Monday, March 25, 2013

Kepentingan sidang media dalam pencerobohan Lahad Datu






Kekuatan kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu semakin lemah. Koordinasi pasukan polis dan tentera telah melumpuhkan gerakan yang cuba mencari publisiti dan mengganggu ketenteraman masyarakat Sabah. Sebilangan pengganas yang dibunuh sudah dikebumikan manakala yang ditangkap sedang menunggu sabitan kesalahan.

Sekurang-kurangnya lapan pengganas sudah dihadapkan ke mahkamah dan menunggu perbicaraan. Jika mereka didapati bersalah, penjara seumur hidup dan gantung sampai mati adalah hukuman yang sangat sesuai sebagai peringatan keras kepada mana-mana pihak yang cuba merampas kedaulatan negara.

Sejarah pencerobohan ini akan terus dijadikan iktibar oleh generasi akan datang supaya mempertahan kemerdekaan dan kemakmuran negara. Dalam dunia moden, tidak ada negara atau kumpulan pengganas yang benar-benar berani mencabar kedaulatan Malaysia kecuali ketua kumpulan ini, Jamalul Kiram III. Dia dan kumpulannya hanya memberi arahan dari Manila tanpa mengetahui moral dan semangat pasukannya semakin rendah apabila setiap hari Malaysia memanipulasi media bagi meretakkan dan menghancurkan ego ketua kumpulan itu.

Peranan sidang media harian sangat penting dalam situasi pertempuran. Walaupun maklumat yang diberikan itu banyak dikutip oleh wartawan tempatan, kandungan berita itu terus dikutip oleh media Filipina seperti Inquirer Global Nation dan Manila Times. Kemuncak kepada moral yang rendah dalam kalangan kumpulan Kiram ialah penjelasan pasukan polis dan tentera Malaysia yang menyatakan pemimpin penceroboh, Raja Azzimudie telah lari meninggalkan Sabah dan bersembunyi di sekitar pulau-pulau kecil di Selatan Filipina.

Pelarian ketua meninggalkan pasukan merupakan maklumat yang sangat sukar untuk diterima dalam peperangan kerana anak-anak buah mengangkat senjata tanpa ada sebarang arahan, koordinasi atau pemantauan. Mereka berperang hanya dengan pilihan iaitu mati ditembak atau menyerah diri.

Peranan media yang mempengaruhi persepsi dan menuntun kecenderungan kerap dilakukan oleh Israel ketika menyerang Semenanjung Gaza dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini. Media Barat yang pro-Israel mengutip bulat-bulat berita yang diberikan oleh negara itu menyebabkan banyak kejadian zalim oleh Israel disembunyikan. Kemunculan blog dan halaman sesawang mikro yang pelbagai jenis sedikit sebanyak telah menembusi kekebalan media Israel dan kini masyarakat Islam khususnya dapat mengetahui gambaran sebenar yang berlaku di Palestin.

Balik kepada kejayaan sidang media yang dibuat setiap hari oleh pasukan keselamatan di Lahad Datu, strategi seperti ini harus diteruskan dan perlu lebih kerap kerana cara ini dapat mengurangkan spekulasi akibat kurang maklumat di medan.

Contoh sekatan maklumat ialah keadaan yang berlaku ke atas enam orang pegawai dan kakitangan polis yang diserang hendap di Kampung Simunul. Akhbar luar negara seperti WA Today (Australia) melaporkan salah seorang kepala mangsa telah dipenggal manakala yang lain dicacatkan anggota. Selang beberapa hari barulah kerajaan Malaysia memaklumkan keadaan mangsa yang terkorban melalui kenyataan yang ringkas untuk tidak menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa. Wartawan-wartawan tempatan yang dibenarkan membuat liputan di Kampung Simunul turut menceritakan senario tersebut dalam artikel mereka dengan meletakkan nama samaran mangsa.

Dilihat dalam strategi memperkasa maklumat untuk merendahkan moral musuh, sidang media yang dibuat secara berkala, menggunakan pegawai atasan (untuk mengesahkan maklumat) dan sentiasa dikemas kini menjadikan kumpulan Kiram di Manila sentiasa menepis maklumat yang disampaikan dengan cara penafian tanpa fakta. Terdapat tiga penafian besar yang dipercayai berpunca daripada maklumat yang disampaikan dalam sidang media harian di Lahad Datu.

Pertama, maklumat yang menyatakan Raja Azzimudie lari meninggalkan Sabah disangkal dengan berulang kali oleh jurucakap Jamalul Kiram III. Mereka tetap mempertahan individu itu masih berada di sana dan sedang minum kopi.

Kedua, Jamalul Kiram III tidak mengakui lapan orang penceroboh adalah rakyat Filipina walaupun pada peringkat awalnya mengakui semua penceroboh (234 orang) adalah "Tentera Kesultanan Sulu". Dia juga meminta bantuan Presiden Filipina untuk menyediakan pasukan peguam bagi membela mereka.

Ketiga, menyedari kumpulannya semakin lemah dan akan musnah, Jamalul Kiram III membuat spekulasi terdapat pasukan komando dari Malaysia yang sedang mengintai peluang untuk membunuhnya. Kerajaan Filipina menafikan kewujudkan unit ini dan memarahi Kiram kerana cuba mencari publisiti melalui berita yang tidak benar.

Tindakan pertama dan kedua adalah kesan yang muncul apabila polis dan tentera saling memperkukuh maklumat masing-masing sehingga menggerunkan Jamalul Kiram III. Apatah lagi strategi mengulang-ngulang berita sehingga penceroboh bakal berdepan hukuman mati membuatkan kumpulan Kiram tidak sedang duduk. Justeru mereka mengambil keputusan memfailkan saman ke ICJ dengan harapan Malaysia berasa gentar. Gambaran tentang kekalahan yang sangat jelas ialah menuduh anggota komando Malaysia sedang merancang untuk memusnahkan Jamalul Kiram III. Inilah petanda bahawa ketua penceroboh telah hilang semangat dan moralnya telah koyak-rabak akibat silap membuat percaturan.

Selain menggunakan tujuh batalion tentera, sidang media harian telah dapat menewaskan psikologi dan ego musuh dengan berkesan. Polis dan tentera dicadangkan agar dapat menambah baik mekanisme penyampaian maklumat dalam operasi yang akan datang supaya metal dan spiritual musuh dilemahkan dengan serangan maklumat yang berfakta dan logik.

 

No comments:

Post a Comment