Genap 31 Ogos 2007, Malaysia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-50. Senario yang sama pada tahun 1957 disambut penuh kesyukuran oleh rakyat Malaya kerana setelah 446 tahun di bawah penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris, kini maruah negara telah dikembalikan. Kenangan dalam menempuh liku-liku perjuangan menentang penjajah bagi membebaskan tanah air akan terus diingati. Pejuang kemerdekaan seperti Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Rentap dan Mat Salleh akan terus disebut apabila pengkisahan kemerdekaan bangsa dan negara diadakan.
Pengorbanan, susah-payah dan ketabahan mereka untuk menentang penjajah menjadi suri teladan bagi golongan muda kembali merenungi peranan mereka bagi mengekalkan keharmonian yang sedang dinikmati sekarang. Peluang bagi mana-mana rakyat Malaysia untuk belajar, bekerja dan hidup dengan aman dan bebas hanya dapat dikecapi setelah peristiwa yang cuba menggugat perpaduan kaum, memusnahkan ekonomi negara dan meruntuhkan sistem sosial di dalam masyarakat dapat diatasi oleh pemimpin-pemimpin dan pejuang keamanan.
Malaysia telah melalui proses pilihan raya sejak tahun 1955. Proses ini telah berlaku dalam jangka masa yang panjang dan pelbagai peristiwa penting dapat dikaitkan dengannya termasuk usaha mendapatkan kemerdekaan daripada British, penubuhan Malaysia, peristiwa 13 Mei 1969, pembentukan Barisan Nasional, pengharaman UMNO, Wawasan 2020, pilihanraya 1999 dan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Ketika Tunku Abdul Rahman merentas idea untuk memerdekakan Malaya, British ingin sekali melihat rakyat Malaya yang bersatu. Melayu, Cina dan India dapat membuktikan kepada British bahawa mereka dapat hidup dalam sebuah negara baru iaitu Malaya yang bebas, merdeka dan dapat menjaga kepentingan Inggeris. Perjalanan Tunku Abdul Rahman merancang dan merealisasikan Malaya merdeka telah dimulakan oleh pelbagai usaha dan gerakan sejak tahun 1906.
Nasionalisme Melayu yang mendominasi gerakan kesedaran Tanah Melayu pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 dipengaruhi oleh perubahan sosial dan ekonomi kesan daripada peluasan kuasa British di Tanah Melayu. Semangat Melayu berkembang secara beransur-ansur dalam tiga tahap iaitu agama (1906-1926), sosial dan ekonomi (1926-1938) dan politik (1938). W.R. Roff (1967) melihat nasionalisme Melayu dipimpin oleh tiga kelompok iaitu:
1. Reformis Islam berpendidikan Arab
2. Intelektual berpendidikan Melayu
3. Birokrat berpendidikan Inggeris
Keadaan yang mencetuskan semangat nasionalisme Melayu ini dimulakan oleh gerakan reformis Islam di Timur Tengah khususnya Turki dan Mesir yang berlaku pada akhir abad ke-19. Nasionalis Melayu juga dipengaruhi oleh kesedaran betapa kaum Melayu ketika itu sangat mundur dalam bidang ekonomi. Keadaan orang Cina yang menguasai perniagaan di Singapura dan bandar-bandar utama di Tanah Melayu membangkitkan kesedaran untuk bersaing yang dipelopori oleh pedagang-pedagang Melayu (kebanyakannya berketurunan Arab).
Kalaupun ada di kalangan masyarakat Melayu yang bekerja, tetapi mereka hanyalah sebagai polis, pengawal bangunan, pelayan pejabat, pemandu dan orang gaji. Pendapatan yang diperolehi tidak dapat memberi kemewahan hidup sedangkan kaum pendatang menikmati kekayaan. Perniagaan di Singapura terus dipegang oleh kaum Cina dan ketidakadilan inilah yang menjadi pembakar semangat nasionalis Melayu bagi menuntut hak mereka dalam persaingan ekonomi. Kredit dalam kesedaran ekonomi ini boleh diberikan kepada pedagang-pedagang Melayu yang gigih berusaha untuk menempatkan diri mereka dalam arus perkembangan ekonomi ketika itu.
