Tuesday, September 01, 2015

Tokoh-tokoh Tamadun Islam







1.0 Pengenalan

Tamadun secara umumnya membawa erti kepada pencapaian dari segi pembangunan fizikal di samping pemupukan tingkah laku yang baik. Faktor-faktor seperti kedudukan yang strategik, rangsangan keagamaan, pembangunan ilmu dan penghayatan nilai, peningkatan kemahiran dan penghasilan teknologi serta persaingan dengan tamadun mencetuskan ke arah kelahiran dan perkembangan sesuatu tamadun.

Tamadun mempunyai dua bentuk yang penting iaitu tamadun spiritual dan tamadun material. Tamadun-tamadun utama di dunia mempunyai persamaan dan perbezaan baik dalam aspek spiritual mahupun material. Persamaan dan perbezaan tamadun ini boleh dilihat dalam pelbagai segi meliputi aspek-aspek teologi, etika, pemikiran, kebudayaan dan kesenian serta pencapaian-pencapaiannya. Etika terbahagi kepada beberapa perkara penting iaitu alam sekitar, keluarga, komuniti, kerajaan, kegiatan ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Dalam projek ini, tumpuan diberikan kepada tokoh-tokoh yang ada pada tamadun Islam. Asas tamadun Islam terbina atas dasar akidah yang diikat dengan syariah dan akhlak. Tokoh-tokoh Islam yang lahir sentiasa berpegang pada dasar tersebut, selain daripada rujukan utama iaitu al-quran dan hadis. Sumbangan mereka kepada peradaban dunia amat besar sehingga mampu mengubah cara hidup manusia dan tercetusnya perkembangan keilmuwan seperti astronomi, matematik, kimia dan juga falasafah.
                      

2.0 Sorotan Literatur

Bahagian ini menceritakan tentang beberapa orang tokoh-tokoh tamadun Islam dari segi latar belakang serta sumbangan atau peranan yang telah mereka lakukan.

Ibnu Khaldun. Tokoh Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun ataupun lebih dikenali dengan Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332–1395 Masihi. Nama penuh beliau adalah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Abi Bakar Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun. Lahir pada tahun 732 Hijrah bersamaan dengan tahun 1332 Masihi di Tunisia dan meninggal pada 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir. Ibn Khaldun berasal daripada keluarga berada dan beliau diberi pendidikan yang terbaik oleh keluarganya.

Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab yang teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun pernah menjawat beberapa jawatan semasa di bawah pemerintah Tinisia dan Morocco. Pada tahun 1363, beliau bertindak sebagai duta raja Moor di Granada kepada Pedro Kejam Castile "the Cruel of Castile". Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, yang mana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abul Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387. Ibn Khaldun menyertai orang-orang Mesir dalam kempen memerangi Tamerlane dan bertanggungjawab mengaturkan penyerahan diri bandar Damsyik semasa ketiadaan Sultan Faraj.

Karya teragungnya iaitu Muqaddimah bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barber tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang dikurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal (secara pengalaman dan kajian).

Ibn Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang serta melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan. Dalam segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Tambahan lagi, Ibn Khaldun terkenal kerana hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia dan sejarah. Secara umumnya, Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi pemikiran bebas Islam dan Arab, tanggungjawab kerajaan, pasaran berkesan, penyiasatan sains empirikal, pengkajian sosiologi dan penyelidikan sejarah.

Ibnu Sina. Ibn Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan 980 Masihi di Afsyanah, Bukhara, Turkistan. Ibn Sina lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna mempunyai nama penuh Al-Husain bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali bin Sina. Beliau merupakan seorang yang berbangsa Parsi. Bapa kepada Ibn Sina merupakan seorang gabenor pada masa Kerajaan Samaniyah (819M – 1005M). Selepas bapanya meninggal pada tahun 390 Hijrah bersamaan dengan tahun 1000 Masihi, Ibn Sina berpindah ke Khawarizm, Jurjan, Rai, dan Hamadan. 

Pendidikan awal Ibn Sina pada masa kanak-kanaknya ialah mempelajari al-Quran dan sastera yang dipelajarinya secara persendirian. Ibn Sina mula belajar menghafal al-Quran ketika berusia lima tahun. Beliau sudah menguasai tasawuf, fikah, tafsir dan usuludin ketika berusia 10 tahun. Beliau telah menuntut dengan Abu Abdullah an-Natli yang mengajarnya al-Quran, fikah, mantik, ilmu hisab, sains, fizik dan kaji bintang. Beliau menelaah falsafah, politik dan logik, matematik, fizik, politik dan kedoktoran hingga berusia 16 tahun. Ibnu Sina sangat meminati ilmu kedoktoran dan metafizik. Dalam sekitar satu hingga lima tahun, beliau telah dikenali sebagai ahli falsafah dan doktor di Bukhara.

