Thursday, March 21, 2013

PRU13, yakin menang sangat tinggi





Perang bendera parti politik di Kuantan


Ramalan Pas bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan menang di sembilan negeri dalam pilihan raya tahun ini dilihat sama yakin dengan semboyan kemenangan dua per tiga Barisan Nasional (BN). Kedua-dua pihak, BN dan PR saling menggiatkan malah kreatif dalam serangan psikologi awal pilihan raya ini. 

Setiap hari mereka mengeluarkan kenyataan yang positif dan optimis mengenai tahap keupayaan masing-masing dengan tujuan mempengaruhi minda dan jiwa bakal pengundi. Kempen terkini ialah keupayaan BN melakukan transformasi melalui Pelan Transformasi Kerajaan yang sangat mengujakan.
 
Pilihanraya Umum ke-13 (PRK13) melibatkan jutaan pengundi baru dan pengundi muda yang memiliki pelbagai watak. Corak berfikir mereka juga jauh berbeza dengan pengundi-pengundi sedia ada. Pengundi baru ini tidak terlalu terikat dengan imbauan silam susah-payah pejuang kemerdekaan ataupun kejayaan menaikkan bangunan tinggi sebaliknya mereka mempunyai isu sendiri yang sangat dekat dengan masa depan seperti peluang pekerjaan, kos hidup dan peningkatan harga barang. 
 
Isu-isu ini boleh diteliti melalui media sosial yang menjadi kegemaran sekarang seperti facebook atau blog. Luahan hati dan suara mereka lebih menyerlahkan kegusaran terhadap apa yang mereka akan jadi dalam tempoh setahun dua ini. 
 
Selain golongan muda, pengundi kelompok pertengahan yang tidak berpihak kepada mana-mana parti turut memberi impak kepaa trend pengundian pada PRK13 ini. Walaupun bilangan mereka ini tidak ramai, harus dingat bahawa mereka turut memiliki peluang menentukan kemenangan calon semasa undi terikat. Adakah kelompok ini diberi perhatian oleh BN dan PR? 
 
Keyakinan Pas dan PR untuk menawan sembilan negeri wajar dilihat dalam perspektif yang lebih luas. Banyak isu yang ditimbulkan oleh media arus perdana menunjukkan kelemahan parti itu. Isu utama yang menjadi perhatian ialah kalimah Allah. Bagi orang bijak pandai, mereka dapat berfikir secara rasional melalui pembacaan dan penyelidikan namun bagi orang Islam lain, masyarakat awam, maklumat tentang kesan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kepada masyarakat Islam amat membimbangkan. Apakah Pas sebagai sebuah parti Islam tidak mempertahankan kalimah Allah ini? 
 
Pengundi biasa berfikir sangat mudah: Pas tidak boleh diharap untuk menjaga kalimah Allah apatah lagi hendak jaga hal ehwal Islam yang lain. 
 
Untuk menawan sembilan negeri, Pas perlu melihat isu ini dengan serius bukan sahaja dari perspektif mereka malah dari  perspektif orang Melayu khususnya tentang bagaimana mereka menilai dan membuat pertimbangan isu yang berkait dengan agama mereka sendiri. 
 
Pas perlu lebih agresif dan banyak melakukan “kerja rumah” supaya mereka dapat melihat realiti pengundi hari ini. Keyakinan Mat Sabu untuk melangkah masuk ke Putrajaya belum tentu menjadi kenyataan kerana macam-macam perkara boleh berlaku sehingga ke hari pengundian. PRU13 belum menjamin mana-mana pihak untuk mendapat kemenangan awal yang mudah, justeru kajian berterusan sehingga ke hari mengundi adalah lebih baik kerana kita dapat mengenal pasti dengan tepat siapa yang akan menang nanti.

No comments:

Post a Comment