Kematian tidak pernah diduga. Ia akan datang dan pasti datang tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Sepanjang pertengahan tahun 2007 ini, tiga orang teman yang saya kenal telah meninggal dunia. Ketiga-tiganya adalah pengamal perubatan homeopati di Malaysia dan sentiasa berusaha memartabatkan perubatan ini di dalam masyarakat. Bulan Mac yang lalu, Cikgu Mat dari Melaka, meninggal dunia kerana angin ahmar yang berlaku dalam masa yang sangat singkat. Kedua, Ku Mokhtar di Kuala Lumpur, juga meninggal dunia kerana angin ahmar. Ketiga, Dr. Azizan Ismal, pengasas Salindah iaitu rumusan lengkap pemakanan dan rawatan ibu hamil. Set Salindah ini dikeluarkan oleh Allahyarham sejak tahun 1977.
Dr. Azizan meninggal dunia pada malam Jumaat dan dikebumikan pada pukul 11.30 pagi dengan keadaan tenang. Anaknya memaklumkan ketika arwah bapanya meninggal, wajahnya cerah dan tersenyum.
Kematian adalah pemutus keseronokan dunia. Banyak kerja akan terhenti jika berbincang fasal mati. Di pejabat, kedai kopi dan di mana-mana saja, orang cuba mengelak daripada bercerita tentang mati. Begitulah pengaruh dan kesan mengingati mati ke atas jiwa manusia kerana ia menghilangkan seronok, gembira dan suka ria tetapi digantikan dengan keinsafan, takut dan ingatkan amalan yang akan menjadi bekal untuk berjumpa Tuhan yang Maha Esa.
Saya juga merasa risau kerana mendengar satu demi satu golongan senior yang dianggap sebagai guru dan sahabat meninggal dunia. Itu belum lagi dikira rakan-rakan sekerja dan sekampung yang pergi terlebih dahulu. Antaranya rakan sekerja yang juga tidak terlalu berumur untuk jatuh sakit dan meninggal dunia. Arwah Ismail, ketua kerani di sebuah kementerian meninggal dunia kerana sakit lelah yang kronik. Seminggu sebelum itu saya berjumpa dan bercakap dengannya tentang persediaan untuk satu pertandingan di kementeriannya. Ketika itu arwah sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda yang aneh. Tetapi saya lihat wajahnya agak pucat dan kurang bermaya, mungkin keletihan kerana kerja. Selepas itu, saya dengar telah meninggal dunia apabila diberitahu melalui mesej pesanan ringkas selepas solat subuh.
Usia muda tidak menjadi jaminan untuk sihat dan hidup dengan lebih lama. Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2006 yang baru dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin panjang. Sebaliknya cara gaya hidup yang berubah menyebabkan lebih mudah penyakit berbahaya wujud di dalam tubuh. Perangkaan ini yang diterbitkan setiap tahun menunjukkan peningkatan jangka hayat bagi lelaki iaitu 71.8 tahun (umur tahun 2000, 70.2) dan wanita, 76.2 tahun (umur tahun 2000, 75.0). Keadaan hidup yang semakin baik, kesedaran terhadap kesihatan yang meningkat dan kemudahan kesihatan yang semakin bertambah telah membantu merangsang rakyat Malaysia menjadi manusia yang dapat merasai hidup dengan lebih lama.
Penduduk Malaysia juga semakin bertambah. Pada tahun 2006, jumlah penduduk lelaki ialah 13,562.6 juta dan perempuan ialah 13,077.6 juta. Jumlah kedua-duanya ialah 26,640.2 juta orang dengan pertambahan sebanyak 3,365.5 juta sejak tahun 2000. Selangor mencatatkan jumlah penduduk tertinggi iaitu 4,850.1 juta manakala Perlis, negeri paling kecil, meningkat sedikit dari 204.5 juta pada tahun 2000 kepada 228.0 juta pada tahun 2006.
Trend jangka hayat di seluruh dunia adalah semakin bertambah panjang umur kerana perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, keupayaan mencari penawar terhadap penyakit dan kesedaran amalan penjagaan tubuh badan yang semakin canggih. Pusat penjagaan diri, kelab kesihatan dan semakin ramai yang mengambil polisi insurans diri adalah ciri-ciri kesedaran yang boleh diperhati. Pertambahan pusat perubatan swasta yang menjadi saingan kepada hospital awam adalah manifestasi keupayaan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.