Kekuatan Melayu terserlah ketika bersama-sama menentang Malayan Union yang dicadangkan oleh British. Ianya diumumkan oleh George Hall iaitu Setiausaha Tanah Jajahan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah dilantik sebagai wakil kerajaan British untuk mendapatkan tandatangan persetujuan daripada Raja-raja Melayu. Tugas beliau selesai pada 21 Disember 1945 dan tidak mendapat tentangan kecuali dari Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan. Seterusnya pada Januari 1946, kertas putih kerajaan yang menyiarkan Perlembagaan Malayan Union secara terperinci dikeluarkan.
Ada beberap sebab kenapa British mencadangkan Malayan Union iaitu:
1. Kecekapan pentadbiran
Pentadbiran British sebelum tahun 1941 di Tanah Melayu mengandungi tiga unit iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Keadaaan ini disifatkan janggal dan mahal oleh James de V. Allen, justeru penyatuan unit ini akan melicinkan pentadbiran dan membentuk keseragaman dan menjimatkan perbelanjaan. Di samping itu memudahkan pertahanan Tanah Melayu dan membantu mempercepatkan perkembangan ekonomi.
2. Pemerintahan sendiri
Malayan Union merupakan langkah pertama dalam proses menyediakan penduduk Tanah Melayu ke arah pentadbiran sendiri. Justeru itu penyatuan politik yang mantap adalah wajar bagi mewujudkan kesedaran nasional di kalangan penduduk Tanah Melayu.
3. Sentimen anti Melayu
British berasa dukacita dengan orang Melayu kerana telah bersubahat dengan pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Tetapi terhutang budi dengan MPAJA dan orang awam yang kebanyakannya adalah Cina dan menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu. British berharap pengenalan Malayan Union dapat merealisasikan sentimen berkenaan.
Penubuhan Malayan Union menjadikan semua negeri Melayu disatukan di bawah satu pentadbiran berpusat, diperintah oleh seorang Gabenor British dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan. Bagaimanapun Singapura tidak dimasukkan sebaliknya diletakkan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British dengan seorang gabenor.
Kedaulatan sultan dan raja Melayu dihapuskan dan menjadi raja kehormat sahaja. Sultan hanya mempunyai kuasa dalam soal agama Islam dan mengetuai Majlis Penasihat Melayu.
Hak kewarganegaraan sama rata kepada semua kaum tanpa mengira bangsa termasuk hak yang sama dalam perkhidmatan kerajaan. Semua orang asing dan pendatang yang lahir di Tanah Melayu atau Singapura dan berumur 18 tahun ke atas serta bermastautin selama sepuluh daripada lima belas tahun sebelum 15 Februari 1942 adalah layak menjadi warganegara.
Bagi nasionalis Melayu, penubuhan Malayan Union ditolak kerana banyak sebab. Proses penentangan ini dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap individu dan tahap terancang.
Tahap pertama menyaksikan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union diserlahkan melalui akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis dan Utusan Melayu. Tentangan diperlihatkan melalui tulisan-tulisan individu yang mempunyai tentangan yang kuat terhadap cadangan Malayan Union ini. Soal penghapusan kedaulatan dan kuasa Raja-raja Melayu dan pemberian kerakyatan kepada kaum pendatang melalui konsep jus soli.
Tahap kedua pula memperlihatkan gerakan penentangan yang lebih teratur dan bersifat kumpulan. Kumpulan Melayu yang kecil dan besar dihimpunkan sekali dan mereka mula melancarkan gerakan demonstrasi. Contohnya pada 15 Disember 1945, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan telah menganjurkan bantahan yang disertai lebih kurang 10,000 orang ketika MacMichael tiba di Kelantan untuk mendapatkan persetujuan Sultan Kelantan. Pada Januari 1946, bantahan seramai 50,000 orang diadakan di Alor Setar, Kedah manakala pada 10 Februari 1946, seramai 15,000 orang Melayu telah mengadakan bantahan di Johor. Akhir sekali, kemuncak kepada bantahan ini ialah penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO pada 11 Mei 1946 dengan Datuk Onn Jaafar sebagai presiden.
Peristiwa yang berlaku sejak 31 Ogos 1957 sehingga 30 Ogos 2007 telah menjadi sejarah negara yang akan dikenang selamanya. Apabila fajar 31 Ogos 2007 muncul, bermula era yang baru, penuh tanggungjawab dan pelbagai cabaran yang menanti di hadapan. Baik rakyat mahupun pemimpin, kemajuan dan keamanan Malaysia bagi tempoh 50 tahun yang akan datang adalah peranan masing-masing. Ianya tidak lagi menjadi beban kepada British sebagai bekas penjajah, atau Jepun, negara yang ingin membebaskan Asia melalui slogan "Asia untuk Asia." Tanggungjawabnya adalah dipikul bersama oleh rakyat Malaysia.
