Monday, January 31, 2011

Banjir di Alor Gajah

Hujan lebat dua hari berturut-turut di Alor Gajah, Melaka mengundang cemas penduduk sekitar bandar itu. Seawal jam 4 pagi, saya menerima pesanan ringkas daripada seorang rakan yang memaklumkan banjir sudah mula melanda Alor Gajah dan penduduk di sebuah taman perumahan berhampiran Masjid Daerah Alor Gajah terpaksa dipindahkan.

Selepas subuh, paras air naik mendadak melepasi dada dan ramai penghuni rumah tidak sempat membawa keluar barang-barang sedia ada kecuali dokumen dan beberapa barang penting termasuk kereta dan motosikal. Pada pukul 12 tengah hari, mangsa banjir ditempatkan di Dewan Ar-Rashidin Masjid Daerah Alor Gajah dengan bilangan mencecah 147 orang.

Perkarangan masjid penuh dengan deretan kereta yang dipindahkan, manakala agensi kerajaan yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Alor Gajah, Rela dan Polis Diraja Malaysia. Terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang membantu mangsa memindahkan barang-barang mereka ke tempat yang lebih selamat.

Seorang sukarelawan dari Haluan Malaysia, Mohd Farid turut membantu rakannya, Surail, pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam berhampiran memunggah barang dan dokumen ke tempat lain.

Paras air di kawasan taman perumahan tersebut masih belum surut sepenuhnya. Sepanjang perjalanan saya meredah air, semua rumah ditenggelami air paras pinggang khususnya rumah yang berada berhampiran alur sungai di belakang taman.

Terdapat beberapa buah kereta dan motosikal yang tidak sempat dibawa keluar dan terendam tanpa dapat dibuat apa-apa. Pakaian yang masih dijemuran tidak diusik menunjukkan penghuninya tidak sempat membawa keluar pakaian mereka melainkan barangan peribadi sahaja.

Banjir kali ini mengundang rasa cemas dalam kalangan penduduk taman perumahan berkenaan kerana kekhuatiran mereka terhadap hujan yang turun berterusan. Kemungkinan besar banjir kali kedua akan datang tidak dapat ditentukan kerana mangsa banjir yang terlibat di kawasan Tampin, Negeri Sembilan telah ramai dipindahkan. Kerugian dianggarkan beribu-ribu ringgit dan mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing dua atau tiga hari lagi bergantung pada paras air.

Dalam pada itu, orang perseorangan dan persatuan digalakkan membantu mangsa banjir dengan menyediakan pakaian dan barangan keperluan untuk kanak-kanak kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak sempat membawa pakaian yang cukup untuk tinggal di tempat pemindahan banjir berkenaan.

Saturday, January 29, 2011

Azam untuk berubah

Azam dan tekad untuk menjadi berani, kuat dan berkuasa mesti lahir daripada kesedaran yang jitu terhadap perubahan. Sebarang kelemahan diatasi dengan membina dan mengukuhkan azam sedikit demi sedikit supaya lahir keyakinan untuk bertindak. Apakah contoh-contoh keazaman yang boleh dibuat atau dibentuk sedikit demi sedikit ini?

1. Mahu baiki keadaan diri seperti menambah pengetahuan melalui pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan kemahiran khusus atau mengubah penampilan diri supaya lebih menarik. Kita ambil contoh rakan-rakan kita yang memiliki berat badan yang berlebihan atau lebih mudah disebut sebagai obes. Ketika obes, memanglah ramai yang enggan berdamping sebaliknya jika kurus sedikit, tentulah ramai pula yang ingin menjadikan kawan. Maknanya, azam untuk mengurangkan berat adalah satu tanda ke arah membaiki diri.

2. Mahu jadi lebih baik daripada pesaing. Keadaan ini sering menjadi trend hari ini khususnya dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan sumbangan kepada masyarakat. Kadang-kadang dua orang rakan karib berlumba-lumba belajar ke tahap yang lebih tinggi, malah dalam kalangan adik-beradik ada yang bersaing untuk masuk ke universiti ternama. Elemen mahu menjadi lebih baik adalah sifat semula jadi yang sentiasa ada dalam jiwa setiap orang dan boleh disuburkan.

