Lima belas peratus ahli masyarakat yang telah dikaji oleh Gallup menerusi majalah Success berpendapat kejayaan ialah “kesihatan yang baik” manakala 75 peratus lagi berpendapat yang lain. Kita hanya menilai kesihatan sebagai sesuatu yang diutamakan selepas mendapati masalah pada jantung, pankreas dan buah pinggang. Tetapi cukupkah dengan kesihatan yang baik, kita sudah mencapai kejayaan?
Memberi makna terhadap kejayaan adalah sesuatu yang sukar walaupun bagi mereka yang telah bergelar jutawan.
Kejayaan adalah perubahan. Sejarah adalah perubahan. Tamadun adalah perubahan. Jutawan juga adalah perubahan. Sepanjang perubahan, semuanya berubah selari dengan matlamat yang dikehendaki.
Kebanyakan daripada kita cuma mengenali sedikit mengenai diri kita. Terlalu banyak aspek dan sumber peribadi yang kita tidak ketahui. Dan kita masih belum kenal lagi APA dan SIAPA kita yang sebenarnya.
Berapa ramaikah daripada kalangan kita yang kenal diri sendiri? APA dan SIAPA kita dari dulu hingga sekarang. Dalam hidup kita, kita tidak dapat lari daripada pernah mengalami atau tergolong dalam tiga kategori manusia iaitu: Berjaya, Terpedaya dan Celaka.
Berjaya bermaksud hari ini lebih baik daripada semalam. Apa sahaja yang kita lakukan memberi kelebihan dan kekuatan kepada kita untuk terus berusaha dan membuat perubahan yang memberi pahala, kebaikan, rahmat dan berkat di dalam hidup.
Membuat perubahan walaupun sedikit akan memberi kesan yang sangat besar dalam jangka masa panjang. Umpama pepatah, “menyimpang seinci rugi seribu tahun” dapat memberi gambaran kepada kita betapa perubahan yang sedikit akan menyebabkan penyesalan dan sukar untuk diperoleh kembali.
Berjaya boleh diukur dalam banyak perkara seperti peluang, wang ringgit, pencapaian, anugerah dan kepuasan jiwa. Konsep berjaya wajar diluaskan supaya kita tidak berfikiran sempit apabila memperkatakan kejayaan kerana ia adalah subjektif. Walau apapun, kejayaan terletak pada diri mereka yang berusaha, gigih dan rajin di samping pintar merancang dan melaksanakan strategi.
No comments:
Post a Comment