Tuesday, May 22, 2007

Mendidik kakitangan awam mengurus perbelanjaan kewangan

Kenaikan gaji di sektor awam disambut baik oleh semua kakitangan kerajaan. Imbuhan terbesar untuk kumpulan sokongan menjadikan mereka lebih bersemangat memberi khidmat dan menambah baik sistem penyampaian kerajaan.

Minggu lepas saya berkesempatan meraikan rakan lama dari Brunei yang dalam rangka kerja di Kuala Lumpur. Kami sempat singgah di Restoran Satey Kajang Haji Samuri di Bukit Tinggi, Klang dan banyaklah isu yang kami sembangkan. Antara yang menarik ialah beruntungnya kakitangan awam di Malaysia kerana kerap dinaikkan gaji. Katanya, di Brunei sudah lama gaji di sektor awam tidak dinaikkan. Barang-barang juga semakin mahal. Tambahnya lagi, kalau kerap naik gaji alangkah baiknya bekerja di Malaysia saja.

Orang luar melihat keprihatinan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan taraf hidup pekerja di sektor awam suatu yang membanggakan. Tidak banyak negara membangun di dunia yang mampu menaikkan gaji pekerja yang melibatkan bilion ringgit setiap tahun. Kecuali Singapura, kerajaan Malaysia memberi layanan yang lebih baik kepada pekerja di sektor awam dan balasannya tentulah kualiti kerja juga dapat dinaikkan. Perjuangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sudah berbaloi dan ucapan tahniah wajar diberikan kepada mereka kerana kaedah yang digunakan berbentuk perbincangan. Di sesetengah negara, untuk kenaikan gaji, kesatuan sekerja terpaksa berpiket sehingga suara mereka didengari. Justeru, selepas ini semua pihak wajar melihat pendekatan berbincang atau bermusyawarah adalah yang terbaik jika hendak mengemukakan usul kepada Perdana Menteri.

Kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus memberi impak yang sangat positif ketika harga barang semakin mahal, kos bahan api yang meningkat dan perbelanjaan yang semakin bertambah khususnya pendidikan dan pengangkutan. Golongan yang berpendapatan rendah wajar diberi pendedahan mengenai kaedah pengurusan kewangan kerana tidak guna mendapat wang yang banyak jika tidak dapat menguruskannya dengan bijak. Keluhan hujung bulan yang biasa didengari ialah wang tidak cukup, tinggal RM10.00 dan berhutang dengan Along. Keupayaan mengurus wang dengan bijak dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga, menabung untuk pendidikan anak-anak dan menyimpan untuk masa hadapan.

Bagaimana kursus pengurusan kewangan boleh diadakan?

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) adalah pusat latihan kakitangan kerajaan. Ia boleh melaksanakannya tanpa ada banyak masalah. Cuma mahu ataupun tidak. Keluhan kakitangan awam mengenai wang gaji yang tidak cukup sebenarnya boleh diatasi jika INTAN benar-benar menjadi "intan" kepada keperluan kehidupan pekerja di sektor awam. Wang juga sangat penting sepertimana pentingnya prestasi kerja mereka kepada agenda kerajaan. Tentulah Perdana Menteri sendiri tidak mahu dengar keluhan apabila hampir waktu buka sekolah dan hari raya, wang tidak cukup untuk beli baju, buku atau keperluan yang berkaitan. Juga wajar diingat, sebahagian besar kakitangan awam adalah Melayu dan Bumiputera, tentulah senang golongan ini, ia juga menyenangkan peniaga dan mengukuhkan keharmonian kaum di Malaysia.

Ini kerana kitaran penawaran dan permintaan sentiasa menjadi pengukur kepada kestabilan sosial rakyat Malaysia. Tidak perlu untuk melebih-lebihkan mana-mana pihak kerana masing-masing ada peranan yang mesti dilaksanakan. Sektor kerajaan mentadbir dan sektor swasta dapat berniaga dengan selesa dan selamat.

No comments:

Post a Comment