3. Berubah daripada keadaan sekarang kepada suatu yang lebih baik seperti jawatan, keputusan peperiksaan dan rekod pencapaian peribadi. Banyak kisah orang yang berubah hidup mereka selepas beberapa tahun berada dalam 'zon sengsara'. Seorang pengutip sampah boleh menjadi kaya-raya selepas bekerja siang malam mencari sampah dan menabung pendapatan yang diperoleh. Ada juga kisah pengutip sampah yang mampu membeli lori sendiri untuk membawa sampah.

4. Azam membara mahu mencapai kejayaan. Hidup kita sentiasa ada tanggungjawab iaitu sebagai anak, suami, isteri, ibu, ayah atau anggota masyarakat. Setiap tanggungjawab ini perlukan dorongan untuk dilaksanakan dengan sempurna. Dorongan yang paling hebat ialah azam yang sentiasa disuburkan setiap masa, setiap keadaan dan setiap ketika.

Bergantung kepada diri sendiri, azam hanya akan digerakkan apabila kita mengangkat kaki dan menghayunkan tangan untuk melaksanakannya. Azam akan layu jika punggung kita berada kukuh di atas pangkin kerana tidak mungkin kejayaan dizahirkan tanpa berbuat apa-apa.

Friday, January 28, 2011

Maju dengan disiplin diri

Disiplin diri merupakan keupayaan diri untuk mengambil tindakan tanpa menghiraukan keadaan emosi- marah, kasihan atau cemburu.

Bayangkan apa yang kita akan capai jika bertindak mengikut rasa hati tanpa menghiraukan apa yang bakal berlaku? Gambarkan diri kita adalah seorang yang sangat malas dan tiba-tiba berbisik kepada diri sendiri, ‘tiga bulan dari sekarang aku mesti dapat RM10,000’. Tanpa disiplin diri, niat yang terdetik di hati tidak akan menjadi kenyataan. Ia hanya angan-angan kosong, umpama mimpi di siang hari.

Disiplin diri adalah satu mekanisme memajukan diri yang wajar diberi perhatian. Tentunya ia bukan ubat bagi segala masalah yang ada pada setiap orang. Namun, cabaran-cabaran dalam mendisiplinkan diri, jika dapat diatasi, bakal menjadi pendorong kepada usaha meningkatkan kualiti diri.

Disiplin diri dapat memperkasa sebarang kelemahan diri. Ia dapat menekan sifat malas, membazir masa dan tidak peduli. Tambahan pula, jika digabungkan dengan sifat sabar, berorientasi matlamat dan perancangan, kombinasi sifat-sifat ini dengan disiplin diri akan memzahirkan individu yang serba-serbinya hebat.

Thursday, January 27, 2011

Kemahuan adalah asas untuk bertindak

Kemahuan adalah asas untuk melakukan sesuatu tindakan. Contohnya seseorang mahu bekerja sendiri kerana tidak mahu terikat dengan orang lain, tidak mahu terikat dengan peraturan ataupun tidak mahu diarah, dia dikatakan memiliki kemahuan yang tinggi untuk berdikari.

The first principle of success is desire – knowing what you want. Desire is the planting of your seed.

Pepatah Melayu menyebut ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Kita mesti ada usaha dan inisiatif untuk berubah. Inisiatif berubah dalam corak perbelanjaan kewangan ialah dengan cara mengetahui teknik menguruskan wang. Inisiatif berubah dalam meningkatkan kualiti kerja ialah dengan cara hadir kursus atau menjalani latihan yang berterusan.

Cara-cara berubah terpulang kepada pilihan kita kerana kita sendiri yang tahu mana satu yang terbaik. Mungkin cara berubah ini ada kalanya melibatkan kos yang mahal seperti menghadiri kursus tetapi ada juga cara lain yang melibakan kos yang sangat minimum. Jadi, bergantung kepada kita untuk membuat pilihan asalkan matlamat membuat perubahan akan tercapai.

