Wednesday, March 13, 2013

Ketatkan pendaftaran akaun prabayar




Syarikat telekomunikasi patut mesra pelanggan

Maklumat yang tepat dan jelas sangat penting semasa pendaftaran penggunaan akaun prabayar telefon bimbit. Justeru, tindakan saman ke atas lima syarikat telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana melanggar syarat lesen amat tepat bagi melindungi pengguna.

Jumlah saman RM920,000 yang dikenakan kepada syarikat-syarikat itu menunjukkan betapa seriusnya masalah pendaftaran talian prabayar ini khususnya yang melibatkan penggunaan kad pengenalan orang lain. Mangsanya tentu akan menanggung beban angkara perbuatan tidak bertanggungjawab ini. 

Harga kad sim bagi talian prabayar di Malaysia sangat kompetitif berbanding negara-negara Asean yang lain. Perlumbaan mencari pelanggan telah menjadikan syarikat-syarikat telekomunikasi ini mengambil mudah urusan pendaftaran. Selain kad pengenalan, maklumat yang dimasukkan juga tidak lengkap dan salah. Ia berlaku ketika pengguna prabayar dimestikan mengisi borang pendaftaran dan perkara ini tidak diberi perhatian oleh wakil penjual. 

Syarikat telekomunikasi perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan maklumat dalam setiap borang permohonan. Jika perlu, mereka boleh memberi amaran kepada wakil penjual untuk mendapatkan maklumat yang lengkap, jika tidak dipenuhi, khidmat wakil penjual ini ditamatkan dan nama mereka disenarai hitam. 

Sebagai langkah awal, syarikat telekomunikasi boleh melakukan penerangan, menggunakan kaedah pendaftaran atas talian (online) dan proses pengesahan maklumat yang lebih kerap supaya semua butiran yang dimasukkan ke dalam pangkalan data bebas daripada pemalsuan.

Tindakan mengenakan saman ini meningkatkan keyakinan pengguna untuk melihat syarikat telekomunikasi lebih telus dan bertanggungjawab dalam kerja mereka. Ketika integriti menjadi sebahagian daripada nilai teras dalam organisasi, nilai ini perlulah dijelmakan dalam tindakan supaya perkhidmatan mereka terus mendapat kepercayaan ramai. Era membuat untung tanpa meningkatkan tahap kecekapan sudah berlalu kerana pengguna hari ini semakin sedar hak mereka dan setiap sen yang dikeluarkan mestilah sepadan dengan perkhidmatan yang diterima.

 

No comments:

Post a Comment