Sunday, August 09, 2015

Menilai kepimpinan negara







Kepimpinan parti Melayu terbesar di Malaysia, UMNO, tidak lagi sama. Ia tidak sama kerana penstrukturan kabinet yang menggugurkan timbalan presiden daripada jawatan timbalan perdana menteri telah mengundang pelbagai masalah. Selain daripada wujud perasaan marah, ahli UMNO juga semakin keliru dan malu dengan perubahan tersebut. 

Setiap hari ada sahaja perkembangan baru berkaitan kepimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak. Selepas tiga hari, dua orang pengarah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipindahkan serta merta, bantahan pelbagai pihak menyebabkan beberapa keputusan luar jangka dapat diperhatikan. Pertama, pihak polis menghentikan sementara siasatan, kedua, perdebatan tentang RM2.6 bilion derma di media sosial menjurus kepada sama ada wajar bagi Najib Razak didakwa atau tidak, dan ketiga, suara meminta perubahan dalam parti UMNO semakin besar.

Gesaan supaya pihak akar umbi UMNO tidak duduk diam terhadap apa yang berlaku dalam parti mereka disiarkan secara bebas di media.

Perkongsian maklumat dalam kalangan pengguna media sosial mungkin memberi kesan ke atas kedudukan presiden UMNO sehingga mengeluarkan kenyataan supaya tidak mempercayai fitnah di media sosial dan beliau juga mengkritik ketua-ketua bahagian yang tidak suka dengannya.

Najib Razak perlu menerima hakikat bahawa tindakannya memberi kesan kepada parti UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang tokoh politik berpengalaman, sudah tentu beliau tidak mahu berakhir sepertimana yang dilalui oleh Musa Hitam atau Anwar Ibrahim.

Selepas digugurkan, beliau sedikit demi sedikit mencari kekuatan baru dan mencipta strategi supaya wajud rasa simpati ahli UMNO dan rakyat Malaysia terhadapnya. Permintaan berterusan supaya beliau merasmikan mesyuarat agung bahagian dan kenyataan yang cenderung kepada menjaga prinsip keadilan meningkatkan imejnya sebagai orang yang tegas dan tidak mahu berkompromi dalam isu 1MDB. 

Kenapa masih ada bahagian UMNO yang meminta beliau merasmikan mesyuarat? Sudah tentu kerana ahli-ahli UMNO menghormatinya sebagai pemimpin, bukan kerana mengampu. Masih ramai ahli UMNO yang melihat ketokohan dan keupayaan beliau memimpin parti tersebut dan tidak mengharapkan bantuan derma RM2.6 bilion.

Sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, parti UMNO sedang berhadapan dengan konflik kepimpinan. Dua nakhoda yang berbeza pandangan dan pendekatan akan memecahkan kekuatan parti dan memberi imej buruk terhadap rakyat. Kita mahu dipimpin oleh orang yang telus, berprinsip dan anti rasuah, bukannya secara diam-diam menerima derma bilion ringgit dan cuba sedaya upaya menutup tindakan tersebut. Lambat-laun rakyat Malaysia akan sedar bagaimana pemimpin yang sepatutnya memimpin mereka.

No comments:

Post a Comment