Wednesday, January 26, 2011

Adab Rasulullah saw dalam pelbagai situasi

Dalam buku ‘Pendidikan Anak-anak Dalam Islam’ yang ditulis oleh Abdullah Nasih Ulwan, terdapat beberapa adab yang wajar disemai ke dalam jiwa anak-anak. Adab-adab ini membantu mereka mengembangkan watak dan membentuk personaliti yang menarik sesuai dengan masyarakat kita.

1. Berdiri untuk orang yang datang

Adab ini sesuai untuk tetamu, musafir, orang alim atau orang yang lebih dewasa kerana amalan ini dianggap sebagai satu amalan sosial yang diterima oleh semua jenis manusia.

Bukhari, Abu Daud dan Al-Tarmizi telah meriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a katanya: Saya tidak pernah melihat seorang pun yang menyerupai Nabi saw dalam perawakannya, lemah-lembutnya, perjalanannya ketika bangun dan duduk seumpama Fatimah, puteri Rasulullah saw sendiri. Apabila Siti Fatimah datang menemui Nabi saw,baginda sentiasa bangun menyambutnya dan menciumnya, kemudian baginda mendudukkannya di sisi. Begitu juga apabila baginda saw datang kepadanya, Siti Fatimah terus bangun menyambutnya, menciumnya lalu mendudukkan di sisinya.

2. Menyebarkan salam

Orang berkenderaan memberi salam kepada orang berjalan kaki. Orang berjalan kaki memberi salam kepada orang duduk seterusnya kumpulan kecil memberi salam kepada kumpulan yang lebih besar dan ramai. Riwayat Muslim menyatakan: Bahawa Rasulullah saw sering menemui kanak-kanak di perjalanan sambil memberi salam kepada mereka.

3. Meminta izin

Terdapat tatacara yang baik untuk kita ikuti sebelum masuk ke rumah atau mengambil barang kepunyaan orang lain. Pertama, memberi salam supaya ada makluman tentang kehadiran kita. Kedua, sekiranya ada nama, gelaran atau sifat orang berkenaan, adalah lebih baik menyebutnya sebagai tanda hormat. Contohnya, andai kata orang berkenaan bergelar Datok, mulakan dengan menyebut panggilan gelaran diikuti namanya. Malah kalau ada sifat-sifatnya yang isitimewa, lebih baik juga disebut seperti ‘Datok Mat yang baik hati.’

Ketiga, sebaik-baiknya meminta izin sebanyak tiga kali kerana ia dianggap mendesak kalau meminta izin berkali-kali. Keempat, elakkan dari mengetuk pintu dengan keras dan berterusan. Kelima, selesai meminta izin, jarakkan sedikit daripada pintu. Akhir sekali, jika tuan rumah meminta datang esok, usah bermasam muka kerana mungkin pada saat itu dia belum bersedia untuk bertemu atau ada keperluan lain yang lebih penting.

4. Duduk dalam majlis

Rasulullah saw menunjukkan beberapa adab yang mudah tetapi sangat praktikal untuk membina persahabatan yang berpanjangan.

Pertama, bersalaman dengan orang yang ditemui dalam majlis. Sabda Rasulullah saw: Berjabat tanganlah kamu, nescaya dengki akan terhapus dan bertukar-tukar hadiah, nescaya kamu akan lebih sayang menyayangi dan terhapuslah permusuhan.

Kedua, duduk di samping orang ramai bukannya di tengah-tengah orang ramai. Abu Daud meriwayatkan dengan isnad yang baik daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a: Bahawasanya Rasulullah saw pernah melaknati orang yang duduk di tengah-tengah dalam satu bulatan.

Ketiga, tidak duduk di antara dua orang melainkan dengan izin. Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan Abu Daud daripada Amru bin Syuaib, daripada ayah dan datuknya, bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: Tidak dibenarkan bagi seseorang itu untuk memisahkan duduk di antara dua orang melainkan dengan izin keduanya.

Keempat, jangan berbisik-bisik apabila majlis itu hanya tiga orang. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: Jika kamu tiga orang, makan janganlah dua orang di antara kamu berbisik serta membiarkan yang ketiga kerana yang demikian itu akan mendukacitakannya.

