Pemimpin yang baik, amanah dan ikhlas lebih
disukai daripada pemimpin yang jahat, pecah amanah dan bermuka-muka. Sikap dan
corak pentadbiran kepimpinan sesebuah negara menentukan kekuatan dan kelemahan
masyarakat dan negara tersebut pada masa hadapan. Kejatuhan empayar dan
negara-negara besar sejak dahulu ditentukan oleh keupayaan bakat kepemimpinan
yang dimiliki oleh mereka.
Sikap pemimpin yang boros dan mementingkan
diri juga menjadi pemangkin kepada kejatuhan sesebuah masyarakat dan negara.
Dalam sebuah artikel yang bertajuk,
“Kemanusiaan dan dinamika semula jadi: Pemodelan ketaksamaan dan penggunaan
sumber dalam keruntuhan atau kelestarian masyarakat” terbitan University of
Maryland dan University of Minnesota mengatakan lima faktor risiko yang menyebabkan
keruntuhan masyarakat iaitu pencemaran, iklim, air, pertanian dan tenaga.
Kajian ini merumuskan dua punca utama kejatuhan masyarakat sejak 5000 tahun
lalu iaitu ekologi dan ekonomi.
Kelompok elit dalam struktur sosial masyarakat mengawal pengaliran sumber
yang dapat diakses oleh kelompok massa. Mereka mengumpul lebihan sumber ini
untuk diri mereka sehingga dapat mengekang sumber-sumber sedia ada. Akhirnya
keadaan ini menyebabkan kehancuran masyarakat.
Dalam lain perkataan, manfaat teknologi mempercepat kejatuhan tersebut.
Malaysia juga tidak dapat lari daripada berhadapan dengan keadaan
runcing seperti ini. Pemimpin yang mendapat kuasa menggunakan kuasa
yang ada pada mereka untuk meraih pelbagai sumber
yang mengalir ke dalam masyarakat untuk kepentingan peribadi seperti jumlah
wang yang banyak dalam akaun peribadi. Sesuatu yang sangat janggal apabila
sejumlah billion ringgit berada dalam akaun peribadi pemimpin dan individu yang
mendedahkan kejanggalan ini pula diburu dan dihukum.
Ramai pemimpin dalam sejarah telah menjadi diktator untuk memerintah
negara mereka dengan tangan besi. Pemimpin kuasa yang laparkan kuasa ini berada
di puncak kuasa dengan cara kekerasan dan taktikal yang tidak
berperikemanusiaan menyebabkan ramai yang mati. Sejarah juga telah menunjukkan
kepada kita nasib pemimpin-pemimpin itu yang berakhir dalam kegagalan.
Beberapa pemimpin moden seperti Hitler, Stalin,
Mussolini dan lain-lain yang melaksanakan pemerintahan diktator dengan menyekat
hak asasi manusia dan menggunakan keganasan terhadap rakyat mereka sendiri.
Demokrasi adalah satu konsep yang agak moden
dan telah membantu dalam memindahkan kuasa daripada raja kepada rakyat. Banyak
negara telah berjaya beralih daripada monarki kepada demokrasi. Kegagalan
pelaksanaan sistem ini telah membantu beberapa pemimpin penyangak untuk merebut
kuasa dan berpegang kepadanya tanpa persetujuan rakyat mereka sendiri.
Sebahagian daripadanya menggunakan sistem raja berpelembagaan, sosialis dan
republik untuk kekal berkuasa. Pemimpin seperti ini sering kali menekan pemimpin
pembangkang dan menindas apa-apa juga suara yang cuba untuk melemahkan rejim
mereka.
Di Malaysia, barisan pemimpin sedia ada
dilihat mempunyai visi yang menarik, strategi dan dasar yang kehadapan, mahir berkomunikasi,
wawasan yang dinamik dan inovatif serta sebuah pasukan yang bersatu selepas
penyingkiran timbalan perdana menteri dan menteri.
Namun, imej dan persepsi barisan kepimpinan
ini tercemar kerana beberapa isu-isu besar melibatkan integriti peribadi dan
tadbir urus negara yang melibatkan berbilion hutang. Isu-isu ini menyebabkan masyarakat hilang
kepercayaan kepada mereka. Satu ciri yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan
sedikit demi sedikit ialah lunturnya sifat amanah.
Salah satu kesilapan terbesar pemimpin adalah
menganggap bahawa rakyat percaya kepadanya kerana terpengaruh dengan jawatan
dan cakap-cakapnya. Amanah tidak datang bersama dengan papan tanda atau nama
pada pintu bilik seorang pemimpin. Ia mesti diperolehi dan mengambil masa.
Mendapat kepercayaan rakyat tidak boleh dibina
dalam sekelip mata. Ia memerlukan masa, usaha, ketekunan dan keperibadian.
Kepercayaan umpama hutan. Ia mengambil masa yang lama untuk berkembang dan
boleh membakar dengan hanya sentuhan kecuaian. Dalam hal ini, cuai mentadbir
negara dan mengurus masyarakat bakal menjadikan pilihan raya akan datang
sebagai medan pertembungan kepercayaan yang sangat dahsyat.
No comments:
Post a Comment