Friday, August 28, 2015

Sebatang paku







Marah adalah sikap kebiasaan manusia , namun sikap pemarah yang berlebihan akan mendatangkan kebinasaan. Kita semua pasti  pernah melaluinya di mana kemarahan kita tidak tertahan lagi. Lalu kita lepaskan kemarahan itu dengan pelbagai cara. Antara cara yang amat mudah dan amat melegakan ialah dengan lisan, iaitu mengeluarkan pelbagai kata-kata sama ada kata-kata kesat, kata perli dan biadap, atau penghinaan terhadap seseorang atau sesiapa sahaja yang menyebabkan kemarahan. Justeru bagi mengetahui betapa dasyatnya implikasi marah ini mari bersama kita hayati kisah dibawah ini.

Si anak yang pemarah itu disuruh oleh bapanya untuk memaku ke dinding setiap kali dia merasa marah. Si anak merasa penat kerana setiap kali marah dia perlu untuk memaku ke dinding hingga akhirnya secara tidak langsung mendidik anak tadi untuk bijak mengendalikan amarah. Lantas si anak berjumpa dengan bapanya dengan penuh rasa bangga memberitahu perubahan dirinya.

Lalu bapa tersebut dengan lembut berkata “Kamu telah berhasil dengan baik anakku, tapi lihatlah lubang-lubang di pagar ini. Pagar ini tidak akan boleh sama seperti sebelumnya begitulah juga ketika kamu mengatakan sesuatu dalam kemarahan. Kata-katamu akan meninggalkan bekas di hati orang lain seperti lubang-lubang ini.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam berdebat tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.”
(H.R. Bukhari & Muslim)

Analogi diatas sangat signifikan, dalam sehari dua mungkin saja kita memohon maaf pada mereka yang telah kita marahi, namun adakah kata nista yang berbau penghinaan yang telah dilemparkan pada mereka mampu dipadam dalam tempoh yang singkat. Ramai diantara kita sering berhujah “sedangkan nabi ampunkan umat” saat kita memohon maaf pada orang lain namun sejauh mana pengaplikasian sikap insan mulia ini dalam diri kita. Introspeksi diri dan berhentilah menunding jari.

Solusi masalah ini baginda Muhammad s.a.w telah pun memberikan teknik kepada kita semua melalui hadis yang diriwayatkan antaranya oleh Imam Ahmad dalam 'al-Musnad' dan juga Imam al-Bukhari dalam 'al-Adab al-Mufrad':


وإذا غضبتَ فاسكت   
Maksudnya: Dan apabila kamu marah, maka diamlah.

Ditangan kita telah pun punya pilihan, amalkan atau tinggalkan, Pepatah Melayu sering ingatkan “Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya” Jangan kerana lidah yang tidak bertulang  kita kehilangan orang yang kita sayang.

Pusat Islam UTeM



No comments:

Post a Comment