5. Adab berbicara

Pertama, memberi perhatian penuh kepada si pembicara. Nabi saw sentiasa memberi perhatian penuh kepada sesiapa sahaja yang berbicara dengannya. Baginda saw sering menaruh minat dengan segala pendengarannya serta selalu berlemah-lembut kepada mad’unya.

Abu Daud telah meriwayatkan daripada Anas r.a: Aku tidak pernah melihat seorang muslimin yang berbisik-bisik ke telinga Nabi saw lalu baginda menarik kepalanya daripada orang itu melainkan setelah orang itu menarik kepalanya terlebih dahulu daripada Nabi saw.

Kedua, pembicara wajar menumpukan perhatiannya kepada semua orang yang duduk berbicara dengannya. Ini perlu dilakukan sehingga setiap orang yang ada di hadapannya merasakan bahawa perbicaraan itu ditujukan kepadanya.

Tuesday, January 25, 2011

Bersediakah untuk bersara?

Oleh Noor Fazrina Kamal
fazrina.kamal@utusan.com.my

Bila mendengar perkataan 'bersara', ada yang tersenyum dan tak kurang juga yang mula risau. Tersenyum kerana pasti sudah bersedia dan mempunyai perancangan lengkap untuk detik tersebut, tapi bagi yang belum tentu mula gelabah.

Memang ramai juga golongan yang menganggap tidak perlu gusar apabila memikirkan hal itu memandangkan perbelanjaan mereka di hari tua ditabung menerusi duit simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pencen, gratuiti, tabungan atau wang pelaburan menjamin kelangsungan hidup selepas bersara.

Persoalannya sejauh mana rakyat Malaysia sebenarnya bersedia untuk menghadapi kehidupan selepas bersara?

Apakah yang mula difikirkan menjelang usia 40-an dan apakah antara strategi yang menjadi punca pendapatan selepas bersara? Cukupkah pendapatan yang ditabung untuk menampung kehidupan selepas tidak lagi bekerja?

Laporan Skop Persaraan Axa 2010 oleh Syarikat Axa Affin Life Insurance Berhad, sekali lagi menerbitkan hasil kajian mereka. Antara intipati laporan tersebut memberitahu, undang-undang Malaysia menetapkan umur persaraan rasmi ialah 55 tahun.

Namun undang-undang negara ini juga membenarkan untuk seorang pekerja itu bersara pada usia 60 atau 50 tahun bergantung kepada keadaan.

Tinjauan Skop Persaraan Axa 2010 yang bertujuan mengukur dan menentukan sejauh mana rakyat negara ini bersedia menghadapi persaraan mereka, mendapati dua pertiga daripada rakyat Malaysia bersara pada usia 55 tahun.

Jumlah itu menjadikan Malaysia negara yang ketiga tertinggi bersara pada usia 55 tahun selepas India dan China.

Salah satu hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh Axa Affin Life Insurance Berhad, baru-baru ini mendapati bahawa paksaan persaraan awal telah menurun secara dramatik sejak tahun 2007. Tetapi persaraan awal secara sukarela pula telah meningkat dan ia dapat dilihat di kalangan pekerja wanita berbanding lelaki.

Fakta dalam kajian tersebut juga menunjukkan umur persaraan paling tinggi di dunia ialah di kalangan warga Amerika Syarikat iaitu kira-kira 58 hingga 64 tahun, diikuti Australia, Eropah, United Kingdom dan Perancis yang rata-rata masih bekerja pada usia 63 tahun.

Manakala umur persaraan majoriti di kelima-lima buah negara maju ini ialah antara 57 hingga 61 tahun.

Hasil tinjauan Skop Persaraan Axa 2010 mendapati sebanyak 38 peratus pekerja mula bersedia untuk bersara apabila umur mereka menjangkau 40 tahun dan selebihnya hanya mula melakukan persediaan bila usia menjelang 50 tahun.

"Malaysia adalah salah satu negara di mana populasi bekerja sedar tentang pendapatan mereka lepas bersara seperti wang KWSP, tabungan dan sebagainya. Namun keyakinan bahawa mereka mempunyai pendapatan yang cukup lepas bersara kelak menurun sejak 2007.