Pendidikan adalah perubahan. Mendidik bererti berubah. Di negara-negara yang telah mencapai kemerdekaan, proses pendidikan sering diberi tumpuan bagi mengubah keadaan sosioekonomi, sosiopolitik dan sosiobudaya rakyat merdeka. Membebaskan minda yang telah terjajah perlukan kesungguhan dan kebijaksanaan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.
Malaysia juga turut membuat perubahan terhadap dinamika pendidikan ini. Perubahan yang ketara ialah peningkatan kadar celik huruf yang semakin baik dan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang membanggakan. Menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) adalah lambang kesungguhan negara untuk menguasai ICT ini di samping saingan negara-negara besar dunia.
Setelah melalui 50 tahun, sektor pendidikan telah melakukan banyak evolusi bagi melahirkan pelajar kelas dunia untuk memenuhi pembangunan negara. Bergerak dari pendidikan berorientasikan kemahiran bercucuk tanam dan mengusahakan ladang, kini pendidikan di Malaysia berasaskan kepakaran yang dieksport ke seluruh dunia. Walaupun tidak setanding Jepun dan negara-negara maju lain, Malaysia sudah menjadi pilihan pelajar dari Asia Barat dan Timur Tengah untuk melanjutkan pelajaran peringkat masters dan doktor falsafah.
Dalam pada itu, pembelajaran sepanjang hayat adalah konsep baru yang masih belum didedahkan sepenuhnya kepada masyarakat. Konsep ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk belajar. Kini sudah ada pelajar peringkat ijazah muda yang berusia 50 tahun belajar di institusi pengajian tinggi tempatan. Keadaan ini akan menjadi lumrah dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun yang akan datang kerana salah satu ciri negara maju ialah kesediaan masyarakat untuk mencari ilmu dan membaiki tahap hidup sedia ada. Amerika Syarikat umpamanya, mempunyai jumlah penduduk yang mendapat pendidikan peringkat kolej atau universiti yang paling ramai di dunia iaitu 41 peratus daripada penduduknya.
Negara itu mengambil masa 150 tahun untuk mewujudkan keadaan demikian tetapi Malaysia boleh melakukannya dengan lebih pantas dalam tempoh 50 tahun yang akan datang.
Kepekaan kerajaan Malaysia mengalakkan masyarakat merebut peluang belajar lebih terserlah dengan meliberalisasikan pendidikan sedia ada. Pelajar-pelajar asing juga semakin ramai dan menjadi petanda jelas kepada cita-cita serius Malaysia untuk menjadi hab pendidikan antarabangsa serantau. Beberapa cabaran harus dikenal pasti oleh kerajaan supaya hasrat berkenaan tidak terhenti di tengah jalan. Antaranya ialah memperkukuhkan keupayaan pensyarah dalam penyelidikan dan pembangunan, kemudahan prasarana yang lengkap, utamakan keselamatan, autonomi yang luas kepada universiti dan kursus yang berdaya saing.
Universiti yang dimasukkan dalam senarai 100 terbaik juga sekejap timbul dan tenggelam kerana kurang kesungguhan untuk meletakkan kualiti pada tempat yang sewajarnya.
Dalam keadaan negara yang bersungguh-sungguh merealisasikan pendidikan tahap dunia, pelajar di kampung atau luar bandar perlu juga diajak sama untuk memahami cita-cita ini. Pada awal-awal tahun merdeka dahulu, pelajar kampung kebanyakannya tidak berkasut, menahan lapar dan kempunan untuk mendapat pendidikan terbaik, keadaan sekarang sangat berbeza.
Sekolah-sekolah telah mengalami perubahan fizikal yang pesat. Kelengkapan fizikal setanding dengan negara maju dan sudah ada pelajar yang mendapat 17A1 dalam peperiksaan utama.
