Wednesday, March 06, 2013

Sabah, imej Kesultanan Sulu tercemar






Serangan udara dan darat ke atas ketumbukan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu menghancurkan sama sekali harapan mereka untuk memiliki wilayah Sabah. Insiden yang mengambil masa 21 hari itu sampai kemuncaknya apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berganding bahu dalam Ops Daulat memusnahkan kubu penceroboh yang mula dilabel sebagai “pengganas”. 

Ketua pengganas, Raja Muda Azzumudie iaitu adik kepada Sultan Jamalul Kiram III (Kiram) yang mendakwa dirinya Sultan Sulu sudah melarikan diri dan bersembunyi, hanya menunggu masa untuk dibunuh atau ditangkap hidup-hidup untuk dibawa ke muka pengadilan kerana melakukan jenayah berat ke atas kedaulatan negara. Tindak-tanduk beliau yang enggan berundur atau menyerah diri mengundang kemarahan apabila menembak mati dua anggota polis. 

Kiram mempunyai cita-cita peribadi yang tidak kesampaian. Hasrat beliau untuk menjadi sultan di Sabah ditolak bulat-bulat oleh rakyat Sabah sendiri kerana mereka tidak mengenali lelaki ini dan tidak ada rekod yang menunjukkan beliau boleh membawa kemajuan kepada rakyat Sabah. Malahan tindakan secara kekerasan menceroboh dan menembak mati anggota keselamatan menunjukkan tingkah laku dan pemikiran tidak bertamadun seorang yang rakus dengan kuasa. 

Kesultanan Sulu sudah pun menjadi sebahagian daripada sejarah. Ia berlaku begitu kerana kelemahan kepimpinan dan kezaliman mereka sendiri. Rakyat yang muak dengan kepimpinan seperti itu menolak sebarang langkah untuk kembali dinaungi oleh pemimpin yang bongkak dan pentingkan diri sendiri. 

Penentangan ke atas pengganas ini tidak akan selesai selagi pemimpinnya tidak ditemui. Justeru usaha pasukan keselamatan yang mula mencari dan menjejaki Raja Muda Azzumudie wajar dibantu sepenuhnya oleh penduduk sekitar Kampung Tandou supaya lelaki berbahaya ini diberkas. Sikap keras kepalanya telah membawa padah kepada dirinya sendiri kerana ruang ehsan dan tolak ansur telah tertutup. Malahan tindakan Malaysia untuk menggempur penceroboh disokong oleh kerajaan Filipina sendiri yang turut berusaha agar pencerobohan ini berakhir tanpa pertumpahan darah. Namun Raja Muda Azzumudie memilih jalannya sendiri, nasibnya berada di hujung senjata tentera dan polis Malaysia. 

Pencerobohan kumpulan pengganas dari Sulu ini bakal menjadi titik tolak kepada kawalan keselamatan yang lebih ketat di sepanjang sempadan Sabah. Kehadiran ribuan angkatan tentera dan polis tentu menguatkan kawalan dan meningkatkan keyakinan orang ramai ke atas Sabah. Selepas ini penyeludupan dan pencerobohan tentu dapat diatasi dengan mudah. Ternyata koordinasi strategi lautan biru ATM dan PDRM telah mencetuskan suatu bentuk kekuatan baru yang hebat, menjimatkan kos dan memberi impak maksimum ke atas operasi ketenteraan bagi keselamatan dalam negara.

 

No comments:

Post a Comment