"Hanya 14 peratus pekerja yang pasti tentang pendapatan mereka lepas bersara , manakala 37 peratus lagi berupaya memikirkan pencen mereka mencukupi untuk kehidupan selepas bersara nanti," memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Axa Affin Life Insurance Berhad tersebut.

Kajian juga menunjukkan bahawa tiada desakan bagi rakyat Malaysia untuk melakukan perancangan bersara mereka terlalu awal. Biasanya mereka yang mula merancang pula kerana adanya anak ataupun kerana sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin.

"Adanya anak adalah punca utama mengapa rakyat Malaysia mula memikirkan tentang strategi selepas bersara. Ramai yang menganggap duit pencen adalah punca pendapatan terbaik selepas bersara, namun untuk memaksimumkan pendapatan ada juga yang mengambil langkah proaktif seperti melakukan tabungan sejak usia muda. Malah cara simpanan yang disukai rakyat negara ini ialah pelaburan dan tabungan. Buktinya lebih 50 peratus memilih tabungan peribadi. Jika dibandingkan dengan India mahupun Amerika Syarikat, rakyat Malaysia lebih yakin dengan tabungan yang mereka buat sendiri dan demi meneruskan pendapatan selepas bersara pula mereka memilih untuk melabur atau simpanan lain."

Kesimpulannya, walau apa jua cara anda selepas bersara, pastikan anda melakukan persediaan mental dan fizikal demi memastikan kehidupan masa depan yang berkualiti dan baik.

(Utusan Malaysia, 25 Januari 2011)

Hidup mesti ada cita-cita

Dalam kelas hari ini, saya memberitahu pelajar bahawa seorang pengutip sampah yang telah melalui berbagai-bagai jenis pekerjaan sehinggalah memilih untuk mengutip sampah enam tahun yang lalu, kini memperoleh pendapatan RM14 ribu sebulan. Tempoh masa yang diambil untuk mendapat wang sebanyak itu bukanlah mudah kerana Zabidi yang memiliki enam orang anak, harus lalui 30 tahun untuk berada dalam keadaan sekarang.

Zabidi, si pengutip sampah telah berjaya di Kuala Lumpur kerana dia memiliki keberanian dan mahu mengharungi semua cabaran hidup. Pernah bekerja sebagai pemandu lori dan menjual di pasar malam, kini dia berbangga apabila memiliki tiga buah lori dan lima orang pekerja. Paling penting di sini ialah Zabidi memiliki cita-cita untuk berjaya dalam hidup biarpun sebagai pengutip sampah.

Saya membawa contoh ini kepada pelajar supaya mereka melihat bahawa masa depan adalah di tangan orang-orang yang memiliki cita-cita yang membara, mekar dan sentiasa diberi suntikan semangat untuk dicapai. Orang-orang yang malas dan tidak sanggup menghadapi cabaran akan ditinggalkan di belakang dan terus hilang. Begitu juga pelajar yang bising dalam kelas, tidak mahu memberi tumpuan kepada syarahan dan makan tidak tentu masa tetap akan berada di belakang kerana keseluruhan hidupnya penuh dengan masalah adab dan disiplin.

Kejayaan hidup ramai orang yang terkenal adalah disebabkan kerana mereka memiliki tahap adab yang sangat tinggi, mendisiplinkan diri dan sentiasa mendekati idea-idea baru yang boleh diterapkan dalam hidup. Biar apa pun kita, kejayaan adalah bersama orang-orang yang memiliki cita-cita hidup yang selalu segar dan menarik orang lain untuk bersama dengannya.

Monday, January 24, 2011

Bersara dengan tangan kosong

Dr George Burch adalah seorang pakar dalam bidang usia manusia dari University Tuline. Dia memberitahu terdapat banyak perkara yang menentukan jangka hayat seseorang. Antaranya ialah berat badan, keturunan, cara pemakanan, tekanan hidup dan tabiat peribadi. Semua ini menjadikan kesihatan kita terganggu dan mati dengan cepat.

