Friday, March 29, 2013

PRU13: Menanti tarikh




Perang bendera telah lama bermula


Tarikh pilihan raya tahun ini belum muncul-muncul. Timbalan Musryidul Am Pas, Datuk Harun Din berkata tindakan perdana menteri ketika ini sangat mendera rakyat.

 
Biarpun tanpa tarikh, persediaan pilihan raya umum yang akan datang telah lama bermula. Di sana-sini kedapatan bendera dipasang merata tempat sehingga Tenaga Nasional Berhad terpaksa mengeluarkan amaran kepada petugas parti supaya tidak memasang bendera masing-masing di tiang elektrik seluruh negara.

Walau bagaimanapun  amaran ini tidak dipedulikan.

Menanti tarikh diumumkan pembubaran parlimen umpama menunggu buah masak yang enggan jatuh. Namun apabila sampai masanya, ia akan jatuh sendiri. Begitu juga dengan Pilihanraya Umum ke-13 ini, jika tidak dibubarkan parlimen, ia akan terbubar dengan sendiri dan perlu diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Kenapa tarikh ini tidak muncul-muncul?

Pertama, tentulah ada strategi tertentu Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya kali ini. Selepas beberapa program untuk rakyat, semestinya BN mahu melihat sokongan berpihak kepada mereka.

Kedua, terdapat isu yang belum selesai seperti pembahagian kerusi, calon yang layak dan jangkaan untuk menang. Dalam politik Malaysia, tidak ada satu kaum yang berlawan di semua kerusi melainkan bersama-sama dalam kumpulan. Biasanya calon yang tidak terpilih hanya ada dua pilihan iaitu mentaati pilihan parti atau melakukan sabotaj terhadap parti.

Ketiga, BN menunggu isu besar untuk 'memancung' kekuatan pembangkang. Mengharapkan isu moral sebagai modal pilihan raya mungkin tidak begitu signifikan kerana akhlak pemimpin politik sedia ada bercampur-baur. Ada pemimpin yang bersih lahir dan batin, ada yang bersih lahir sahaja dan ada pula yang bersih batin sahaja. Pemimpin yang tidak bersih kedua-duanya sudah pun ditunjukkan jalan keluar. Namun ada pemimpin seperti itu yang enggan keluar walaupun banyak skandal melibatkan isu moral, rasuah dan nepotisme.

Terakhir ialah pembangkang mula menggiatkan kempen dan usaha memikat pengundi. Media sosial digunakan sepenuhnya untuk memberi maklumat kebaikan mereka sambil memperlekeh lawan. Malangnya ada kekurangan maklumat yang tepat dalam kempen ini.

Menunggu tarikh pembubaran parlimen sangat membosankan. Justeru Setiausaha Agung Pas menyatakan tidak perlu memberi fokus kepada tarikh sebaliknya fokus kepada usaha menjejakkan kaki ke Putrajaya.

 

No comments:

Post a Comment