Ibnu Sina mula menjadi doktor ketika berusia 18 tahun. Setelah beliau berjaya menyembuhkan Nuh bin Mansor, pemerintah kerajaan Samaniyah dan beliau dilantik menjadi doktor istana. Semenjak itu, Ibn Sina telah menjadi terkenal. Pelantikan tersebut merupakan suatu peluang keemasan kerana beliau telah diberi kebebasan menggunakan perpustakaan istana yang sangat kaya dengan beraneka jenis buku. Beliau mengambil kesempatan dengan membaca, merujuk dan menghafal buku-buku penting di perpustakaan. Pembesar negeri lain seperti Ratu Sayyidah dan Sultan Majdud dari Rayy, Syamsu Dawla dari Hamadan dan Alaud Dawla dari Isfahan juga pernah mengundangnya.
           
Ibn Sina digelar al-Syeikh al-Ra’is iaitu guru para raja. Dalam bidang kedoktoran, beliau digelar “pangeran para doktor” dan “raja ubat”. Dalam dunia Islam beliau dianggap sebagai puncak ilmu kedoktoran. Ibn Sina pernah dilantik menjadi menteri sebanyak dua kali. Disebabkan Ibnu Sina terlibat dalam persoalan politik, dia dipenjarakan dan dipecat daripada kedudukannya sebagai menteri. Dalam tempoh Ibn Sina dipenjara, beliau sempat menulis 3 buah buku. 

Ibn Sina banyak meninggalkan karya yang ditulis beliau, semuanya tidak kurang 200 buah, kebanyakan berbahasa Arab dan Parsi. Salah satu karya terbesar Ibnu Sina ialah al-Qanun Fii al-Tibb (peraturan kedoktoran). Di Eropah dan China buku ini sudah lama menjadi rujukan kedoktoran. Al-Qanun Fii al-Tibb diterjemahkan dengan judul "Canon of Medicine" digunakan sebagai rujukan utama dalam bidang perubatan di seluruh pusat pengajian Barat termasuk Universiti Franfurt di Jerman, Universiti Paris di Perancis, dan Universiti Oxford di England.

Di dalam buku al-Qanun Fii al-Tibb karya Ibn Sina dinyatakan bahawa “darah mengalir terus-menerus dalam satu kitaran dan tidak pernah berhenti”. Karya lain Ibn Sina ialah al-Syifa (18 Jilid), iaitu tentang psikologi, pertanian, retorika dan syair; al-Rasa’il, iaitu tentang biologi, fizik, astronomi, psikologi, etika dan teologi; Al-Insyarah wa al-Tanbihat tentang ketuhanan serta kemurnian hidup; dan Risalah al ‘Isyqa tentang kerinduan Ibnu Sina kepada Tuhan. 

Sewaktu Ibn Sina berusia 21 tahun, beliau mula menulis karyanya yang pertama yang berjudul “Al-Majmu” di Kawarazm yang mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang lengkap. Kemudian beliau meneruskan menulis buku-buku lain. Nama-nama buku yang pernah dikarang Ibn Sina, termasuk yang berbentuk risalah ukuran kecil, dimuat dan dihimpun dalam satu buku besar yang berjudul "Essai de Bibliographie Avicenna" yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo. Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fit – Tibb.

Ibn Sina memiliki pemikiran yang mendalam. Beliau menafsirkan ayat al-Quran untuk mendukung falsafahnya. Seperti al-Farabi iaitu ahli falsafah dari Turkistan, Ibn Sina mengakui bahawa alam diciptakan secara emanasi yakni memancar dari Tuhan. Ibn Sina juga mengemukakan pemikiran falsafah tentang jiwa (al-nafs) dan kenabian. Ibn Sina berpendapat bahawa nabi adalah manusia yang terunggul dan pilihan Tuhan. Ahli falsafah hanya menerima ilham, sedangkan nabi menerima wahyu. Oleh itu, ajaran nabi haruslah menjadi pedoman hidup manusia di muka bumi. 