Menyediakan keperluan yang cukup untuk kemudahan pembelajaran akan memberi ruang yang lebih luas kepada pelajar bagi persaingan sengit peringkat antarabangsa. Negara-negara maju sangat cemerlang dalam pendidikan bukannya disebabkan oleh keadaan cuaca yang sejuk, berkulit putih atau makan roti sepanjang hari tetapi kerana budaya dan sikap mereka terhadap ilmu. Seorang pelajar kulit sawa matang akan lebih hebat dan bijak daripada kulit putih atau hitam jika diberi ruang, tunjuk ajar dan kemahiran dalam bidang yang diminatinya. Pembinaan watak bangsa dapat mengungguli tamadun bagi seratus tahun yang akan datang perlu direncana secara terancang.
Sudah terbukti kejayaan membuat perubahan oleh Nabi Muhammad SAW dalam tempoh 23 tahun ke atas masyarakat Arab yang keras kepala, degil, kasar dan suka berbantah. Program membentuk masyarakat Malaysia bertaraf dunia juga boleh dibuat mengikut acuan yang sama asalkan dapat membina sumber manusia yang kukuh jati diri dan berani menghadapi risiko.
Negara-negara Asia dan Timur Tengah sedang melonjakkan tahap pendidikan masing-masing. Brunei, sebuah negara kecil juga mempunyai cita-cita untuk menarik pelajar asing ke Universiti Brunei Darussalam. Persaingan mencari pasaran pelajar luar sudah menjangkaui benua Afrika dan Asia Barat. Seorang pelajar Iran ditanya kenapa beliau memilih Malaysia untuk melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah, kos yang murah dan penggunaan bahasa Inggeris secara meluas menarik minatnya. Pelajar dari Oman juga berpendapat yang sama.
Jika diamati, tidak ramai pelajar dari Eropah memilih Malaysia atau Asia sebagai pusat pendidikan walaupun negara-negara Eropah mempunyai jaringan mantap dalam ekonomi dan perdagangan dengan Malaysia khususnya. Jadi bagaimanakah strategi untuk menarik pelajar-pelajar Eropah untuk datang dan belajar di sini?
Apabila pelancong Eropah datang ke Malaysia, mereka tidak begitu kagum dengan bangunan tinggi sebaliknya hairan dengan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Pengajian seperti inilah yang perlu dipromosi oleh universiti-universiti Malaysia di Eropah. Sehingga kini Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia telah menawarkan bidang pengajian yang ada kaitan di antara Asia dan Eropah. Kursus peringkat masters dan doktor falsafah boleh dirancang dengan teratur seperti perhubungan Asia-Eropah, perkembangan sosial masyarakat berbilang budaya dan perniagaan di Asia.
Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 hari ini, analisis pencapaian Malaysia sejak 50 tahun yang lalu dapat menjadikan persaingan dengan negara-negara dunia yang lain lebih berdaya saing.
Kekuatan
1.Malaysia mempunyai kerajaan yang kukuh, bertanggungjawab, tindakan yang berterusan melalui pelbagai pembaharuan, ekonomi yang terbuka dan keupayaan untuk mengeksport teknologi yang tinggi.
2.Nisbah pekerja muda yang terlatih kepada penduduk yang lebih besar menyumbang kepada pembangunan pesat bagi memasuki era ekonomi berasaskan pengetahuan. Kesediaan ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepakaran bagi Koridor Pembangunan Wilayah Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar.
3.Melancarkan program celik IT hampir sedekad yang lalu untuk mempercepatkan e-ekonomi dan membina kemudahan ICT sebagai sebuah industri yang maju.
4.Di Asia Tenggara, Malaysia adalah negara terbaik sebagai sebuah masyarakat yang berjaya dalam transisi kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (Singapura adalah isu berbeza).
5.Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik dengan kerangka bagi terma institusi, perundangan dan peraturan.
6.Malaysia adalah negara dunia ketiga paling berjaya di dunia.
7.Pencapaian yang kukuh bagi pertumbuhan ekonomi, pengurangan kadar kemiskinan dan kesaksamaan agihan pendapatan.
8.Sumber-sumber semula jadi yang kaya, pelbagai kaum dan budaya serta bebas dari malapetaka alam.
Kelemahan
1.Kekurangan sumber manusia dalam ekonomi berasaskan pengetahuan berbanding sesetengah negara di rantau Asia.
2.Kadar penembusan ICT hanya separuh berbanding Australia, New Zealand dan Hong Kong walaupun lebih baik daripada negara-negara jiran yang lain.
