Sunday, August 30, 2015

Bangsatkah kita?







Kamus Dewan mentakrifkan bangsat kepada tiga iaitu orang jahat seperti pencuri, kutu busuk dan mengembara. Perkataan lain yang memberi maksud bangsat ialah keparat dan sengkek.

Dalam konotasi umum, menyebut bangsar memberi gambaran yang negatif kerana kita sudah biasa dengan maksud negatif tersebut. Perkataan “kau bangsat, hang bangsat” dan sebagainya biasa kita dengar apabila menzahirkan sesuatu yang tidak disukai dalam keadaan marah.

Ia menjadi perkataan negatif yang telah melekat kuat dalam fikiran kebanyakan masyarakat kita.

Maksud lain bangsat, jika dilihat dari maksud di atas, membawa maksud mengembara atau merantau. Penulis novel terkenal, Shahnon Ahmad, menjelaskan maksud bangsat ini dalam novel Detik-Detik Diri Di Daerah Daif sebagai “ayahnya adalah bangsat dari tanah seberang”.

Bangsat dari perspektif ini ada dua iaitu orang yang berasal dari sesuatu tempat ke tempat lain dan menumpang sesuatu tempat. Bangsat tidak boleh dikatakan kepada penduduk peribumi yang tinggal di sesuatu tempat.

Dunia global abad ini menyaksikan migrasi beramai-ramai masyarakat dari dunia ketiga ke negara-negara maju. Migrasi ini memberi implikasi ke atas masyarakat negara yang dituju kerana memberi persaingan hidup. Kealpaan dan kebodohan penduduk asal kerana leka dengan kehidupan yang senang boleh menjadikan mereka merempat di bumi sendiri. Akhirnya, anak cucu peribumi ini menjadi penumpang di negara sendiri.

Justeru, dikatakan anak cucu dikatakan menjadi bangsat di negara sendiri.

Tindakan seorang pemimpin yang menggelar orang Melayu yang tidak menyokongnya sebagai “terbangsat” boleh dilihat dari dua perspektif.

Pertama, barangkali beliau bersungguh-sungguh mengatakan Melayu itu memang bangsat iaitu jahat kerana tidak menyokongnya.

Kedua, barangkali beliau bermaksud Melayu merempat di negara sendiri.

Bagi menyokong kata-kata pemimpin ini, ada pengikutnya yang menyifatkan “terbangsat” itu sebagai menggegarkan jiwa orang Melayu.

Biar apa pun maksud pemimpin itu, menggelar bangsanya sendiri sebagai bangsat menunjukkan pemikirannya bermasalah dalam menilai jati diri bangsa Melayu. Pemimpin seperti ini wajar dijauhi kerana tidak ada lagi keinginan untuk membantu meningkatkan maruah Melayu.

Contoh terbaik pemimpin yang dikenali oleh Melayu ialah Nabi Muhammad saw kerana baginda telah menunjukkan jalan untuk mengenali Tuhan. Dalam sirah,tidak pernah kita mendengar baginda menggelar orang Arab dengan kata-kata buruk seperti itu.



No comments:

Post a Comment