Tuesday, March 26, 2013

Tahniah buat yang berjaya SPM dan STPM: Jom Masuk Universiti

 


Belajar di universiti menjadi harapan setiap pelajar


oleh Norliah Kudus
 
Baru-baru ini, kejayaan para pelajar yang membanggakan dalam keputusan ujian SPM dan STPM turut dikongsi bersama seluruh warga Melaka dan Malaysia. Tahniah, penulis ucapkan kepada semua pelajarpelajar yang telah berjaya di dalam keputusan tersebut dan buat yang tidak berjaya janganlah putus asa.
 
Apa yang menarik ingin penulis kongsikan seperti yang terpapar kejayaan para pelajar dalam akhbar-akhbar utama tanah air. Malah turut berkongsi kejayaan pelajar-pelajar ini termasuk para guru serta ibu bapa mereka. Penulis merasa sejuk hati dan sungguh teruja membaca kisah di sebalik kejayaan dan kesungguhan mereka yang mendapat keputusan cemerlang.
 
Pertamanya, melalui keputusan SPM dan STPM yang telah diumumkan minggu lepas, marilah kita sebagai ibu bapa mengucapkan TERIMA KASIH buat semua guru-guru Malaysia kerana telah mendidik dan membimbing anak bangsa kita ke arah kejayaan yang terbilang.
 
Buat para pelajar pula marilah kita ucapkan TERIMA KASIH CIKGU. Ini adalah ungkapan signifikan dari murid kepada guru atau dari ibu bapa kepada para guru sebagai tanda penghormatan dan penghargaan bermakna dalam mencurahkan kepayahan dan keperitan mendidik, membimbing, memecahkan kegelapan dan kejahilan yang menyelubungi pemikiran dan hati para pelajar sehingga berjaya.
 
Penulis amat bersetuju bahawa guru juga diibaratkan seperti sebatang lilin, sanggup membakar diri untuk menerangi sekelilingnya. Sumbangan dan jasa guru begitu banyak sekali. Kalau tanpa guru mungkin tidak akan lahirnya seorang  doktor, pensyarah, jurutera, peguam, hakim, wakil rakyat, Perdana Menteri, negarawan ulung dan banyak lagi.
 
Begitu juga marilah para pelajar ucapkan TERIMA KASIH IBU AYAH, yang mana mereka juga telah banyak bersusah payah memastikan kejayaan itu adalah milik kita bersama. Bagi pelajar yang tidak berjaya jangan putus asa, anggaplah ia sebagai satu ujian dan cabaran untuk mengecapi kejayaan pada masa hadapan.
 
Jom Masuk U
 
Karnival Pengajian Tinggi 2013 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diadakan di selurh negara. Baru-baru ini juga ianya telah dianjurkan di MITC, Ayer Keroh juga merupakan contoh perkongsian maklumat berkaitan kelestarian ilmu yang terbaik dan telah mendapat sambutan di kalangan pelajar sekolah serta menjadi pilihan ibu bapa.
 
Dengan tagline “JOM MASUK U” bertema ‘Impian Ke Menara Ilmu’ ini adalah merupakan Program Turun Padang KPT yang berkonsepkan mesra rakyat ini adalah sebagai menyahut seruan kerajaan dengan meletakkan pembangunan modal insan salah satu daripada empat strategi utama dalam membangun negara melalui pendidikan tinggi.
 
Bagi penulis Karnival Jom Masuk U ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada kumpulan sasaran seperti pemohon, ibu bapa, guru dan komuniti setempat mengenai maklumat terkini dan program pengajian terbaru yang ditawarkan oleh semua IPT di negara ini.
 
Dalam masa yang sama juga program ini juga disi dengan slot Forum Halatuju Lepasan SPM/STPM, Khidmat Kaunseling dan Kerjaya yang bertujuan untuk mendidik dan memupuk pelajar, guru dan ibu bapa serta komuniti setempat tentang peranan masing-masing di dalam memastikan tempat pengajian terbaik di IPT dalam negara.
 
Modal insan yang mahu dilahirkan oleh negara kita ialah mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi, berkemahiran, inovatif, memiliki jatidiri, berterika, terlatih serta mempunyai minda kelas pertama. Tema ini juga menunjukkan keprihatian KPT untuk sama-sama mendukung hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang cemerlang dan bersifat glokal.
 
Memetik juga hasrat yang pernah diutarakan oleh Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, ‘agenda kecemerlangan bangsa adalah satu gagasan besar yang melibatkan pelan tindakan untuk menjadi hebat dalam pendidikan, kuat ekonomi, mantap dalam aspek sosial dan terbilang di pentas dunia’. 
 
Ini termasuk juga hasrat para ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan harapan anak-anak mereka nanti adalah merupakan generasi pewaris yang berjaya dan berkerjaya pada masa akan datang.
 
Transformasi Glokal
 
Penulis juga pernah mendapat inspirasi dari Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran sebagai akademia melalui penerbitan beberapa buah buku hebat dalam menjayakan agenda transformasi pembangunan mahasiswa negara melalui penulisan buku-buku bertajuk “Pelaksanaan Kemahiran Insaniah Di IPT”, “Kemahiran Insaniah: 7 Citra Unggul Mahasiswa” dan terkini buku bertajuk “Refleksi Kecemerlangan : Permata Hati Ayah Bonda” yang telah diterbitkan oleh Penerbit UTeM.
 
