Entah kenapa, tiba-tiba kereta saya rosak di tengah jalan. Penunjuk suhu enjin hampir mencecah paras "H." Serta-merta otak saya berfikir bagaimana dan di mana hendak berhenti, sejukkan enjin, isi air dan bergerak semula.
Kereta kecil kurang buat hal. Lebih-lebih lagi selepas baru sahaja dihantar ke bengkel kereta untuk tukar minyak hitam, tukar bateri, cuci enjin dan dibersihkan. Kursus di Klang terpaksa saya tangguhkan.
Pengalaman kereta rosak sangat berharga. Sekurang-kurangnya beberapa perkara harus dilakukan iaitu bersedia, merancang, ada pelan B dan sentiasa menilai. Perjalanan keluar dari rumah, jalan raya yang sesak, berhenti di tepi jalan beberapa kali, dapat "parking free" di tempat berbayar dan akhirnya selamat sampai ke rumah. Semuanya benar-benar memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang mengalaminya. Semuanya bersebab kerana Tuhan tidak buat sesuatu dengan sia-sia. Kereta rosak walaupun kecil, amat bermakna untuk saya ambil pengajarannya.
Keluar rumah dengan bermatlamat cukup bagus. Ada arah dan tujuan. Tidak perlu melencong ke tempat lain. Tetapi perancangan kita tidak selalunya berkesan. Persekitaran banyak menghalang.
Pengalaman tersadai tiga jam di hadapan "The Wedding City" untuk menyejukkan enjin membuka fikiran dan mata saya betapa orang yang berani mengambil risiko pasti akan menerima habuan yang lebih baik. Jika berjaya, hidupnya lebih senang dan makmur. Jika gagal, dia belajar bagaimana untuk tidak gagal pada masa hadapan. Tiga lot kedai di tepi jalan utama dihias indah dengan patung berpakaian pengantin perempuan. Ruangan utama dibentuk dengan sentuhan moden dan kerusi dan meja yang tersusun kemas. Nampak sangat profesional dan selesa. Pancaran cahaya menambah gemerlapan model yang sengaja diletak bagi memberi kesegaran kepada ruang hiasan dalaman berkenaan.
Di kawasan siar kaki, tiang konkrit diulit pasir khas yang melambangkan kekukuhan dan kemewahan. Bersih dan klasik. Pelanggan yang datang pun bukannya sebarangan. Ada berkereta Mercedese, BMW dan Honda, yang lainnya Waja.
Dan semua pekerja dan pengunjung di kedai ini berbangsa Cina. Saya cuba membayangkan bagaimana pengusaha kedai ini membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan dan mencantikkan hiasan dalaman kedainya. Saya fikir pengusaha kedai pengantin ini berkumpulan dan tentulah mereka telah membuat kajian, semakan dan timbng tara yang wajar sebelum mengambil keputusan untuk mengubah suai tempat yang menarik ini.
Sambil memerhati dari jauh, saya memikirkan apakah nilai-nilai yang dipegang oleh peniaga-peniaga Cina ini. Apakah yang menggerakkan mereka untuk berhabis wang ringgit membangunkan kawasan perniagaan berteraskan gembira, seronok dan imej prestij ini? Sama seperti "The Auto City" di Pulau Pinang, mereka agaknya mahu mencetuskan jenama sendiri dalam industri perkahwinan.
Berniaga sangat berkait dengan nilai yang dipegang dan menjadi prinsip utama. Peniaga yang aktif, agresif dan tahu mencari peluang akan mendominasi pasaran, menarik lebih ramai pelanggan dan mencipta kekayaan. Peniaga yang memiliki pegangan nilai yang lemah, aspirasi terhadap keuntungan yang rendah dan tidak memiliki ciri-ciri mesra pelanggan, biasanya akan ketinggalan.
Sambil membaca buku terkini yang dibeli, "Winning" yang ditulis oleh Jack Welch, "Have a positive attitude and spread it around, never let yourself be a victim, and for goodness' sake – have fun," saya berfikir nilai peniaga berkenaan tentulah berani dan beraspirasi tinggi terhadap pelaburan mereka. Berniaga sangat banyak bergantung kepada kemahuan diri dan nilai yang dipegang serta subur di dalam amalan harian, bukannya mengharap ihsan orang lain untuk memajukan usahaniaga dan memberi keuntungan berganda.
Saya dapati, sederet kedai di kawasan strategik itu dimiliki oleh pengusaha Cina yang terdiri daripada pelbagai jenis perniagaan. Ada yang bersifat mesra pelanggan, "high class" dan ala kadar. Bagi jenis mesra pelanggan dan "high class," mereka sanggup berbelanja sakan untuk memajukan perniagaan manakala bagi jenis ala kadar, cukup dengan apa yang ada dan itu sahaja yang boleh disediakan untuk pelanggan mereka.
Mentaliti peniaga dan empunya perniagaan melambangkan tahap kesedaran dan pengetahuan yang dimilikinya bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik.
Di kawasan belakang bangunan itu, ada deretan gerai makan pasang siap, betul-betul di tepi jalan utama. Mentaliti peniaga-peniaga makanan di sini hanyalah keuntungan tanpa mengutamakan kebersihan. Dalam banyak keadaan, gerai tepi jalan ini terdedah kepada habuk, debu dan percikan air kotoran jalan raya. Ditambah lagi keadaan sanitasi yang teruk, tikus-tikus bermain kejar-kejaran ketika pelanggan sedang enak makan nasi ayam, tomyam seafood dan kerang bakar.
Amat berbeza mentaliti peniaga perkhidmatan perkahwinan dan gerai makan tepi jalan ini.
No comments:
Post a Comment