Wednesday, March 20, 2013

Malaysia negara kebajikan




Kemakmuran Malaysia


Pencapaian kadar kemiskinan sangat membanggakan bagi Malaysia. Sejak merdeka hingga kini, program pembasmian kemiskinan telah menunjukkan perubahan yang ketara ke atas kelompok miskin khususnya di luar bandar.
 
Dalam pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, Datuk Sri Najib Tun Razak menyatakan kadar kemiskinan telah menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012 lalu. Angka ini sangat signifikan dengan usaha dan peranan yang dimainkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan selama ini.
 
Mengurangkan kadar kemiskinan merupakan matlamat dalam negara kebajikan (welfare state). Pierre Pestieau (2006) menyatakan pandangannya dalam buku The Welfare State in the European Union: Economic and Social Perspectives dengan memberi dua sebab utama idea negara kebajikan dilaksanakan iaitu, pertama adalah mengurangkan kemiskinan, dan kedua adalah menyediakan perlindungan kepada rakyat. Namun begitu, terdapat institusi lain yang menyokong peranan bagi mencapai matlamat kedua-dua inisiatif tersebut seperti pasaran dan isi rumah. Contohnya ialah menyediakan gaji minimum atau bantuan kewangan yang berpatutan.
 
Fungsi negara kebajikan bukannya sebagai halangan kepada berbelanja sebaliknya berada di bawah undang-undang dan peraturan tertentu. Ia perlu dikawal supaya tidak memberi beban dan implikasi buruk kepada pasaran dan isi rumah itu sendiri.
 
Laporan yang dibentangkan itu menunjukkan ciri-ciri negara kebajikan telah pun terserlah di Malaysia. Ia memberi kelegaan kepada pembangunan negara kerana mengurangkan ketakpastian dan memberi pengaruh yang positif kepada ekonomi. Walau bagaimanapun konsep negara kebajikan pada masa akan datang sedang berhadapan dengan konteks yang lebih besar dan dominan iaitu perpecahan keluarga, persaingan cukai, globalisasi dan penguncupan pasaran buruh.
 
Penggerak utama negara kebajikan bergantung kepada struktur insentif yang mengepalai produktiviti dan agihan. Contohnya ialah dana yang disediakan oleh kerajaan belum tentu sampai kepada kumpulan sasar jika struktur operasinya terlalu banyak proses dan dokumentasi. Pilihannya ialah menyediakan struktur insentif dalam bentuk perkhidmatan yang mengguna pakai beberapa sumber pembiayaan.
 
Di Malaysia, kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan telah disokong oleh komitmen politik yang stabil dan dasar-dasar yang diperkukuh dari semasa ke semasa. Sokongan politik membantu kelancaran program yang disusun dan diagihkan serta-merta. Kementerian dan agensi kerajaan berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan menyediakan pelan pembasmian kemiskinan dengan mengutamakan kumpulan sasar yang dikenal pasti melalui portal e-Kasih. Justeru, lebih 100,000 orang berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh tiga tahun di bawah program tersebut.
 
Proses transformasi dalam negara kebajikan bukannya mudah. Ia berhadapan dengan beberapa pilihan dan tindakan yang sukar. Perkara utama ialah memasukkan manfaat yang bakal diterima oleh kumpulan sasar supaya sokongan kepada parti pemerintah terus diperkasa. Kedua ialah komitmen. Penting bagi negara kebajikan untuk menunjukkan komitmen dalam memenuhi beberapa tanggungjawab. Sesetengah orang mahu mengetahui bagaimana program perlindungan sosial pada masa hadapan namun pada masa yang sama mereka juga perlu menerima beberapa perubahan drastik dalam ekonomi atau teknologi.
 
Memansuhkan beberapa faedah untuk menyelesakan hidup rakyat boleh menyebabkan  tahap kecekapan sosial menurun. Justeru, memahami konsep negara kebajikan menjadi sangat penting supaya negara tidak dibebankan dengan kos dan salah perkiraan. Negara kebajikan tidak seperti dinasor tetapi boleh jadi seperti Titanic. Hanya kefahaman dan perancangan yang jelas dapat membawa kemakmuran kepada rakyat.

 

1 comment:

  1. kesedaran tentang apa itu negara kebajikan yang sebenarnya perlu diterangkan. Ramai yang hanya menganggap negara kebajikan ini sama dengan konsep kefahaman kepada jabatan kebajikan masyarakat

    ReplyDelete