Wednesday, May 30, 2007

Pendatang asing: Perspektif Eropah (1)

Kehadiran pendatang asing diukur dalam dua keadaan iaitu ukuran objektif dan ukuran subjektif. Ukuran objektif ialah bilangan imigran direkodkan kemasukan mereka, ukuran subjektif ialah setiap orang dalam komuniti bertindak balas terhadap kehadiran imigran yang berada di sekitar mereka.

Di sesetengah negara Eropah, sama ada pekerja asing ataupun pendatang asing, ia dikategorikan dalam satu definisi: orang asing. Negara-negara Nordic umpamanya, penduduk yang mempunyai latar belakang imigran seringkali menjadi mangsa kepada pilih kasih dan berat sebelah. Jika anak-anak muda imigran ini terlibat dengan kes jenayah yang serius, perkara pertama yang dilakukan oleh pemimpin politik di sana ialah memanggil ketua agama. Kenapa? Mereka tidak memanggil pendeta kristian jika anak-anak muda Norway terlibat dengan jenayah, sebaliknya mereka mendapatkan pandangan ahli sosiologi, psikologi dan ketua komuniti.

Faktanya ialah, di Denmark, sama seperti negara-negara Eropah yang lain, masyarakatnya melihat budaya bukan Eropah sebagai ancaman kepada kehidupan seharian penduduk tempatan Denmark. Pembunuhan kanak-kanak berumur 15 tahun di Norway pada 1991 adalah berpunca daripada sengketa perkauman tetapi tidak dianggap sebagai masalah yang serius walaupun mengejutkan banyak pihak. Hal yang ketara ialah kebanyakan parti politik yang memenangi pilihan raya dilihat menggunakan isu pendatang asing bagi mempengaruhi pengundi bagi memenangi pilihan raya.

Sebahagian penduduk di negara-negara Nordic merasakan sistem kebajikan yang dilaksanakan menjadi tarikan kepada imigran yang datang ke tempat mereka. Malahan, sesetengah negara maju seperti Belanda, kemasukan pendatang asing meningkatkan tekanan terhadap faedah-faedah yang disediakan bagi program pengangguran negara itu. Mereka merasakan pendatang asing ini adalah "penumpang" yang datang ke Eropah untuk menikmati faedah-faedah sosial yang ditanggung oleh pembayar cukai.

Di Perancis, Le Pen menggunakan isu kehadiran lima juta masyarakat Islam di sana untuk meraih undi dalam pilihan raya presiden yang diadakan. Beliau turut mengaitkan jenayah dan pendatang asing yang menakutkan. Justeru timbul prasangka buruk daripada masyarakat awam yang melihat perbuatan kekerasan dan jenayah yang dimonopoli oleh masyarakat etnik minoriti. Kesannya sangat keras, luas dan melata. Sebagai contohnya, pemakaian tudung oleh pelajar muslim diharamkan di sekolah-sekolah kerajaan dan tindakan membuang pelajar yang melanggar arahan berkenaan akan dilaksanakan serta-merta.

Pada April 2003, kerajaan Perancis membenarkan masyarakat Islam memilih ahli majlis bagi mewakili lima juta masyarakat Islam di sana. Bagaimanapun, selepas kemenangan 14 calon Union of Islamic Organization daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, Menteri Dalam Negeri, Nicholas Sarkozy mengancam untuk memecat pemimpin Islam yang ekstrem daripada majlis berkenaan jika mereka menggalakkan jenayah atau menjadi anti Yahudi.

Sikap kerajaan British terhadap Islam juga keras. Sikap berat sebelah sangat ketara apabila melibatkan peraturan imigresen iaitu apabila rakyat Australia tinggal melebihi tempoh masa di sana, tidak ada tindakan serta-merta diambil, sebaliknya pendatang asing yang lain diancam akan diusir ke negara asal.

Ketegangan sosial dalam isu imigresen meningkat dengan ketara bersama peningkatan bilangan serangan berasaskan perkauman. Pengerak sayap kanan seperti Jorg Haoder di Austria, Pia Kjaersgaard di Denmark, Filip Dewinter di Belgium dan Bossi di Italy tetap angkuh dengan memainkan isu kehilangan identiti nasional dan berkempen menentang kemasukan pendatang asing. Sudah memadai dengan melihat melalui kafe di Paris atau galeria di Milan, betapa di sebalik keanggunan pemisah kaca dan jalan raya, perasaan penghuni di dalamnya berkocak dengan kehadiran pendatang asing. Peningkatan prasangka masyarakat Eropah terhadap pendatang asing di tempat mereka menunjukkan trend tidak ada tolak ansur yang berterusan. Ia bukan bersifat rhetorik yang membakar, sebaliknya keganasan terhadap pendatang asing menyala-nyala dari El Ejido, Sepanyol ke Dessau, Jerman, Odham di utara England dan pembunuhan ahli politik Belanda, Pirn Fortuyn malahan negara-negara Nordic sendiri menuntut undang-undang yang lebih keras berkaitan imigresen.

