Saturday, August 29, 2015

Tegas dengan pelawat hospital







Kisah pelawat membelasah seorang pengawal keselamatan di sebuah hospital kerana enggan membenarkan kanak-kanak dibawa bersama ke dalam wad mengundang simpati orang ramai. Dalam gambar yang dimuatkan dalam media, tangan kiri dan kanan pengawal keselamatan tersebut dipegang oleh dua lelaki sementara seorang lelaki lagi menendangnya di belakang.

Motifnya tiga lelaki tersebut adalah kerana tidak puas hati.

Kita melihat pengawal keselamatan berkenaan telah membuat keputusan yang betul. Tidak membenarkan pelawat dewasa membawa kanak-kanak menjadi polisi sebahagian daripada hospital di negara ini. Kebanyakan pelawat memahami peraturan ini namun ada segelintir yang tidak mahu menerima larangan tersebut.

Pihak hospital tentu mengambil prosedur khusus bagi memberi penerangan kepada syarikat keselamatan yang dilantik untuk menjaga pintu masuk ke wad. Ketegasan pengawal menjadi tunjang kelancaran masa melawat dan membantu pelawat mengambil berat keadaan pesakit.

Banyak cara yang boleh digunakan oleh pihak hospital untuk berkongsi peraturan melawat ini. Antaranya ialah meningkatkan bilangan poster di sekitar kawasan hospital supaya pelawat memahami peraturan dan masa melawat. Selain itu, pengawal keselamatan juga wajar diberi pendedahan kepada kaedah mesra perkhidmatan pelanggan supaya pelawat tidak rasa seperti kena marah.

Pelawat seharusnya memberi kejasama kepada pihak hospital supaya tidak menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak. Dalam kes ini, laporan polis yang dibuat diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak bagi memastikan kebajikan pesakit diberi keutamaan.


No comments:

Post a Comment