Wednesday, March 27, 2013

Kerajaan transformatif: bersyukur di atas nikmat demokrasi




Kemakmuran negara beri peluang peningkatan ilmu rakyat


oleh Norliah Kudus

Penulis bersetuju bahawa kita tidak boleh leka dan lupa dalam meniti kejayaan yang sedang kita kecapi kini. Ingatlah bahawa kejayaan transformasi negara ini adalah bermula dengan jerih payah dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang kemudiannya diteruskan oleh pemimpin kini. Justeru itu, sewajarnya kita perlu mempertahankan kestabilan sosial, politik, ekonomi bagi menjamin generasi hadapan terus menikmati apa yang sedang kita kecapi kini.

Kita amat bersyukur kerana nikmat demokrasi dan keharmonian yang dikecapi oleh negara hari ini. Demokrasi berasal dari bahasa Greek yang membawa maksud ‘pemerintahan oleh rakyat’. Demokrasi adalah untuk kesejahteraan hidup kita. Cara pemerintahan ini merujuk kepada satu sistem rakyat sebuah negara menentukan corak pemerintahan yang dipersetujui untuk mentadbir sesebuah negara. 

Kita juga akui bahawa demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dicipta oleh manusia. Malah demokrasi amat bergantung kepada sokongan rakyat. Sokongan ini pula boleh didapati melalui kecekapan calon dan parti dalam memerintah dan membangunkan negara. 

Selepas merdeka, Malaysia telah memilih pemerintahan berlandaskan demokrasi berparlimen dengan Raja berpelembagaan. Setelah hampir setengah abad, kerajaan Malaysia telah mewujudkan satu pemerintahan yang stabil, mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara. Di dalam demokrasi moden, kuasa tertinggi dipegang oleh wakil-wakil rakyat yang telah dipilih kerana kedudukannya yang popular di kalangan masyakaratnya melalui sistem pihan raya. 

Di Malaysia, pemerintahan demokrasi berparlimen merupakan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Malah kerajaan yang dipilih inilah merupakan kerajaan yang bertanggungjawab meletakkan kepentingan serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya.

Transformasi Untuk Semua

Penulis cukup teruja dalam mengamati dan menganalisis ucapan Perdana Menteri Dato Seri Najib  yang bertemakan “Transformasi Untuk Semua” sempena Pelancaran Tahunan Program Transformasi Negara pada 19 Mac baru-baru ini. Keberhasilan laporan kejayaan pencapaian sepanjang tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2013 ini juga telah pun beliau zahirkan di bawah tujuh bidang keberhasilan utama (NKRA) negara.

Penulis amat bersetuju bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus dan keutamaan kerajaan kepimpinan Dato Seri Najib bagi memastikan masyarakat berbilang kaum di negara ini kekal bersatu padu kerana ia teras utama kepada kejayaan agenda transformasi negara untuk kesejahteraan dan kemakmuran.

Malah penulis begitu yakin bahawa kerajaan telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dengan menggerakkan dan menjayakan Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang nyatanya telah membuahkan hasil yang berganda kepada rakyat jelata.

Malah tonggak lain seperti Model Ekonomi Baru (MBE), Bidang Eknomi Utama Negara (NKEA), Prakarsa Pembaharuan Strategik dan Wawasan 2020 juga merupakan komitmen kerajaan dan landasan akhir untuk dinakhodai 7 tahun akan datang bagi mencapai pembangunan dan kemakmuran negara.

Penulis bersetuju dengan gagasan Perdana Menteri bahawa pelbagai inisiatif mesra rakyat ini juga bertepatan dengan konsep negara Madinah sebagaimana yang telah diasaskan oleh Rasulullah dalam menjaga kebajikan rakyat. Sememangnya pemimpin awal negara juga telah merintis jalan dengan penuh kebijaksanaan menerusi konsep wasatiyah dalam mengurus tadbir negara ini. 

Melalui Perlembagaan Pesekutuan amat jelas kesederhanaan ini juga telah digariskan. Malah melalui Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri juga menjadi pengukuh kepada konsep kesederhanaan dan keseimbangan iltizam kerajaan dalam membina 1 Malaysia yang maju dan harmoni.

Malah kerajaan juga telah mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia(KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan 1 Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Batuan Persekolahan 1Malaysia, Bantuan Tayar 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan juga insiatif kenaikan gaji kakitangan awam dan sektor swasta.

Nikmat Perpaduan Kaum

Penulis percaya bahawa keunikan negara Malaysia adalah kerana kemajmukannya. Sebagai satu masyarakat berbilang kaum, amat penting untuk mempertahankan dan mengukuhkan persefahaman dan keharmonian antara kita. Sesungguhnya harga sebuah keamanan terlalu tinggi nilainya. 

