Orang dewasa yang dibesarkan dalam keluarga miskin dan persekitaran rumah yang tidak stabil menghadapi risiko meningkatnya tekanan, tetapi jika dibesarkan dengan pusat jagaan harian yang berkualiti pada peringkat awal, ianya dapat mengurangkan kesan daripada persekitaran yang tidak menguntungkan itu.
"Pengalaman awal ini boleh memberi kesan bagi jangka masa panjang yang berkekalan," ujar Dr. Elizabeth P. Pungello dari University of North Carolina, Amerika Syarikat yang memberitahu hasil kajian yang ditemuinya. "Kita perlu menggunakan sumber yang terhad untuk membuatkan pengalaman awal itu boleh menjadikan hidup kanak-kanak lebih berkualiti tinggi pada masa hadapan."
Diketuai pelajar siswazah Andrea E McLaughlin, Pungello dan pasukannya melihat kepada gejala-gejala tekanan kepada 104 orang kanak-kanak yang kini berumur 21 tahun. Beberapa orang lelaki dan wanita telah dipilih secara rawak untuk ditugaskan di pusat jagaan harian bagi menjaga bayi hingga kanak-kanak berusia lima tahun dan dibandingkan dengan kumpulan kawalan. Para penyelidik melawat setiap pusat jagaan berkenaan dan menggunakan skala piawaian khusus bagi mengukur kualiti hidup penghuni di situ.
Pekerja sukarela di pusat jagaan tersebut menerima gaji dan faedah-faedah yang lain yang hampir sama dengan kakitangan tetap pusat jagaan sedia ada. Justeru, motivasi pekerja sukarela dan kakitangan sentiasa berada pada tahap tertinggi dan kestabilan "keluarga" di pusat jagaan harian berkenaan lebih baik daripada keadaan di rumah kanak-kanak itu sendiri.
Menurut Dr. Frances Campbell, seorang penyelidik, kanak-kanak akan menerima perkembangan pendidikan yang lebih baik tanpa diajar membaca ketika berumur 2 tahun. Ketika ini, kebanyakan kanak-kanak diberi banyak permainan bagi memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan persekitaran dan "kerap kali mereka tidak diberi perhatian ke atas perkembangan dan pembelajaran."
Setelah dewasa, para penyelidik mendapati mereka yang tidak pernah menghadiri program di pusat jagaan harian menunjukkan simptom tekanan yang lebih tinggi dan 37 peratus yang didiagnosis, menunjukkan ada kecenderungan tekanan dari segi klinikal. Di kalangan kanak-kanak yang pernah menghadiri program berkenaan, 26 peratus mendapat markah yang tinggi bagi simptom tekanan yang memenuhi kriteria klinikal.
Apabila pasukan itu melihat kepada kualiti kehidupan di rumah dan keadaan berisiko tekanan di kalangan individu-individu yang tidak menghadiri program pusat jagaan kanak-kanak, didapati keadaan persekitaran rumah mereka lebih teruk, justeru meningkatkan risiko tekanan mental. Sebaliknya, kanak-kanak yang pernah menghadiri program di pusat jagaan harian biarpun keadaan rumah mereka agak teruk, ianya tidak mempengaruhi risiko tekanan apabila mereka membesar.
"Program ini menampan kesan-kesan suasana rumah yang kurang selesa," kata Campbell.
Kesimpulan daripada kajian ini ialah pengalaman awal yang positif memberi perbezaan yang sangat ketara kepada kanak-kanak untuk membesar dan berkembang dari segi kesihatan mental khususnya kanak-kanak yang hidup di bawah paras kemiskinan. Adalah sangat penting mengambil berat dan membuat sedikit pelaburan bagi meningkatkan pengalaman awal kanak-kanak miskin ini supaya kehidupan mereka akan bertambah baik apabila melalui peringkat umur tertentu.
No comments:
Post a Comment