3.Asas sains dan teknologi yang rendah, penyelidikan pembangunan yang kurang, modal asing yang rendah dan kemahiran inovatif yang lemah.
4.Agenda negara yang dirancangkan di peringkat tertinggi tidak dapat difahami sepenuhnya oleh masyarakat.
5.Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana lemah dalam pelaksanaan.
6.Kebanyakan polisi berhadapan dengan cabaran-cabaran baru globalisasi.
7.Kuasa politik semata-mata tidak mampu menggabungkan pembangunan sosioekonomi dan pembangunan politik.
8.Kekaburan dan kurang yakin dapat melemahkan pencapaian negara dalam Wawasan 2020.
9.Kumpulan pelampau agama dan kaum, walaupun kecil menyebabkan rasa tidak selesa.
Peluang
1.Slogan lama kepimpinan melalui teladan mesti diperbaharui untuk memberikan makna yang lebih luas.
2.Disiplin, pelaksanaan polisi yang berkesan dan penguatkuasaan yang lebih baik wajar digerakkan dengan lebih kukuh dalam seluruh sistem.
3.Meritokrasi, jika hendak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mesti mengambil kira kesediaan etnik.
4.Rasuah mesti dikurangkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan.
5.Politik wang dibersihkan kerana dapat melemahkan seluruh sistem kerajaan.
6.Penanda aras mesti dipantau sepanjang masa supaya kecemerlangan dapat diukur dalam erti kata sebenar.
7.Merapatkan jurang pendapatan antara kaum supaya kestabilan, perpaduan dan kemajuan dapat diteruskan.
Ancaman
1.Melihat kembali peraturan yang menghalang kemajuan dalam pembangunan sosioekonomi dan karenah birokrasi sektor awam.
2.Undang-undang yang melambatkan keperluan sosioekonomi dan hak-hak asasi manusia perlu dilihat dan dikaji semula.
3.Dasar Ekonomi Baru diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran globalisasi dan merealisasikan Wawasan 2020.
Setelah 50 tahun merdeka dan dapat mentadbir sendiri negara, pencapaian Malaysia boleh dilihat dalam pelbagai perspektif. Antara kejayaan tersebut ialah:
1.Malaysia ialah salah sebuah negara penting bagi pengeluaran mikrocip dunia. Negara ini juga menjadi pengeluar utama bagi pengeluaran alat penghawa dingin, sarung tangan getah dan minyak kelapa sawit.
2.Jaringan komunikasi adalah antara yang terbaik di Asia. Hubungan jalan raya, lebuh raya, kereta api, pelabuhan dan jalan udara dikoordinasi dan dihubungkan secara berkesan.
3.Program pembangunan ICT sangat dinamik merentasi semua sektor bagi menggalakkan perkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan bagi menambah nilai ke atas sektor ekonomi.
4.Malaysia telah mengembangkan sektor kewangan dan bank dengan berkesan dan dapat memenuhi pasaran Islam yang semakin berkembang.
5.Malaysia sedang berusaha untuk menjadi pusat hab Halal di Asia Tenggara.
6.Sinergi dan kerjasama di antara sektor awam dan swasta mendorong kepada penambahbaikan yang lebih cekap.
7.Malaysia mempunyai industri perkilangan yang mantap, sektor industri kecil dan sederhana yang semakin berkembang dan sektor perkhidmatan yang signifikan dan semuanya mendorong kepada orientasi eksport. Bagaimanapun slogan cemerlang tidak disebarkan secara meluas ke seluruh negara. Justeru cabaran besar kepimpinan masa depan ialah memberi inspirasi untuk memecahkan minda yang lesu, menambahkan sumber manusia dan merencana semula pemikiran sepertimana yang dimuatkan dalam buku Revolusi Mental.
Mengingat memori lepas adalah sangat indah tetapi tidak boleh diingat selalu kerana membuai keasyikan. Apa yang harus difikirkan ialah bagaimana kita merancang membuat perubahan bagi tempoh 50 tahun yang akan datang. Penghayatan terhadap memori silam wajar dikurangkan supaya sentimen tidak mempengaruhi kejayaan pada masa depan. Banyak lagi perkara yang wajar diberi perhatian seperti pembinaan remaja dan belia berakhlak, masyarakat berbilang kaum yang bersatu dan pencapaian ekonomi yang lebih makmur.
"Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba’, Ayat 15)
No comments:
Post a Comment