Berhadapan dengan reaksi emosional ini, terdapat statistik yang berbeza dan menceritakan kisah yang menarik. Ia adalah kisah-kisah kejayaan imigran yang mencipta kejayaan mereka di Eropah, merealisasikan impian menjadi kenyataan. Pada 1999, seramai 16 juta pendatang asing di Eropah Barat memperolehi pendapatan lebih daripada US$460 bilion. Bilangan mereka yang bekerja sendiri meningkat 20 peratus dalam masa tujuh tahun lepas. Di Belanda, bilangan perniagaan yang dimiliki oleh pendatang asing meningkat tiga kali ganda sejak 1986. Di Italy, satu per tiga tenaga buruh dalam sektor industri dan perkhidmatan dilakukan oleh imigran biar pun mereka hanya mewakili dua peratus penduduk. Masyarakat imigran Cina di Britain lebih ramai yang bekerja di sektor profesional dan mendapat pendapatan melebihi US$40,000.

Hakikat sebenarnya ialah angka-angka ini menceritakan betapa pendatang asing turut menyediakan sumber yang sangat bermakna bagi faedah negara-negara Eropah. Soalannya ialah: kenapa masyarakat Eropah mempunyai sikap prasangka terhadap pendatang asing ini?

Jawapannya ialah: pendatang asing merupakan ancaman bagi kehidupan mereka. Ancaman ini berkaitan dengan identiti.

Di peringkat negara, ancamannya ialah: negara melihat pengaliran masuk imigran mengancam keselamatan sosial, ekonomi, politik dan institusi pentadbiran kerana berhadapan dengan integrasi imigran yang ramai secara mendadak.

Di peringkat individu, "warganegara Eropah" adalah menakutkan kerana: meragut peluang pekerjaan pekerja tempatan dan mengurangkan gaji mereka, secara terbuka dan berterusan menolak nilai-nilai liberal Eropah seperti pendidikan sekular, hak-hak wanita, demokrasi dan kebebasan individu serta menggunakan alasan pelbagai budaya untuk menyerang nilai-nilai negara yang didiami. Justeru, mereka dilihat sebagai mengancam identiti penduduk tempatan kerana gagal mengiktiraf toleransi seperti demokrasi yang mana perlu dihormati dalam masyarakat keseluruhannya.

Ancaman ini bertambah dengan rasa takut terhadap peningkatan jumlah imigran yang membanjiri bandar-bandar di Eropah yang memberi ruang kepada kumpulan ini untuk membentuk jaringan kerjasama yang mantap dalam tempoh yang singkat.

Berkaitan dengan perkembangan itu juga, masyarakat Eropah juga bimbang dengan motif sebenar kehadiran imigran ini yang dikaitkan dengan jenayah terancang, perilaku mendera dan eksploitasi. Begitu juga sejumlah wang yang besar dalam perdagangan hamba. Ramai juga yang berasa curiga dengan proses pengharmonian dan piawaian bagi mewujudkan "Eropah Baru" ke arah pembentukan "budaya Eropah" iaitu kesejagatan nilai.

Para penyelidik yang mengkaji rasa takut ini mengkategorikan penduduk Eropah kepada tiga komponen. Pertama, takut kepada pendatang asing kerana identiti penduduk asal akan berubah kerana terdapat perubahan dalam komposisi penduduk kini. Kedua, persaingan mendatar – penduduk tempatan mesti menukar cara hidup mereka kerana terdapat pertindihan budaya dan pengaruh bahasa yang datang dari luar. Ketiga, persaingan menegak – penduduk setempat di bandar, pekan dan kampung di Eropah akan lenyap secara beransur-ansur kerana ahli Kesatuan Eropah yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Imbasan rasa takut ini, apa yang membingungkan ialah cara masyarakat Eropah melihat diri mereka sendiri. Berabad-abad lamanya, corak perpindahan imigran ke Eropah berlaku kerana banyak sebab. Antaranya ialah penindasan agama, kelaparan dan kemiskinan, sesetengahnya kerana ingin mengubah nasib sedia ada dan hendak mencari kehidupan yang lebih baik. Peningkatan masuk pendatang asing sebagai buruh dan bekerja di sektor perkhidmatan dan kerja-kerja perburuhan terjadi kerana masyarakat Eropah sendiri yang menunggu kerja datang kepada mereka. Kebanyakan daripadanya enggan bekerja di luar daripada bandar kelahiran sendiri.

Berdasarkan kajian Eurobarometer 2002, negara-negara Eropah menunjukkan mobiliti geografi yang lemah berbanding tahun 1950-an dan 1960-an. Hari ini mobiliti geografi di antara ahli-ahli Kesatuan Eropah dianggarkan 0.1 dan 0.2 peratus daripada 377 juta orang setiap tahun. Lebih jauh daripada itu, ia berkaitan dengan pekerjaan. Penduduk di negara-negara Kesatuan Eropah jarang bertukar tempat kediaman; 38 peratus daripada mereka, secara puratanya akan berpindah dalam masa sepuluh tahun.

Apa yang menyukarkan ialah sebahagian besar rakyat Eropah tidak melihat mereka sebagai masyarakat pendatang seperti mana Amerika Syarikat, Australia atau Kanada. Perubahan struktur masyarakat tidak dapat dijejak dengan jelas oleh mereka dan debat serta perbincangan mengenai pendatang asing di Eropah kini, terbuka seluas-luasnya.

No comments:

Post a Comment