You are nothing! Pernahkah anda mengalami atau
mendengar dialog seperti ini sama ada dari rakan setugas mahupun dari majikan.
Pastinya ucapan tadi mampu memberikan implikasi yang sangat mendalam kepada
pendengar ucapan ini. Menegur bukanlah suatu yang salah tetapi apabila teguran
itu disulami dengan kata-kata yang berbau penghinaan dan cacian ia mampu
mendatangkan masalah. Firman Allah dalam surah Taha: 44,
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا
لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى
"Kemudian hendaklah kamu
berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah-lembut, semoga ia
beringat atau takut".
Ayat di atas tidaklah menjadi
dalil bahawa para ibu bapa, guru, majikan dan sebagainya tidak boleh menegur
orang bawahan tetapi sebagai piawaian dan etika yang perlu kita fahami dalam
berdakwah atau pun menegur.
Di dalam buku The
One Minute Manager antara mekanisme penting yang perlu dititikberatkan oleh
seorang pengurus (orang yang berkuasa) ialah “The One Minute Reprimand”, reprimand
diterjemahkan sebagai menegur dalam konteks di atas. Ini membawa maksud kuasa
menegur seorang pengurus samada teguran kepada pekerja itu mampu meningkatkan
prestasi ataupun menjejaskan reputasi.
Kaedah ini
mengandungi dua aspek berkembar yang sama penting: menegur dan memperteguh.
Jika anda hanya menegur tanpa memperteguh emosi orang yang mendengar teguran
tersebut, anda mungkin akan tidak digemari oleh ramai individu manakala
motivasi mereka yang ditegur makin merosot lantaran tiada susulan bagi teguran
anda.
Konklusinya
memetik kata-kata Sayidina Ali r.a.
“ Bercakaplah
kepada manusia mengikut kemampuan akal mereka”.
Terkadang
menegur itulah perlu juga dilakukan dengan tegas mengikut tindak tanduk dan
gaya orang yang ditegur namun teguran perlu dibuat serta-merta dan secara
profesional dan spesifik. Selesai teguran, berjabatlah tangan dan nyatakan
kepada pekerja tersebut sejauh mana kepentingannya terhadap kejayaan matlamat
organisasi tersebut. Amalan tegur menegur ini perlu dan sangat baik
diaplikasikan namun ia perlu diimbangi dengan rasional dan penghargaan supaya
matlamat teguran dicapai.
Apalah gunanya
akal dan ilmu kalau kita tidak pandai menilai dan menghargai? Apresiasi
merupakan satu asas yang utama dalam psikologi khususnya bidang changing human behavior. Kalau asyik
memandang negatif, sudah pasti ‘semua’ perkara dalam dunia ini ‘tidak patut,
tidak lengkap, tidak bagus’.
No comments:
Post a Comment