Kematian pada usia awal 50-an bukanlah sebagai keazaman untuk tidak mahu menempuh usia tua tetapi wajar dilihat sebagai banyak usaha yang mesti dilakukan bagi mendidik masyarakat tentang nilai dan erti kehidupan yang sihat, sejahtera dan bahagia. Salah satu punca kepada umur yang panjang ialah penjagaan kesihatan diri. Itu tidak dinafikan malah menjadi faktor utama, namun peranan mental yang sihat dan emosi yang sejahtera tidak boleh diketepikan begitu saja. Tidak banyak faedah yang kita dapat jika usia panjang tetapi emosi masih berserabut dengan kerja yang tidak pernah habis kerana memikirkan masa depan. Emosi tidak aman kerana susah hati. Susah hati kerana memikirkan bekalan untuk dibawa ke akhirat.
Bagaimana hendak bersedia dengan keadaan yang belum menentu ketika rambut hitam bertukar menjadi putih? Inilah yang merungsingkan ramai orang. Peluang hidup hanya sekali - sekali untuk menentukan syurga atau neraka. Syurga pula harganya sangat mahal kerana neraka senang untuk didiami. Beruntungnya orang yang bakal menjadi ahli syurga seperti Bilal bin Rabbah ialah berita ghaib seperti itu dimaklumkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepadanya. Orang biasa seperti kita belum tentu ke mana akan berakhir.
Mungkin peristiwa syurga dan neraka ini membuatkan ajaran sesat menjadi pilihan ramai. Ajaran "Rasul Melayu" yang ketika dulu gempar kerana "rasul" berkenaan meletak jawatan, menarik pengikut kerana dia menjanjikan syurga dengan bayaran tertentu. Dengan wang, syurga boleh dibeli dan dijamin masuk syurga. Tetapi syurga yang mana satu tidak pula diketahui. Alangkah mudahnya untuk mendapatkan syurga dengan hanya membayarnya di dunia. Bilal terpaksa hidup penuh seksa dan sengsara untuk mempertahankan akidahnya, pengikut ajaran sesat begitu mudah dan tidak perlu bersusah-payah untuk mendapatkan syurga.
Persediaan untuk mati harus bermula lebih awal dan mesti jauh tersasar daripada kemungkaran dan syirik kepada Allah SWT. Sifat dan sikap buruk seperti dengki dan iri hati yang memusnahkan kehidupan orang yang rajin dan kuat berusaha kerana bersaing dalam sesuatu bidang mesti dielakkan. Masyarakat Melayu yang masih lagi dikaitkan dengan amalan sihir, santau dan sebagainya tidak akan ke mana di dunia apatah lagi di akhirat jika masih melihat perbuatan ini sebagai kaedah cepat untuk menumpaskan pesaing mereka.
Konsep penyerahan secara mutlak kepada qada' dan qadar Allah Azza Wajalla mesti diimani dengan tekad yang kuat. Kesedaran seperti inilah yang akan membahagiakan emosi dan jiwa kerana orang yang berjiwa besar akan berjaya di dunia dan akhirat. Arwah Dr. Azizan, ketika berusaha menangkis tohmahan ke atas ubat Salindah yang dihasilkannya pernah berkata, "Salindah dicipta untuk orang yang berjiwa besar."
Sememangnya saya juga sangat risau apabila memikirkan amal ibadat yang ada sepanjang hidup ketika ini kerana sibuknya dengan urusan dunia. Bak kata Imam Hasan Al-Banna, "kerja untuk dakwah Islam lebih banyak daripada masa yang kita ada." Maknanya, Melayu dan Islam, tidak ada jaminan untuk mendapat rahmat Allah SWT kalau masih lagi lagha dengan kerja dunia yang melalaikan dan tidak membina iman dan taqwa. Pekerjaan yang baik harus dilaksanakan bersungguh-sungguh, menjaga amalan wajib dan sunat, memanjangkan silaturrahim dan rajin serta aktif mengajak orang lain muhasabah diri.
Kematian tiga orang sahabat sangat memberi kesan kepada jiwa saya dan rakan-rakan yang lain. Semoga kami beroleh kekuatan yang luar biasa untuk berdepan dengan keadaan seperti ini. Mengingat kembali kata-kata Pak Atondra, "toleh di kiri dan kanan, rakan-rakan yang dulunya ada bersama kita, seorang demi seorang kembali menemui Tuhannya." Khaled Yassin, seorang pendakwah Islam yang gigih berkata, "salah satu daripada tiga penyebab kematian kepada masyarakat Barat ialah membunuh diri." Soalan yang boleh kita renung bersama, adakah hidup di dunia ini tidak penting?
Semoga roh mereka dicucuri Allah SWT, Amin.
No comments:
Post a Comment