Ibn Sina banyak menyumbang dalam tamadun Islam terutamanya dalam bidang perubatan. Kebijaksaan Ibn Sina dalam bidang perubatan mendapat pengiktirafan dunia. Ibn Sina berjaya melakukan beberapa pencapaian dalam perubatan iaitu pertama, penemuan penyakit baru serta puncanya. Antara penemuan penyakit yang dikaji oleh Ibn Sina ialah pengaruh kuman dalam penyakit, jangkitan virus seperti Tibi (TB) dan penyakit seperti rubella, alahan (allergy), cacar (smallpox), penyakit jiwa dan sebagainya. 

Kedua, Ibn Sina mengkaji dalam bidang farmasi dan beliau dapat menghasilkan ubat yang mujarab untuk pelbagai jenis penyakit. Selain itu, beliau juga menemui untuk ubat bius. Ketiga, Ibn Sina membangunkan teknologi perubatan dengan mencipta benang khusus untuk menjahit luka pembedahan dan mencipta picagari dan lain-lain. Terdapat banyak lagi penemuan dan teori perubatan yang dikemukakan oleh Ibn Sina dalam karya-karyanya. 

Kesan peninggalan Ibn Sina dalam bidang ilmu perubatan telah berjaya menggilap kembali bidang perubatan yang kian malap pada masa itu. Beliau melakukan metod pemerhatian (observation) dan analisis. Berdasarkan metod ini, ilmu perubatan berkembang maju hingga ke hari ini. Ibn Sina telah menulis buku berjudul "Remedies for the Heart" yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Ibn Sina banyak membuat analisis tentang pelbagai penyakit dan menyenaraikan lebih kurang 760 jenis penyakit serta kaedah merawatnya. Penyelidikan dan penulisan Ibn Sina banyak mempengaruhi perkembangan ilmu perubatan moden.

Ibn Sina juga banyak telah menyumbang ilmu dan pemikiran. Ibn Sina telah menghasilkan 116 karya dalam bidang falsafah, mantik, matematik, astronomi, kimia, fizik, biologi dan sains politik. Buku-buku tersebut telah dihimpun oleh Domonican Institute for Oriental Studies di Kaherah, Mesir. Pada 1950 Masihi ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dinamakan Muallafat Ibni Sina (karya-karya Ibn Sina). Jasa Ibn Sina dihargai hingga ke hari ini. Sebuah universiti pendidikan di Hungary telah mengambil nama sempena nama beliau iaitu Avicenna College (Kolej Ibn Sina). 

Ibn Sina meninggal pada usia 58 tahun dalam suatu perjalanan bersama raja Isfahan, lalu dimakamkan di Hamadan. Kehilangan Ibn Sina merupakan kehilangan yang sangat besar kepada umat Islam terutama dari segi ilmu perubatan. 

Ibnu Batutta. Nama penuh Ibn Battuta ialah Muhammad bin Abdullah bin Ibrahim bin Mohammad bin Yusof Abu Abdullah Ibn Battuta. Beliau seorang kabilah Berber dari golongan Muslim Sunni. Beliau dilahirkan di Tanjah/Tangier, Maghribi 24 Februari 1304 bersamaan Rejab 704 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 779 Hijrah bersamaan 1377 Masihi di satu daerah Marakish. Beliau merupakan cendiakawan, ulama Mazhab Maliki dan pernah berkhidmat sebagai kadi.

Ibn Battuta terkenal sebagai penjelajah dan pengembara serta menulis mengenai pengembaraannya selama hampir tiga puluh tahun. Beliau adalah perintis pengembaraan dunia yang berjaya merentasi benua Afrika dan Asia serta menghasilkan karya penting dunia Islam yang meliputi daerah Barat Afrika hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China. Ibn Battuta diberi gelaran Syamsuddin di negeri-negeri timur. Tokoh orientalis Dozy, mengelar beliau sebagai “pengembara yang jujur”.

Beliau telah meninggalkan kota asalnya pada tahun 1325 untuk menunaikan haji di Mekah yang mengambil masa selama satu setengah tahun perjalanan ketika berusia 21 tahun. Pengembaraan beliau mengambil masa 38 tahun meliputi perjalanan sejauh 120,000 kilometer yang meliputi 44 negara di benua Afrika dan Asia. Beliau telah melakukan tiga siri pengembaraan yang mengambil masa selama 30 tahun. Pengembaraan yang pertama iaitu dari Maghribi hingga China. Negara seperti Mesir, Syam, Semenanjung Arab, Afrika Timur, Asia Kecil, Rusia Selatan, India, China, Andalus (Sepanyol) dan negeri orang berkulit hitam iaitu Mali di Afrika Selatan turut dikunjungi beliau.

