadi guru dan keberkesanan pengajaran, beliau dapati kefahaman diri para guru dan menerima tahap kebolehan diri dapat membantu pelajar untuk mengetahui dirinya dan menerima apa yang ada padanya.

Penilaian kendiri seorang guru dipengaruhi oleh keadaan emosi ketika mengajar seperti perasaan bimbang atau keseorangan. Cemas adalah perasaan biasa ketika kali pertama mengajar bagi mana-mana guru.

Tiga keadaan yang menyebabkan guru berasa cemas atau bimbang ialah: 1) proses pengajaran yang tidak pernah habis, 2) kerap kali muncul isu yang di luar jangka, 3) sukar untuk mengenal pasti dengan tepat apakah pelajar telah mempelajari sesuatu daripada proses pengajaran. Tidak seperti arkitek, peguam atau doktor, guru jarang dapat duduk diam dan melihat pelajar melaksanakan kerja mereka kerana kejayaan dalam pendidikan sebenarnya lebih memihak kepada pelajar. Apabila pelajar mendapat 17A dalam peperiksaan, yang menonjol adalah pelajar tersebut dan guru hanya dapat menumpang bangga kerana kejayaan pelajar itu.

Kebanyakan guru pada hari ini inginkan masa yang lebih bagi mewujudkan interaksi dengan rakan sebaya supaya masing-masing dapat menilai keberkesanan pengajaran. Tanpa adanya peluang untuk menerima maklum balas ini, seorang guru akan rasa tertekan dan dikesampingkan daripada usaha penambahbaikan kerjaya sebagai guru yang profesional. Tambahan pula, memerhati bagaimana rakan sebaya yang lain menerima cabaran pengajaran akan dapat membantu guru apa yang harus dilakukannya untuk menghadapi cabaran yang sama.

Pengetahuan terhadap pelajar

Mengetahui pelajar adalah penting. Ciri-ciri pelajar seperti bakat, cara gaya belajar, tahap perkembangan dan kesediaan untuk belajar adalah beberapa contoh yang perlu diambil perhatian. Pentingnya maklumat ini adalah bertepatan dengan pengalaman para guru yang telah bertahun-tahun mengajar iaitu: untuk mengajar kanak-kanak dengan baik kamu mesti tahu kanak-kanak tersebut dengan baik juga.

Seorang guru akan mendapatkan maklumat pelajarnya melalui proses belajar, memerhati dan interaksi secara berterusan dengan pelajar. Tanpa memahami kanak-kanak dan remaja, sukar bagi guru untuk membantu pelajarnya berkembang dengan baik. Justeru pengharapan kepada pelajar akan terkesan secara langsung.

Pengetahuan terhadap subjek

Seseorang yang mendapat gelar "guru" dijangkakan mempunyai ilmu yang luas dalam bidangnya. Tidak dapat diragukan lagi, guru mempunyai maklumat yang lebih banyak dan mempunyai kemahiran khusus untuk membantu proses pembelajaran pelajar mereka.

Bagaimanapun, pengetahuan terhadap subjek tidak dapat diterjemahkan kepada kefahaman mengenai bagaimana subjek tersebut dapat dikongsi bersama pelajar. Guru memerlukan kaedah mengajar atau dikenali sebagai pedagogi supaya maklumat yang ada pada guru dapat disampaikan kepada pelajar melalui analogi, metafora, eksperimen, demonstrasi dan ilustrasi.

Pengetahuan mengenai teori pendidikan dan penyelidikan

Teori-teori berkaitan pengajaran dan penyelidikan akan membantu guru untuk membuat keputusan dalam ruang lingkup di sekolah. Ia tidak sahaja membantu perancangan strategi mengajar malah mengetahu bagaimana strategi berkenaan dapat dilaksanakan. Disebabkan seorang guru memahami benar kepentingan sesuatu teori, dia akan mendapat akses yang lebih luas bagi menyelesaikan sebarang masalah atau konflik. Sebagai guru, impian utama ialah menjadi guru yang profesional dengan mempelajari bagaimana menjayakan sesuatu pengetahuan yang berada pada tahap teori kepada amalan sebenar dalam pengajaran dan pendidikan di sekolah dan institusi pendidikan yang lain.

Mari kita lihat kes-kes yang berlaku dalam sistem pendidikan negara baru-baru ini. Ia melibatkan pelajar-guru yang mencetuskan kegelisahan kepada semua pihak. Tindakan guru besar menampar pelajar, guru merendam pelajar, guru mencabul pelajar dan membayar RM15.00 untuk menutup perbuatannya, pelajar mencekik guru dan guru merogol pelajar. Dalam semua kes ini, guru yang menjadi subjek, dinilai dari kaca mata profesion perguruan. Pada masa yang sama, martabat profesionalisme guru harus dijaga. Ketika negara sedang berusaha menempatkan diri sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau, guru wajar melengkapkan diri dengan tiga pengetahuan yang disebutkan di atas supaya proses pengajaran dan pendidikan dapat diperkasa.

1 comment:

  1. nk tau lebih lanjut ttg peranan seorang guru yang profesional dapat menjayakan hasrat negara berlandaskan FPK dan FPG..tq.. :)

    ReplyDelete