Sunday, August 16, 2015

Kehidupan seperti biasa








Kejatuhan nilai ringgit hingga melebihi empat ringgit bagi satu dolar Amerika Syarikat mengundang kerisauan banyak pihak. Hari ini, nilainya sudah mencecah RM4.1.

Faktor utama yang dilihat menjadi sebab kejatuhan mata wang ringgit adalah impak daripada penyusutan harga komoditi minyak dunia serta tekanan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). Tindakan kerajaan China yang kembali aktif meningkatkan daya saing negara itu turut menjejaskan ringgit dan mata wang serantau seperti yen, euro, dolar Australia, bath dan rupiah.

Wujud impak positif dan negatif apabila nilai ringgit jatuh. 

Dari sudut positif, barangan eksport kita semakin tinggi permintaan dan secara relatifnya lebih murah. Tidak dapat dinafikan juga, lebih ramai pelancong asing datang dan berbelanja di negara kita. Pada tahun 2013, ketibaan pelancong adalah seramai 21 juta orang dengan meraih pendapatan sebanyak RM65.4 bilion.Kehadiran pelancong menggerakkan banyak sektor perkhidmatan dalam masyarakat seperti penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan penyajian.

Usahawan yang menjual produk dalam dolar sudah tentu mendapat habuan yang besar ketika ini. Mereka dapat menjual dalam dolar dan meraih pertukaran mata wang yang lebih banyak.

Namun begitu, impak negatif lebih dirasai oleh rakyat tempatan khususnya pengeluar atau mereka yang terlibat dalam penghasilan kelapa sawit, getah dan komiditi lain. Kemerosotan harga komiditi ini menunjukkan tidak banyak permintaan, justeru, pendapatan yang diperolehi tidak sepadan dengan kerja. Harga minyak yang rendah berlaku kerana negara-negara pengeluar sedang berebut pasaran menyebabkan harga dikurangkan sebagai langkah persaingan.

Rakyat Malaysia terpaksa membayar lebih banyak ringgit untuk mendapatkan dolar khususnya kepada pelajar yang belajar di luar negara atau pembeli yang perlukan barangan import. Dalam sebulan dua ini kita mungkin tidak merasai sangat perbezaan harga kerana penjual masih menggunakan stok lama namun keadaan akan berubah selepas ini.

Bagi penyimpan mata wang dolar yang membeli mata wang itu ketika ringgit masih tinggi, mereka mempunyai peluang untuk mendapat lebih banyak ringgit ketika ini. Perbezaan antara 50 hingga 100 ringgit adalah suatu jumlah yang besar kerana ia dapat membantu meringankan beban kos hidup. Jika mereka hendak menyimpannya juga tidak salah kerana untuk ringgit kembali ke paras sebelum ini sudah tentu mengambil masa yang lebih lama.

No comments:

Post a Comment