Beliau telah mengkongsikan maklumat yang terperinci dari segi perbandingan tentang budaya, peradaban, sosial dan geografi sesuatu masyarakat setempat berdasarkan pengamatan beliau apabila singgah di tempat tersebut. Pengembaraan beliau itu telah memberikan persepsi yang baru kepada bidang geografi dan pelayaran. Pengembaraannya disifatkan sebagai satu sumber sejarah yang amat bernilai bukan sahaja kepada masyarakat Islam malahan untuk semua masyarakat dunia.

Beliau terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Beliau telah menabur bakti di beberapa buah negara dalam bidang agama. Beliau telah menerbitkan sebuah karya yang lengkap setelah menceritakan semula pengalamannya kepada Muhammad Juzay al-Kalbi atau dikenali sebagai Ibn Juza, iaitu seorang penulis sultan. Karya agung tersebut merupakan rekod sejarah zaman pertengahan yang sangat penting kerana catatannya dianggap sebagai sumber sejarah abad pertengahan. Maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya telah dipetik dalam ratusan karya pengkajian sejarah yang meliputi bukan sahaja dunia Islam tetapi juga sejarah Cina dan Empayar Bynzantin. Rihlah Ibn Battuta juga satu-satunya sumber maklumat langsung mengenai budaya, adat resam, serta keadaan masyarakat di beberapa kawasan dunia. Dalam konteks sejarah Asia Tenggara, karya tersebut merupakan satu-satunya karya pengembaraan Arab yang terbukti kesahihannya.

Beliau memiliki nilai moral yang tinggi. Beliau adalah seorang tokoh sejarahwan Islam yang dijadikan salah satu contoh teladan terbaik oleh umat Islam untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam hidup. Oleh itu, beliau boleh disifatkan sebagai salah seorang individu yang banyak menyumbang dari segi personaliti yang ditonjolkannya untuk menaikkan semangat umat Islam supaya terus maju dalam semua bidang jika kita benar benar menghayati kisah hidupnya. Beliau juga seorang yang patuh pada ajaran agama. Hal ini dapat diperhatikan dalam karyanya yang banyak menggambarkan ketaatannya kepada agama. Contohnya beliau telah beberapa kali menunaikan ibadah haji di Makkah sebelum meninggal dunia.

Hamka. Hamka atau nama sebenarnya ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau.

Beliau mempunyai gelaran Pak Hamka atau Buya Hamka, nama istimewa yang mempunyai nilai tersendiri di persada perkembangan Islam dan dunia kesusasteraan nusantara. Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan “Kaum Muda”. Ibunya bernama Siti Safiyah binti Gelanggar yang bergelar Bagindo dan Batuah.

Antara jawatan dan tugas yang pernah disandang oleh Hamka ialah guru agama di Tebing Tinggi, Medan dan Padang Panjang, pensyarah di Universiti Islam Jakarta, pensyarah di Universiti Muhammadiah Padang Panjang, rektor Perguruan Tinggi Jakarta, pegawai tinggi agama Indonesia dan ketua umum Majlis Ulama Indonesia.

Hamka menerima banyak anugerah daripada pelbagai pihak kerana jasa dan sumbangan beliau. Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981 Masihi ketika berusia 73 tahun.

Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan oleh bapanya. Beliau mempelajari ilmu-ilmu asas agama serta mempelajari al-Quran sehingga khatam. Pada tahun 1915 ketika berusia tujuh tahun, beliau memasuki sekolah desa di Padang Panjang. Pada tahun 1918 pula, beliau menuntut di sekolah datuknya, Muhammad Amrullah. Hamka berpeluang mendalami pelajaran tafsir daripada Kiai Bagus Harikusomo di Tanah Jawa pada tahun 1924 serta berpeluang menimba ilmu pengetahuan daripada tokoh terkenal seperti Shamsurrijal dan Haji Fakhruddin. Kegiatan ilmiah yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh tersebut adalah dalam seminar, ceramah, perbincangan serta persidangan.

Dalam tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi Kesumo dan iparnya sendiri Rashid Sultan Mansur.

Pada tahun 1928, Hamka telah menyertai Gerakan Muhamadiah dan menerajui kepimpinan pertubuhan itu di Padang Panjang. Hamka bergiat aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di sana. Pada tahun 1929, beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin. Pak Hamka berpindah  ke Kota Makasar, Sulawesi untuk menjadi pimpinan Muhamadiah. Keilmuan dn ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada  Jun 1974.

