Saturday, May 26, 2007

Naikkan harga: Imej restoran mamak tercemar


Setiap kali musim perayaan, pemberian bonus dan kenaikan gaji kakitangan awam, operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa menjadi perhatian. Harga barang yang melambung menjadikan petugas dan penguatkuasa kementerian tidak dapat duduk diam. Operasi terbaru selepas pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam ialah Ops Mamak. Ternyata kelompok restoran mamak menjadi perhatian semula kerana tindak-tanduk mereka yang mengambil kesempatan di atas kenaikan gaji berkenaan. Walaupun belum lagi dimasukkan ke dalam akaun bank, pengusaha restoran mamak yang rakus dan gelojoh ini bertindak sesuka hati bagi menyapu bersih keuntungan yang bakal diperolehi.


Restoran mamak di Malaysia bernasib baik kerana perniagaan mereka diyakini kerana makanan yang disediakan dapat memenuhi selera kebanyakan rakyat Malaysia walaupun diketahui ramai pekerjanya diimport dari India. Di samping bayaran gaji yang murah, pengusaha restoran mamak sanggup berbelanja mewah bagi menarik perhatian pengunjung. Ada sesetengah restoran ini menayangkan skrin gergasi di kawasan padang bagi siaran Astro seperti bolasepak, gusti ataupun filem hiburan. Ada juga yang sanggup menyewa kawasan yang kosong bersebelahan restoran mereka walaupun terpaksa membayar RM2,500.00 sebulan. Kesungguhan mereka menjadikan industri makanan sebagai "tempat cari makan" sukar ditandingi oleh kaum lain. Trend restoran 24 jam dicetuskan oleh restoran mamak yang jumlahnya semakin meningkat dari sehari ke sehari.


Sejak tiga tahun yang lalu, operasi menaikkan harga barang seringkali berjaya mendedahkan taktik kotor peniaga yang menaikkan harga barang. Pendedahan di media massa pengusaha berkenaan memberi kesan buruk kepada peniaga dan menyedarkan orang ramai untuk terus berhati-hati ketika berbelanja dan berjimat-cermat.


Kesedaran orang ramai yang semakin menyerlah menjadikan peniaga tamak semakin berhati-hati kerana kementerian sendiri sentiasa menghebahkan maklumat dan menyediakan talian penting bagi dihubungi dan melaporkan kegiatan yang tidak beretika ini. Serbuan kementerian di restoran yang diuruskan oleh Petaling Samudera Sdn Bhd baru-baru ini adalah gambaran jelas peniaga restoran mamak yang rakus. Di Seberang Prai, beberapa pengusaha restoran mamak juga disisasat kerana pelanggan menerima aduan harga makanan dan minuman yang dinaikkan.


Isu kenaikan harga minuman di Kuala Terengganu juga menjadi bahan kerana harganya terlalu mahal. Agak pelik kerana kebanyakan harga barang di Kuala Terengganu sememangnya mahal seperti pakaian, makanan dan minuman. Minyak petrol di sesetengah kawasan pun lebih mahal daripada harga yang ditetapkan oleh kerajaan. Kenaikan harga barangaN keperluan asas di sana menjadi ikutan pengusaha-pengusaha yang lain untuk menaikkan harga.


Di Malaysia, penyelesaian kenaikan harga barang digerakkan sepenuhnya oleh kerajaan kerana pengguna masih lagi belum sedar hak dan kuasa yang ada pada mereka. Luahan kenaikan harga barang kurang didengari kerana mereka tidak tahu saluran yang betul untuk meluahkan kekecewaan tersebut. The Federation of Malaysia Consumers Association (FOMCA) wajar bertindak lebih proaktif dan bukannya merayu kepada kerajaan untuk mengambil tindakan. Peranan FOMCA membela hak pengguna tidak patut dibuat bermusim sebaliknya berterusan mendidik masyarakat menghargai hak mereka.


Kementerian pula perlu menurunkan kuasa kepada Pegawai Daerah di seluruh negara untuk memantau sama ada peniaga menaikkan harga barang keperluan ataupun tidak.

No comments:

Post a Comment