Tuesday, July 31, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (2)

Belajar ialah perubahan tingkah laku yang disebabkan oleh pengkayaan pengalaman. Proses belajar terlaksana melalui perkaitan mudah antara rangsangan dan maklum balas ataupun melalui siri aktiviti kognitif yang kompleks.

Terdapat dua kategori teori dalam pendidikan yang sentiasa diperdebatkan di kalangan pendidik. Dua teori ini tidak difahami dengan jelas oleh ibu bapa, pelajar ataupun pentadbir kerana tradisi pendidikan melihat kepada pemerhatian yang lebih menyeluruh dalam perkembangan minda, sikap dan tingkah laku manusia. Tidak seperti perubatan di mana pengamal perubatan akan melakukan diagnosis menyeluruh termasuk latar belakang untuk mencari sejarah pesakit. Kemudiannya barulah mencadangkan penyelesaian segera seperti makan ubat, ubah cara hidup atau menjalani pembedahan.

Teori pembelajaran tingkah laku mengandaikan bahawa pembelajaran adalah kesan daripada tindak balas persekitaran. Bagi mengesahkan teori ini, tingkah laku positif dan negatif akan disusuli dengan ganjaran atau dendaan. Jika tingkah laku berkenaan diikuti, ganjaran yang melimpah-ruah seperti pujian, makan percuma, potensi kerjaya dan sebagainya akan diperolehi. Jika tidak diikuti, tindakan kekerasan menjadi pilihan seperti dendaan, diberi amaran ataupun dibuang sekolah.

Pembelajaran kognitif adalah hasil daripada proses mental. Ingatan jangka masa pendek dan panjang yang tersimpan di minda separa sedar berperanan membekalkan maklumat untuk membuat keputusan.

Dalam masa seminggu ini, bidang pendidikan menjadi tumpuan seluruh negara apabila media menonjolkan tindakan seorang guru di Sarawak mendenda pelajar-pelajarnya di dalam kolam. Kemudian di Johor, pelajar mencekik guru kerana didakwa tindak balas spontan. Sebagai balasan, pelajar berkenaan dibuang sekolah.

Ada banyak kejadian yang melibatkan guru-pelajar diketengahkan oleh media kepada pembaca umum dengan pelbagai tujuan. Yang menjadi mangsanya adalah sistem pendidikan Malaysia yang sedang diperhati, dianalisis dan dibuat penilaian bukan sahaja masyarakat tempatan malah antarabangsa yang berminat untuk belajar di sini.

Ulasan yang keterlaluan, beremosi dan tidak ada semangat untuk membaiki keadaan hanya akan merosakkan sistem pendidikan negara yang sedang dibina. Semua pihak tentunya tidak mahu melihat sistem pendidikan yang menjadi nadi kepada pembentukan sosial masyarakat musnah sedikit demi sedikit kerana tidak telusnya pelaksanaan pendidikan oleh golongan pendidik.

Ulasan daripada semua pihak jika diamati adalah seimbang. Setengahnya berpendapat guru wajar diberi kuasa yang lebih luas untuk mendisiplinkan pelajar. Kuasa merotan umpamanya, wajar dikembalikan. Cadangan memperkenalkan kursus berkaitan psikologi juga menarik kerana masalah disiplin dan moral pelajar dewasa ini ada kaitannya dengan perkembangan jiwa mereka. Kita tentunya tidak mahu melihat suatu hari nanti guru atau profesor ditembak oleh pelajar seperti yang berlaku di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Di pihak pelajar, ibu bapa melihat anak-anak menjadi mangsa kepada sikap panas baran dan cepat melenting sesetengah guru. Justeru, mereka sanggup membuat laporan polis untuk menuntut keadilan. Sesetengah ibu bapa yang "tidak pernah menjentik telinga" anak mereka juga menggambarkan betapa mereka sangat sayang kepada anak-anak. Walau bagaimanapun terdapat beberapa kaedah lain yang lebih baik untuk membentuk peribadi pelajar yang lebih berani dan bertempat.

Alasan dan cadangan yang dianalisis di dalam media sangat baik ke arah penyelesaian yang menyeluruh. Pentadbir, guru dan ibu bapa masing-masing dengan pandangan yang bernas beserta justifikasinya.

Asas kepada pembentukan individu yang baik, berdisiplin, aktif dan punya jati diri yang sangat cemerlang ialah pendidikan akhlak sejak kecil. Atau dengan kata lain, pendidikan anak-anak bermula di rumah. Imam Hassan al Banna ketika ditanya bagaimana hendak mengubah masyarakat Mesir ketika itu yang sangat jauh daripada agama dan mengagungkan penjajah, beliau menegaskan ianya bermula dengan pendidikan di peringkat individu, kemudiannya keluarga seterusnya membebaskan masyarakat daripada pengaruh jahiliyah. Beliau mampu berkata demikian kerana beliau juga merupakan seorang guru dan perspektif pemikirannya ialah mendidik.

Justeru itu, apabila seorang guru mengambil tindakan disiplin untuk membetulkan pelajar dan memberi pengajaran yang sangat bermakna bagi masa depan anak didiknya, adakah guru itu telah melakukan kesalahan demi masa depan masyarakatnya?

1 comment:

  1. Anonymous9:45 AM

    Salam tuan,

    Pada pendapat saya, kelemahan disiplin di kalangan pelajar memang membimbangkan. Malah rata2 kejatuhan moral berleluasa bukan sahaja di kalangan remaja tetapi juga di segenap lapisan masyarakat.

    Penggembelingan tenaga semua pihak adalah perlu bagi membantu membanteras gejala sosial dan juga memperlengkap setiap individu dengan nilai2 kerohanian yang tinggi bagi mengelak dari terjebak dalam perlakuan yang negatif dan tidak bermoral.

    Semoga usaha yang dijalankan oleh setiap pihak, walau sekecil mana sekalipun, disokong dan dihargai seadanya.

    Nik Azida

    ReplyDelete