Monday, May 28, 2007

Malaysia sebagai sebuah negara Islam


Penulis: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tahun: 2005
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur
Muka Surat: 866

Terdapat 9 bahagian yang menjelaskan Malaysia sebuah negara Islam yang merangkumi 34 penulis termasuk mufti, pensyarah, aktivis sosial, penyelidik dan Perdana Menteri Malaysia sendiri, YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Semua penyumbang artikel di dalam buku ini berada di Malaysia, menambahkan kewibawaan kefahaman mereka terhadap pelaksanaan Islam dalam pelbagai urusan masyarakat dan negara Malaysia.


Dimulakan dengan takrifan negara Islam, IKIM menyusun satu per satu topik ini bagi memberi gambaran yang jelas kepada pembaca untuk melihat peranan Islam di dalam masyarakat dan bagaimana masyarakat dapat meletakkan setiap urusan hidup agar selari dengan ajaran Islam.

Enam topik penting yang dibincangkan ialah pentadiran dan pengurusan negara Islam, syariah dan perundangan, keharmonian kaum, pendidikan Islam, ekonomi Islam dan bab khusus untuk wanita: peranan dan kemajuan wanita Islam. Topik-topik ini membantu pembaca untuk melihat pelaksanaan setiap bidang daripada perspektif yang berbeza dan sejauh mana pencapaiannya dapat membantu masyarakat Islam membina hidup yang lebih baik. Peranan dan kemajuan wanita Islam di Malaysia semakin menyerlah khususnya mendapat peluang yang sama rata dengan lelaki dalam sektor pendidikan dan ekonomi.

Sehingga kini, kejayaan terbesar wanita Malaysia ialah mempunyai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diasaskan pada Mac 2004 sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan dan keupayaan wanita dalam proses pembangunan negara.

Kejayaan Malaysia melaksanakan beberapa dasar khususnya Rancangan Malaysia setiap lima tahun telah mengubah lanskap pembangunan dan kemajuan negara. Islam di Malaysia terus disuburkan melalui dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, masyarakat madani dan pendekatan Islam Hadhari. Kejayaan menaikkan martabat Islam ini membuka mata dan fikiran ramai pihak khususnya pakar ekonomi dan pendidikan Islam di dunia bahawa pengemblengan sumber dan pembangunan modal insan akan meningkatkan maruah umat Islam. Tidak hairanlah peranan Malaysia yang agak ketara dalam Organization of Islamic Conference (OIC).

Ulasan Editor : Islam di Malaysia diperkasa dengan bersungguh-sungguh. Usaha IKIM menerbitkan buku ini sangat bermanfaat untuk semua pihak mendapat maklumat yang lengkap mengenai usaha kerajaan melaksanakan dasar-dasar Islam dalam semua bidang kehidupan. Usaha memartabatkan perbankan Islam umpamanya, telah memberi persaingan yang sangat sengit kepada perbankan konvensional dan menggalakkan persaingan yang sihat di antara kedua-dua produk ini. Masyarakat Islam kini mempunyai pilihan untuk melaksanakan suruhan ajaran Islam dalam aktiviti muamalat mereka tanpa ragu-ragu lagi.

No comments:

Post a Comment