Hamka merupakan seorang tokoh reformasi Islam yang terkenal dalam bidang falsafah dan tasawuf. Beliau juga merupakan tokoh agama dan pendakwah yang banyak memberi sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara melalui organisasi, ceramah, serta hasil-hasil karya yang ditulisnya. Hamka melahirkan sejumlah karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen yang begitu berpengaruh kepada masyarakat Islam di Nusantara sehingga hari ini. Sumbangan pemikirannya memberi rangsangan terhadap kebangkitan dan kemajuan Islam pada zaman moden di alam Melayu terutama Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. 

Pada tahun 1935, Hamka telah mendirikan kolej Kuliah Al-Muballighin di Padang Panjang yang telah melahirkan ramai tokoh terkenal. Beliau juga banyak berjasa dalam penyebaran Islam dalam bahasa Indonesia kerana keahliannya dalam kesusasteraan sehingga beliau mendapat gelaran “Hamzah Fansuri zaman baru”. Pada tahun 1925, Hamka memulakan kerjayanya sebagai pengarang di Padang Panjang. Beliau menulis majalah “Seruan Islam” di Tanjung Para Langkat, menerbitkan majalah “Pedoman Masyarakat”, dan “Panji Masyarakat”. Beliau juga mula mengarang dalam akhbar “Pembela Islam”, Bandung pada tahun 1930. Beliau meninggalkan hasil karya yang sangat berguna kepada umat Islam iaitu Tafsir Al-Azhar (lima jilid). Beliau menerima pelbagai anugerah yang boleh menaikkan imej umat Islam pada masa itu.

Al-Khawarizmi. Nama sebenar Al-Khawarizmi ialah Muhammad Ibn Musa al-khawarizmi. Selain itu beliau dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff. Al-Khawarizmi telah dikenali di Barat sebagai Al-Khawarizmi, Al-Cowarizmi, Al-Ahawizmi, Al-Karismi, Al-Goritmi, Al-Gorismi dan beberapa cara ejaan lagi. Beliau telah dilahirkan di Bukhara. Pada tahun 780-850M adalah zaman kegemilangan al-Khawarizmi. Beliau meninggal dunia antara tahun 220 dan 230M. Ada yang mengatakan Al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahan abad ke-9M. Sumber lain menegaskan beliau di Khawarism, Uzbekistan pada tahun 194H/780M dan meninggal tahun 266H/850M di Baghdad.

Gelaran Al-Khawarizmi yang dikenali di Barat ialah Al-Cowarizmi, Al-karismi, Al-Goritmi atau Al-Gorism. Nama Al-Gorism telah dikenali pada abad pertengahan. Negara Perancis pula Al-Gorism muncul sebagai Augryam atau Angrism. Negara Inggeris pula ia dikenali sebagai Aurym atau Augrim.

Sumbangan Al-Khawarizmi melalui Al-Jabr wa’l Muqabalah iaitu mencipta pemakaian secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

Sumbangan dalam Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah adalah mengajukan contoh-contoh persoalan matematik dan mengemukakan 800 buah soalan yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yamng dikemukakan oleh Neo Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh Al-Khawarizmi. Beliau telah memperkenalkan konsep sifar dan ia penting dalam sistem nombor pada zaman sekarang.

Antara cabang yang diperkenalkan oleh Al-Khawarizmi seperti geometrik, algebra, arimetik dan lain-lain. Geometri, selain algebra, Al-Khwarizmi juga menghasilkan beberapa kertas kerja tentang ilmu geografi dan menghasilkan tulisan yang bertajuk kitaab surat al-ard (buku tentang rupa muka bumi). Buku ini adalah rujukan dan versi pembetulan kertas kerja Ptolemy tentang georgafi. Beliau adalah salah seorang ahli falak (astronomi) dan menulis sekurang-kurangnya dua buah zij iaitu buku yang mengandungi jadual parameter nilai yang digunakan untuk menentukan kedudukan matahari, bulan, bintang dan planet-planet. Zij penting dalam perkembangan ilmu astronomi hari ini. Zij al-Sindhind (jadual astronomi Sind dan Hind) adalah zij yang dihasilkan oleh Al-Khwarizmi yang berdasarkan keadah astronomi India yang dikaji beliau.

