Monday, August 13, 2007

Perangai bergantung kepada diri sendiri



Penulis: Pendita Za'ba
Tahun: 2005, cetakan ketiga
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 103

Lemah peribadi adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Pendita Za'ba dalam buku ini melihat kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantung harapan kepada orang lain. Melayu juga cenderung meminta bantuan dan mencari pertolongan orang lain.

Bab pertama buku ini dimulai dengan petikan maksud ayat 2 dari surah Al-Mulk yang bermaksud, "Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana Dia hendak menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." Kecenderungan Za'ba melihat perkaitan agama dan perangai dalam masyarakat Melayu mungkin kerana pengaruh reformasi Islam Mesir dan pergerakan Turki Muda ketika itu. Beliau bermula dengan menulis artikel-artikel yang pendek untuk majalah Lembaga Melayu, Pengaruh dan al- Ikhwan pada 1917.

Antara kandungan yang menarik dalam buku ini ialah pendapat beliau megenai sikap bergantung kepada diri sendiri yang menjadikan sesuatu bangsa itu maju atau mundur. Kejayaan dan kemenangan bergantung kepada diri sendiri dari segi amal usaha dan Tuhan tidak pernah menyuruh manusia untuk berharap kepada sedekah tahlil dari orang yang masih hidup apabila telah mati nanti.Za'ba menilai Melayu ketika itu masih kurang sifat kuat berusaha, bekerja dan membuat sendiri usaha sesuatu pekerjaan berdasarkan kebolehan sendiri. Mengakui kelemahan diri tetapi tidak pula berusaha untuk keluar daripada keadaan tersebut. Contohnya, jika hendak memasukkan anak ke sekolah, kerapkali hendakkan perkhidmatan yang percuma, mengaku miskin, tidak tahu berusaha dan tidak pandai berjimat-cermat mengumpulkan wang untuk menyekolahkan anak-anak. Perkataan yang amat popular ialah "Tolonglah!"

Perbandingan Melayu dan bangsa-bangsa lain amat mempengaruhi keadaan ketika itu hinggakan Za'ba menyifatkan bangsa-bangsa lain sanggup berusaha dengan bersungguh-sungguh melalui berkebun sayur, menjual kayu api, air batu, mengayuh beca, menahan lapar dan membayar pendidikan anak-anak mereka bagi setiap yang diminta.Ketika mereka ini datang sebagai 'sengkek" - tanpa ada wang dan harta, hanya tulang dan akal ikhtiar serta kebolehan diri lalu mengumpul wang, membuka kedai sehingga memenuhi pekan kecil dan besar. Semua keadaan tersebut disebabkan bangsa-bangsa ini berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa mereka boleh melakukannya sendiri.

Ulasan Editor: Za'ba adalah salah seorang pejuang Melayu yang ingin melihat bangsanya berubah dan maju. Pengamatannya terhadap kelemahan dan tertinggal di belakang disebabkan oleh sikap dan perangai yang ada pada mereka sendiri. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri," demikian maksud dari surah Ar-Raad ayat 11.

Profesor Diraja Ungku Aziz kerap merujuk buku ini dalam ucapan atau tulisan beliau apabila memperkatakan mengenai perubahan sikap orang Melayu. Biar apa pun yang dikatakan oleh Za'ba, perubahan sikap sangat berkait dengan pemikiran. Jika perubahan hendak dibuat, pemikiran harus menjadi fokus. Pelaksanaan perubahan yang paling berkesan ialah pendidikan. Justeru, memperkasa pendidikan adalah syarat membentuk bangsa yang berfikir.

No comments:

Post a Comment