Ini termasuk buku yang bakal diterbitkan oleh penulis bertajuk “Refleksi Kejayaan : Mengangkasa Impian Ke Menara Ilmu” akan turut berada di pasaran tidak lama lagi khas buat tatapan para pelajar, ibu bapa dan seluruh masyarakat yang mencintai budaya ilmu.
 
Penulis percaya bahawa di IPT ini juga para pelajar akan dapat membawa satu transformasi dalam membangunkan pelbagai potensi diri mereka dengan penglibatan dan pengembangan diri meliputi kemahiran berinteraksi, berkomunikasi, kepimpinan serta berorganisasi.
 
Di IPT inilah juga bakat digilap dan ditajamkan segala macam kemahiran termasuk kemahiran insaniah atau kemahiran generik. Hasilnya akan memberi perbezaan diri mereka dengan kelompok pelajar yang hanya mengembangkan dapatan ilmu, tetapi kurang dalam aspek skill development yang menyebabkan mereka nanti  tidak boleh dipasarkan apabila menembusi persaingan kerjaya.
 
Bagi penulis juga di universiti inilah juga para pelajar akan dapat melengkapkan diri dengan input-input yang  positif dan berpaksikan mencintai kebijaksanan dan kecemerlangan. Di sini juga para pelajar dapat membangunkan pelbagai potensi diri mereka dengan penglibatan dan pengembangan diri meliputi kemahiran berinteraksi, berkomunikasi, kepimpinan serta berorganisasi.
 
Kejayaan dan pencapaian dalam mencintai hikmah atau kebijaksanaan (to love wisdom)  ini amat penting untuk direkodkan kerana ianya berkait rapat di dalam menobatkan jatidiri generasi muda dengan pembangunan modal insan yang dilahirkan oleh universiti.
 
Universiti Pilihanku
 
Penulis yakin bahawa di Melaka kita mempunyai beberapa universiti yang mempunyai program pengajian yang hebat dan terbaik seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia Melaka, Open University Melaka dan MCET UniKL Alor Gajah.
 
Ini termasuk beberapa institusi pengajian tinggi lain yang menawarkan pengajian yang terbaik kepada lepasan SPM dan STPM seperti Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCOST), Kolej Antarabangsa DMDI, Kolej RISDA, Kolej Stamford Politeknik, Kolej Komuniti dan banyak lagi.
 
Dari sudut perkembangan ekonomi negara, KPT juga telah menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini. Kita perlu berbangga dengan perkembangan pengajian tinggi dalam negara ini yang sudah menjangkau sebanyak 20 buah IPTA. Malah kerajaan juga menggalakkan pendemokrasian pendidikan tinggi melalui penubuhan IPTS dengan tujuan membuka peluang dan ruang pendidikan untuk semua rakyat.
 
Penulis juga yakin bahawa universiti atau institusi pengajian tinggi (IPT) ini juga dapat dilihat sebagai satu organisasi yang melambangkan keunggulan kepada apa yang dimaksudkan dengan institusi pengajian tinggi.  IPT ini juga merujuk kepada suatu tempat untuk ahlinya memaksimakan pembelajaran mereka, potensi dan juga pencapaian organisasi itu sendiri.
 
Penulis yakin bahawa objektif dan peranan universiti adalah untuk melahirkan siswazah yang bekelayakan tinggi dalam bidangnya, menghasilkan siswazah yang bersedia untuk pembelajaran sepanjang hayat, menghasilkan siswazah yang boleh berkomunikasi dengan berkesan dalam persekitaran berkumpulan, meluaskan pengetahuan berdasarkan kepada bidangnya untuk memenuhi keperluan masyarakat dan mengembangkan pengetahuan berterusan melalui pendidikan, bengkel dan seminar.
 
Penulis juga bersetuju bahawa bagi sesetengah remaja atau pelajar yang menggunakan masa cuti sekolah ini atau tempoh menunggu keputusan peperiksaan ini dengan bekerja secara sambilan. Buat para pelajar anggaplah ianya sebagai persinggahan bagi mendapatkan sedikit pengalaman dan cabaran untuk mempertingkatkan kerjaya diri. Janganlah terlalu leka mengejar wang ringgit sehingga boleh melalaikan tugas sebagai pelajar.
 
Selagi ada kekuatan dan keinginan, teruskan usaha murni ini untuk mengejar dan mencari peluang untuk mempertingkatkan ilmu. Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Individu yang berjaya mempunyai prinsip diri yang kuat dan keazaman yang utuh.
 
Akhir bicara, kepada mereka yang berjaya diharapkan usaha murni pelajar ini akan berkekalan dan bakal beroleh tempat pengajian yang terbaik sama di IPTA atau IPTS dalam dan luar negara. Di doakan pelajar-pelajar semuanya akan menempa kejayaan yang lebih besar dan mencontohi kecemerlangan mereka yang telah berjaya. Malaysia Boleh, Anda Boleh. Jom Kita Masuk Universiti.
 
 
*Penulis adalah pensyarah kanan dan perunding motivasi, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.


No comments:

Post a Comment