Imam Al-Ghazali. Nama sebenar Imam Al-Ghazali ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali Altusi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Al-Ghazali iaitu nisbah kepada kampung tempat kelahirannya iaitu ghazalah yg terletak dipinggir bandar Tusi di dalam wilayah Kharasan, Parsi (Iran). Al-Ghazali juga bererti orang ghazalah, berkemungkinan juga panggilan tersebut dinisbahkan kepada bapanya seorang tukang tenun kain bulu yang dalam bahasa Arabnya dikatakan alghazzal. Imam Al-Ghazali juga digelar Abu Hamid, yang bererti bapa kepada Hamid iaitu dinisbahkan kepada anaknya.

Beliau juga digelar hujjatul Islam iaitu suatu gelaran penghormatan yang diberikan kepadanya kerana kejituan dan kekuatan hujahnya dalam membela agama Islam. Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali Altusi adalah seorang tokoh ulama yang luas ilmu pengetahuannya dan merupakan seorang pemikir besar dalam sejarah falsafah islam dan dunia. Dalam ilmu feqah beliau bermazhab syafie sementara dalam ilmu kalam beliau mengikuti aliran assyaari atau ahlu sunnah wal jamaah. Beliau lahir pada tahun 450H bersamaan 1058M.

Beliau seorang alim yang aktif dan segala maklumat yang diterimanya diteliti dan diuji sejauh mana kebenaran dan kebatilannya. Oleh itu, ada kalanya beliau menolak, merubah atau menjelaskan dan menghuraikan sesuatu perkara tersebut lalu membuat pembaharuan.

Membahaskan ilmu kalam menurut metodologi para sahabat dan juga Rasulullah saw. menguatkan hujah-hujahnya berteraskan al-Quran, as-sunnah dan perbahasan para sahabat. Menganggap sesiapa yang keterlaluan dalam membincangkan isu-isu berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah adalah termasuk di dalam golongan orang yang melakukan bid’ah di dalam Islam. Menyatakan bahawa ilmu kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab. Ilmu ini tersimpang jauh dari matlamatnya yang utama iaitu mengenal Allah. Perbincangan ahli ilmu kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulamak salaf (penamaan lain dari ahlussunnah wal jama’ah yang menunjukkan ciri dan kriteria mereka).

Mengkaji penulisan-penulisan yang berkaitan dengan ilmu falsafah terutamanya ilmu falsafah Yunani. Dengan izin Allah swt, dikurniakan kepadanya ilmu-ilmu berkaitan falsafah dalam tempoh masa yang singkat iaitu kurang dari dua tahun. Membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan iaitu atheis, natural dan teologi. Orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah maqasid al-falasifah, al-munqiz min aldhalal dan tahafut al-falasifah.

Gurunya yang termahsyur ialah Al-Junaid dan Al-Harith Al-Muhasibin. Penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang tasawwuf ialah kitab Ihya’ulumuddin. Kitab ini telah menjadi rujukan penting ilmu fiqh dan tasawwuf di serata dunia dari zaman penulisannya hingga ke hari ini. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti bahasa Melayu, Parsi, Urdu, Inggeris dan Perancis. Selain itu, kitab ini menjadi sumber rujukan ulamak di rantau alam Melayu.

Kitab Ihya’ulumuddin bukan sekadar membawa pembaharuan dalam bidang tasawwuf bahkan membawa pembaharuan dalam bidang penulisan ilmu fiqh. Jika diteliti, kita akan dapati Al-Ghazali menerokai metodologi penulisan baru fiqh yang berasaskan kepada gabungan antara ilmu fiqh dan tasawwuf. Selain itu gaya bahasanya cukup menarik dengan menggunakan susunan tatabahasa yang mudah. Di dalamnya kita dapat membaca fiqh dan tasawwuf dalam waktu yang sama. Sebagai contoh, ketika menghuraikan berkaitan solat, Al-Ghazali bukan sekadar menulis berkaitan teori dan amali perlakuan solat beserta rukun-rukunnya, bahkan beliau juga menekankan soal kehadiran hati, khusyuk dan khuduk dalam perlakuan solat. Perbahasan berkaitan kehadiran hati, khusyuk dan khuduk adalah intipati daripada ilmu tersebut. Selain itu, ketika Al-Ghazali menulis berkaitan muamalat, beliau bukan sahaja mengkhususkan berkaitan teori jual beli dan untung, bahkan beliau menulis berkaitan dengan keperluan-keperluan kaum muslimin yang perlu dipenuhi sebagai tuntutan fardu kifayah dan mutiara nasihat kepada pembekal dan pembeli ketika melaksanakan urusan muamalat.


Post a Comment