Pertempuran
di Felda Sahabat 17 Lahad Datu, Sabah telah mengorbankan 14 orang setakat ini.
Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditembak manakala 12 anggota
penceroboh, yang mengaku dari Kesultanan Sulu ditembak mati. Pertempuran selama
20 hingga 30 minit itu menamatkan pintu rundingan secara baik yang ditawarkan oleh
kerajaan Malaysia. Kini, pertempuran di Semporna telah meragut nyawa lima
anggota polis.
Situasi
ketika ini boleh dikatakan pasukan kselamatan sedang berperang dengan
penceroboh yang keras kepala, bongkak dan tidak sedar diri.
Kematian
dua orang komando merupakan kehilangan besar kepada negara kerana kemahiran dan
kepakaran mereka dalam medan pertempuran sukar dicari ganti. Penceroboh berada
dalam keadaan terkepung dan menggunakan taktik mengangkat bendera putih sebagai
simbol menyerah diri adalah cara mudah untuk menembak anggota polis berkenaan.
Pencerobohan
di Lahad Datu merupakan cabaran kepada Malaysia yang berjaya menjadi orang
tengah antara pejuang pembebasan Bangsamoro dengan kerajaan Filipina. Ia juga
menjadi cabaran kepada Malaysia yang baru sahaja menjadi perunding bagi
perjanjian perdamaian pejuang di Selatan Thailand dengan kerajaan Thailand.
Cabaran
Malaysia bertambah besar apabila terdapat maklumat yang mengaitkan pencerobohan
itu dengan kemasukan secara beransur-ansur kumpulan askar yang disyaki dari
Kesultanan Sulu ke Sabah sejak empat bulan lalu. Kerajaan Filipina mendedahkan
terdapat ahli politik negara ini yang terlibat dalam pencerobohan kedaulatan
negara ketika ini.
Pasukan
polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mengambil langkah segera untuk
mengepung dan memusnahkan penceroboh, suatu tindakan yang dapat meredakan
kebimbangan berkaitan tahap keselamatan penduduk dan kawasan sekitar pencerobohan.
Dalam skala yang lebih besar, memberi ruang yang banyak kepada penceroboh hanya
menguatkan kedudukan mereka kerana membuat kepungan dan berterusan memujuk
mereka menyerah diri dilihat sebagai strategi yang agak lemah. Seluruh dunia
memberi perhatian kepada tindakan dan strategi pasukan keselamatan untuk
meleraikan kejadian ini. Sekiranya pasukan polis gagal memusnahkan kekuatan
musuh, penglibatan langsung ATM sudah pasti menghancurkan musuh.
Penceroboh
memiliki sifat agresif, keras kepala dan enggan tunduk kepada desakan untuk
menyerah diri, suatu gambaran betapa mereka ini sangat berbahaya dan tidak
teragak-agak untuk membedil mana-mana anggota polis yang menyerang mereka.
Laporan yang tidak dapat disahkan menyatakan terdapat dua anggota polis,
seorang askar dan orang awam telah dijadikan tebusan oleh penceroboh.
Keempat-empat mereka dikatakan akan menjadi perisai kepada tuntutan yang akan
diminta oleh penceroboh.
Masa
yang diambil untuk polis melakukan tindakan dan serangan semakin suntuk dan
membiarkan rundingan berlaku hanya meresahkan masyarakat yang mahu melihat
kejadian ini diselesaikan. Adalah lebih baik jika ATM dapat bertindak dengan
strategi mereka kerana jumlah 200 orang kumpulan penceroboh memerlukan kekuatan
senjata dan anggota yang khusus dalam peperangan.
No comments:
Post a Comment