Saturday, August 08, 2015

Masalah sosial remaja makin runcing







Masalah sosial dalam masyarakat yang melibatkan kehamilan remaja luar nikah semakin kronik di negara kita. Seorang pelajar perempuan berumur sebelas tahun yang melahirkan bayi lelaki baru-baru ini sangat mengejutkan kerana belum pernah berlaku di Malaysia.

Di samping kita bersimpati dengan pelajar tersebut, kita juga mengecam suspek yang mengambil kesempatan ke atas pelajar berkenaan. Walau bagaimanapun peranan ibu bapa dan keluarga juga wajar dilihat semula kerana ia berlaku di kawasan pinggir bandar yang mana nilai-nilai kekeluargaan dan keagamaan dipegang utuh.

Beberapa persoalan yang boleh kita tanya untuk mengetahui kenapa dan bagaimana kes ini boleh berlaku. Persoalan besar ialah siapakah yang menyebabkan mangsa mengandung? Media melaporkan suspek telah pun dikenal pasti, namun kita mahu suspek tersebut dibawa ke muka pengadilan kerana berlaku zalim terhadap masa hadapan pelajar berkenaan.

Hamil di luar nikah akibat rogol, sama ada mangsa kecil atau besar, merupakan satu bentuk pencabulan maruah kerana mangsa akan mengalami trauma berpanjangan. Statistik kehamilan luar nikah sentiasa dikemas kini supaya dapat dijadikan rujukan bagi usaha-usaha mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.

Di Malaysia, kesedaran masyarakat terhadap mangsa masalah sosial masih belum meluas. Contohnya dalam kes rogol, masih banyak keluarga yang merasa malu dan enggan menerima anak-anak mangsa rogol kerana menjatuhkan maruah keluarga. Kesannya, mangsa rogol terpaksa meraih simpati kepada agensi kerajaan atau agensi kebajikan untuk meneruskan masa depan, membesarkan anak dan bantuan sara hidup. Peranan berterusan agensi kerajaan yang sentiasa meminta masyarakat menyalurkan maklumat mangsa rogol kepada mereka di samping memberi sokongan kepada keluarga mangsa telah mengubah sedikit demi sedikit persepsi masyarakat. Namun usaha ini belum mencukupi.

Pertubuhan bukan kerajaan yang berfokuskan kebajikan juga boleh berperanan memberi sokongan kepada mangsa rogol. Sokongan emosi sangat kritikal supaya mangsa dapat mengembalikan kekuatan diri untuk bersemangat mengubah hidup. Bantuan geran tahunan boleh disalurkan kepada NGO yang berminat supaya beban menjaga kebajikan ini dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan masyarakat.


Pelajar sekolah rendah atau menengah yang hamil di luar nikah tidak boleh diteruskan kerana ia menjejaskan sistem sosial masyarakat. Pihak keluarga yang bertanggungjawab ke atas anak-anak perlu serius menjaga anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan masalah sosial, jenayah, penagihan dadah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment