Dalam hidup kita,
apa sahaja yang kita mahu lakukan, adalah lebih baik bermula dengan memohon
rahmat Allah swt. Firman Allah swt dalam Surah
Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan
sebab rahmat (yang melimpah-limpah)
daripada Allah (kepadamu Muhammad) engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalau engkau
bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kamu. Oleh itu, maafkan mereka (terhadap kesalahan mereka terhadap kamu) dan pohonlah
keampunan bagi mereka. Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan)
itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk melakukan
sesuatu) maka bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang
yang bertawakal pada-Nya”.
Membuat perubahan
diri, perubahan dalam keluarga atau perubahan dalam organisasi sekali pun,
adalah lebih baik bermula dengan memohon rahmat Allah swt, berdoa kepada-Nya
dengan harapan gerak kerja yang kita hendak lakukan akan mendapat rahmat Allah
swt.
Rahmat Allah swt
dizahirkan dalam banyak surah seperti Al-Baqarah ayat 253, Al-Maidah ayat 20
hingga 26 dan Az-Zukhruf ayat 55 hingga 56. Dalam buku Indeks
Al-Quran oleh Afzalur
Rahman, penulis berkenaan menyenaraikan 17 surah yang menerangkan rahmat Allah
swt, namun dianggarkan terdapat 127 ayat yang menyebut tentang rahmmat Allah
swt secara langsung dan tidak langsung.
Selepas memohon
rahmat Allah swt, tindakan ke arah perubahan mestilah dibuat secara
lemah-pembut, berhemah atau beradab supaya tujuan perubahan itu dapat dicapai
atau dilihat perubahannya. Dalam konteks hari ini, pendekatan lemah-lembut ini
boleh dipecahkan kepada kaedah fizikal dan psikologi. Sasaran yang dikenal
pasti perlu dilihat kecenderungan mereka menerima apa-apa nasihat atau teguran.
Ada sesetengah orang yang lebih mudah menerima nasihat secara santai sebaliknya
ada yang perlu diberi amaran lisan dengan wajah yang menampakkan ketegasan.
Namun, ada juga yang tidak dapat diberikan secara psikologikal, sebaliknya
perlukan belaian fizikal. Orang jenis ini lebih mudah menerima perubahan
apabila diajak minum bersama, tepuk-tepuk bahu, sentiasa bersama dalam aktiviti
atau majlis sosial. Pendek kata, kelembutan ini memerlukan kebijaksanaan.
Peringkat ketiga
ialah memaafkan kesilapan atau keterlanjuran kerana tindakan itu lebih baik
daripada meneruskan hukuman. Memaafkan kesilapan ini perlukan kekuatan hati dan
kewarasan fikiran supaya ia tidak menjadi ungkitan pada masa depan. Orang yang
sedia memaafkan adalah orang yang berjiwa besar kerana sanggup melupakan
perkara-perkara lepas.
Dalam tradisi
masyarakat Melayu, istilah berpakat sering kali digunakan sebagai lambang
bersama-sama membuat kerja. Atas semangat berpakat inilah al-quran menganjurkan
kita bermesyuarat supaya dapat berbincang bagi mencapai keputusan. Dalam
mesyuarat inilah lahirnya pelan tindakan yang difikirkan terbaik. Idea-idea
yang dilontarkan telah disaring dan diperhalusi supaya menepati kehendak
perubahan yang diingini.
Akhirnya,
bertawakal kepada Allah swt selepas membuat keputusan. Konsep tawakal ini ialah
berserah kepada Allah swt kerana ia memberikan kekuatan dan keberanian. Allah
swt pasti menempatkan mereka yang sabar dan bertawakal ini dalam keadaan yang
terbaik semasa masih di dunia dan diberi pahala yang banyak.
Dan
orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh
musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya
yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di
akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.
Mereka itu (ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman)
dan berserah diri kepada Tuhannya. (An Nahl, ayat 41-42)
No comments:
Post a Comment