Thursday, August 20, 2015

Peluang belajar







Persaingan ke institusi pengajian tinggi semakin sengit hari ini. Bidang pengajian yang mendapat permintaan tinggi tetapi tempat terhad seperti perubatan tidak lagi dianggap selamat dan mudah mendapat tempat jika hanya bergantung kepada keputusan akademik. Sebaliknya, calon yang memohon bidang perubatan ini akan ditemuduga.

Soalan yang ditanya dikatakan berkait rapat dengan aktiviti kokurikulum khususnya kesukarelawanan dan kepimpinan.

Perubahan yang berlaku dalam kaedah memasuki institusi pengajian tinggi menunjukkan sistem pendidikan Malaysia telah mengalami perubahan. Semua aspek pembelajaran dan pengajaran sama ada di sekolah mahupun universiti dilihat mengalami perubahan ini khususnya tenaga pengajar, silibus pengajaran, metodologi pembelajaran, orientasi pendidikan dan fokus pelajar.

Penambahbaikan dalam tenaga pengajar tidak lagi melihat kepada kuantiti sebaliknya kualiti. Evolusi maktab perguruan kepada institut perguruan mencetuskan perubahan radikal dalam corak perguruan sedia ada bagi melahirkan tenaga pakar pendidikan. Penubuhan Universiti Perguruan Sultan Idris telah melahirkan pakar pendidikan yang sesuai dengan cabaran pelajar masa hadapan.

Peluang mendapat pendidikan merupakan rahmat terbesar setiap rakyat Malaysia. Pelajar di bandar atau luar bandar berpotensi menjejakkan kaki ke universiti jika mereka tahu bagaimana mendapat peluang ini.

Dasar pendidikan yang sentiasa memperkasa potensi setiap pelajar merupakan langkah penting dalam program intervensi sosial yang menjadikan masyarakat Malaysia bebas keciciran dan kemiskinan. Namun, peluang yang lebih luas diberikan kepada pelajar luar bandar dan golongan minoriti supaya mereka dapat melakukan perubahan dalam kalangan keluarga sendiri.

Justeru, sejak merdeka, generasi yang berumur 40-an pada hari ini tidak lagi mewarisi pekerjaan ibu bapa di kampung sebagai petani atau penoreh getah. Rata-ratanya telah berpindah ke bandar untuk mencari peluang hidup yang lebih baik kerana pemikiran, sikap dan pandangan mereka terhadap kehidupan telah berubah, tidak lagi melihat dunia ini berlegar-legar di kampung.


Post a Comment