Malah, rakyat berbilang kaum Malaysia ini juga hidup rukun damai, aman dan maju berkat dasar Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman sehinggalah kepada Dato Seri Mohd Najib. Perbezaan ekonomi antara kaum juga sudah berkurangan. Malah golongan petani dan nelayan juga mempunyai anak yang telah pun berjaya menjadi ahli profesional, pegawai tinggi dalam kerajaan, profesor, doktor, panglima angkatan tentera, ahli perniagaan serta pengurus di sektor swasta.

Kejayaan kita ini disebabkan sifat-sifat dan budaya baru yang berjaya dipupuk di kalangan rakyat. Rakyat Malaysia mempunyai sifat bertanggungjawab, sederhana dan suka kepada kedamaian. Kita lebih suka berkongsi daripada merebut semua untuk kita. Dengan perkataan lain rakyat Malaysia tidak tamak.

Asas ukuran utama untuk menilai pembangunan negara juga adalah melalui peningkatan kualiti hidup rakyat. Kita di Malaysia mengiktiraf bahawa rakyat mempunyai hak untuk mendapat faedah yang setimpal daripada pembangunan. Semua dasar transformasi oleh pihak kerajaan ditumpukan kepada pembangunan rakyat bertujuan untuk memastikan pencapaian kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.

Malah kerajaan transformatif juga telah menumpukan usaha untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan yang lebih tinggi, membuat pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, perumahan dan kemudahan lain, memastikan suasana tempat kerja yang lebih baik dan melindungi alam sekitar.

Ceritera Kejayaan Malaysia

Penulis juga cukup teruja dan bersetuju dengan ungkapan Perdana Menteri berkaitan “Ceritera Malaysia Cerita Kejayaan”. Inilah sebenarnya harapan beliau untuk semua rakyat dalam mengatasi isu-isu nujum kemusnahan. Malahan, bagi beliau kejayaan ini tidak mungkin tercipta tanpa kuat dan kukuhnya keselamatan serta kestabilan yang dihasilkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi keselamatan negara.

Walaupun insiden keganasan di Lahad Datu menjadi semboyan peringatan bahawa kita sekali-kali tidak mampu mengambil mudah soal keselamatan. Marilah kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan wira-wira negara ini merupakan pengorbanan cinta sejati dalam mempertahankan tanah air yang sewajarnya kita kenang dan berterima kasih di atas jasa dan bakti mereka. 

Baru-baru ini juga penulis telah diundang oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan UiTM Melaka sebagai penceramah utama bertajuk “Cinta Sejati Dalam Konteks Perjuangan dan Patriotisme Pada Negara”. Tahniah dan terima kasih kepada pihak IKSEP dan UiTM dalam menganjurkan program hebat ini. Penulis turut berkongsi bicara minda dan tips bagi memperkasakan para mahasiswa dan generasi belia masa kini sebagai tonggak utama negara melalui penganjuran pelbagai aktiviti yang hebat dan berimpak tinggi kepada masyarakat sebagai tanda cinta dan semangat patriotik mereka kepada Malaysia .

Penulis menyokong dan bersetuju bahawa kecemerlangan kepimpinan dan transformasi pembangunan negara oleh kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan negeri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam.  Menerusi agenda perubahan ini sebahagian besar janji kerajaan telah ditunaikan dan ianya memberikan impak bermakna kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kita bersyukur di atas nikmat kejayaan dan demokrasi negara ini.

Kini semua rakyat mengetahui bahawa musim pilihan raya bakal menjelma. Kita sebagai rakyat tidak harus mensia-siakan peluang dan keistimewaan yang diberikan untuk keluar mengundi nanti dalam menentukan kerajaan dan hala tuju negara masa hadapan. Justeru itu, buatlah keputusan yang bijak dan berasaskan kepada fakta serta realiti bukannya persepsi yang belum tentu kebenarannya.

Akhir bicara, marilah kita bina masa depan negara yang gemilang untuk semua. Marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan saksama yang ditepati. Pilihlah kerajaan yang transformatif, kerajaan yang mendokong harapan dan gagasan, kerajaan yang berusaha gigih mencipta masa depan yang lebih baik untuk genarsi kita demi kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia. Ayuh, marilah kita bina Malaysia yang menjanjikan taman kemakmuran untuk semua.
 
 

 *Penulis adalah pensyarah kanan dan perunding motivasi, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

No comments:

Post a Comment