Iqra’ adalah proses peranjakan hidup ketika lemah, malas dan tanpa arah kepada kejayaan, kecemerlangan dan kehebatan. Iqra’ adalah rahmat Allah yang dicipta sebagai mekanisme membolehkan manusia berhijrah akal, ruh dan jasad. Iqra’ mencetuskan budaya membaca, mengkaji, menyelidik, memeriksa, menguji, mencuba, meneroka, mengira, menilai, merenung dan meneliti setiap sudut dalam kehidupan. Membentuk individu yang mempunyai kefahaman terhadap sesuatu konsep yang jelas, tepat, betul, benar, sahih dan tidak ragu-ragu. Memahami konsep akan membina keyakinan dalam apa jua keadaan. Lalu Allah SWT mengingatkan bahawa kejadian manusia dan umat ini adalah suatu perancangan seperti ayat 30 surah Al- Baqarah,
“(Dan ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”
Tuhan menjadikannya dalam bentuk yang sebaik-baiknya, mengajar dan memeliharanya, diperlengkapkan dengan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran.
Seterusnya diberi gelaran sebagai umat yang terbaik melalui kenyataan yang kukuh dan teguh dalam surah Al-Baqarah ayat 143,
“Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu.”
Perubahan hidup adalah keinginan semua orang untuk menjadi lebih baik. Iqra’ menjadikan masyarakat jahil bertukar hebat dan kuat di empat penjuru alam.
Definisi kejayaan tidak pernah sama kepada dua orang ... bagaimanapun proses ke arah itulah yang sama pada setiap orang.
John C. Maxwell, penulis Your Road Map for Success
No comments:
Post a Comment