Hari ini adalah Hari Guru. Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia.
Dua puluh tiga tahun yang lalu, Cikgu Ibrahim mengajar saya mata pelajaran Bahasa Malaysia. Kelas hari itu berkaitan dengan ejaan. Saya di antara tiga orang pelajar yang dilewatkan keluar untuk rehat pagi kerana salah mengeja perkataan "lengang." Saya eja "lenggang." Dan saya yakin "lenggang" itulah yang betul. Cikgu Ibrahim, dengan sifat seorang ayah, memberitahu kepada saya yang "lenggang" adalah menggoyangkan pinggang, dan "lengang" adalah keadaan jalan raya yang tidak banyak kenderaan. Selepas itu barulah saya mengeja perkataan yang betul iaitu "lengang."
Seterusnya, kejayaan adalah milik saya. Belajar membaca tanpa jemu, mengeja dengan berhati-hati dan bertanya jika tidak faham. Cikgu Ibrahim adalah lambang kegigihan seorang pendidik yang tabah memberi imu dan mengajar saya daripada dangkal kepada cerdik, cukup makan kepada cemerlang, daripada persepsi kepada rasional. Masih ramai rakan saya yang hidup tidak tentu arah, terlibat dengan unsur negatif dan ada yang berakhir dengan kematian yang menyedihkan.
Peranan guru pada hari ini sangat mencabar. Didikan mereka tidak boleh lagi disamakan dengan kaedah tahun 1950-an atau 60-an kerana perubahan telah berlaku. Pelbagai pendekatan yang diguna pakai dari dulu hingga sekarang membentuk pelajar yang lebih berdaya maju dan agresif dalam mencapai kejayaan. Kaedah Freudian tidak lagi sesuai dan digantikan dengan Skinnerian. Semakin lama semakin banyak teori yang berkaitan dengan pembelajaran dibawa ke dalam sistem pendidikan yang melahirkan pelajar yang sangat objektif: cemerlang atau gagal.
Guru yang terdesak untuk melihat kecemerlangan pelajar kadangkala tersalah membuat perkiraan. Dua hari yanglepas, seorang pengetua dan guru disiplin sekolah di Pulau Pinang "panas punggung" kerana kejadian merotan pelajar di sekolah mereka bertukar menjadi kes polis. Pelajar yang dirotan tentulah mempunyai sebab-musabab kena rotan dan pertimbangan guru juga berdasarkan sebab-musabab yang kukuh. Kejadian ini bukanlah pertama kali berlaku malah ada sahaja kes seperti ini dilaporkan.
Guru yang mendidik anak murid menjadi manusia, itulah sebenarnya yang berjaya. Berbangga melihat anak-anak didiknya melangkah setapak demi setapak sehingga ke universiti, menjadi pemimpin masyarakat dan negara malah berani menyuarakan prinsip keadilan, kesaksamaan dan keselamatan di peringkat dunia. Kita yakin guru jenis ini lebih ramai daripada guru yang merogol pelajar ataupun guru yang berkhalwat dengan pelajar.
Bagaimana pula guru boleh menjadi seorang pendidik?
Guru tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat sekitarnya. Masyarakat ini pula mempunyai nilai dan tradisi yang dipegang berkurun-kurun dari satu keturuan ke satu keturunan. Nilai-nilai ini diikat dengan persefahaman dan hormat-menghormati sesama ahli masyarakat supaya hidup dalam keadaan harmoni. Peranan terbesar guru ialah mempastikan nilai-nilai ini tetap terpelihara, disubur dan diperteguh supaya generasi seterusnya adalah generasi yang mempunyai jati diri yang mantap.
Nilai-nilai yang ada di dalam masyarakat pada hari ini dirasakan semakin goyah kerana pelajar tidak diterapkan dengan jati diri yang utuh. Pemikiran mereka mudah kalah, emosi mereka mudah dipengaruhi dan tingkah laku mereka sangat senang dirangsang dengan tindakan agresif. Pelajar, ketika kecilnya sangat mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang dewasa. Jika dalam perjalanan ke sekolah mereka melihat orang dewasa berebut untuk naik bas Metro, mereka juga berebut untuk naik bas sekolah ketika pulang ke rumah. Jika dalam perjalanan ke sekolah mereka melihat orang dewasa meredah sahaja lampu isyarat berwarna merah, mereka juga akan membelasah lampu merah walaupun hanya dengan menaiki basikal.
Justeru itu, pelajar hari ini mungkin dikatakan berada dalam dilema untuk menentukan mana satu yang betul dan mana satu yang salah. Di sekolah mereka diajar dengan tertib, berpanduan dan penuh ketegasan daripada guru. Keluar dari kawasan sekolah, masyarakat mendidik mereka untuk tidak menghiraukan lampu isyarat, tidak menghiraukan keselamatan kepala, tidak menghiraukan kekotoran, tidak menghiraukan akhlak yang mulia dan akhirnya, tidak menghormati pendidikan. Sekolah hanyalah sebagai satu tempat untuk didatangi secara formal, bukannya sebagai sebuah institusi yang membentuk kehidupan yang cemerlang.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) adalah manifestasi inisiatif kerajaan bagi menjadikan masyarakat guru diangkat martabat mereka. Diberi kedudukan yang istimewa dan dihormati oleh semua golongan masyarakat. Dalam masa yang sama, pelajar yang dilahirkan juga mempunyai ciri-ciri yang bertaraf antarabangsa. Pemikiran, tindakan dan pertimbangan yang diambil adalah dipandukan dengan akal yang sihat dan emosi yang stabil supaya kejadian bunuh diri kerana gagal dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi berulang. Juga mala petaka guru mencabul murid, guru merogol pelajar dan guru ditumbuk bapa pelajar tidak akan berulang lagi. Biarlah kesedihan yang dialami oleh guru dan pelajar itu disimpan di muzium kesedihan selama-lamanya. Sebaliknya muzium kecemerlangan dan keceriaan dibuka seluas-luasnya untuk ditatapi dan dikongsi bersama oleh seluruh dunia.
Guru adalah peniup ruh pembangunan negara. Bermula dengan mengeja, menulis dan mengira, pelajar hari ini mampu mencipta penawar untuk ulcer, mencipta perisian komputer untuk syarikat gergasi dunia dan mencipta jutawan muda yang pintar. Semuanya dikembalikan untuk masyarakat dan negara. Tidak ada yang tertinggal malah semua penemuan baru itu akan dizahirkan kepada guru sebagai penghargaan kepada mereka.
Hari Guru. Itulah sebuah hari yang bermakna, amat bermakna kepada semua guru di Malaysia.
No comments:
Post a Comment