Semua sebab ini memang kita dapat lihat dan rasainya dengan jelas.

Ada satu lagi yang dikatakan oleh Dr Burch iaitu ‘cara yang paling cepat menghabiskan umur ialah dengan bersara dan tidak melakukan apa-apa.’

Maksudnya sangat mudah. Dengan bangun pagi dan duduk bersantai di rumah, makan dan minum sambil melihat matahari turun, kita melihat dengan jelas usia yang berlalu. Persaraan dengan tidak melakukan apa-apa adalah racun kehidupan yang sangat cepat untuk melemahkan perjalanan hidup.

Tanpa sesuatu untuk dicari, cita-cita untuk dicapai, kita akan membiarkan usia dengan sangat pantas. Orang lain bersungguh-sungguh mencipta kejayaan, kita membiarkannya dengan senang hati. Lalu bolehlah dikatakan ‘bersara dengan tangan kosong.’

Sunday, January 23, 2011

Pendidikan tinggi, gaji pun tinggi

Setiap orang mempunyai tempat kegemaran masing-masing untuk mencuci kereta. Ada yang memilih premis yang selesa, kualiti cucian yang memuaskan dan bayaran yang berpatutan. Ada yang memilih cucian menggunakan mesin kerana lebih pantas dan harganya pun lebih murah. Jika cucian tangan dikenakan RM8 hingga RM10, cucian mesin automatik hanya RM4.

Semua pengguna kereta bersetuju menyatakan cuci tangan lebih baik, bersih dan sempurna. Namun, jarang benar dalam kalangan kita yang mengambil inisiatif berbual-bual dengan pekerja pencuci kereta kerana banyak sebab. Sepatutnya kita mengambil usaha untuk berbual-bual tentang latar belakang pencuci kereta supaya kita maklum keadaan hidup dan impian sebenar mereka.

Saya juga mencari jalan untuk berbual-bual dengan seorang pencuci kereta yang masih muda sementara menunggu kereta dibersihkan luar dan dalam. Saya lihat pencuci ini sangat tangkas bekerja. Sekejap ke hadapan dan sekejap ke belakang kereta. Tumpuannya sangat jelas kerana dia sedang menikmati kerjanya tanpa gangguan.

Selesai mencuci kereta, dia datang kepada saya sambil tersenyum. ‘Abang, tolong alihkan kereta ke sana, saya tak tau bawa kereta,’ sambil memegang kunci untuk diberi kepada saya.

Ketika mengelap kereta, saya bertanya kepadanya tentang kerja dan keluarganya. Sebelum beredar, saya berkata, ‘Orang kaya boleh membayar yuran untuk belajar dan menjadi cemerlang, tetapi kamu tidak dapat peluang seperti mereka. Kamu mesti kuat bekerja dan Insya Allah akan jadi taukeh kedai cuci kereta suatu hari nanti.’

Saturday, January 22, 2011

Mulakan simpanan hari ini

Prinsip ‘kemajuan hanya boleh dicapai satu langkah pada satu masa’ umpama ‘setiap pencapaian yang besar biasanya bermula dengan satu siri pencapaian yang kecil-kecilan.’

Contohnya begini. Seorang pekerja yang baru mendapat gaji pertama bercita-cita ingin memiliki simpanan masa depan, katakan tempoh yang ditetapkannya ialah 25 tahun. Lalu dia membuka akaun simpanan di bank dan akan membuat potongan secara tetap RM100 setiap bulan.

Setiap tahun dia akan menyimpan RM1200 dan bagi tempoh 25 tahun, jumlah simpanannya ialah RM30,000. Bergantung pada jenis simpanan yang dipilihnya, jumlah berkenaan boleh meningkat jika pelaburannya mencatatkan keuntungan.

Merancang pelaburan biar pun dalam jumlah yang kecil dapat membantu kehidupan masa hadapan. Anak-anak yang baru lahir wajar disediakan tabungan bulanan yang diselia oleh ibu bapa supaya beban kewangan untuk pendidikan menjadi kurang. Alangkah baiknya jika kita mengambil inisiatif memulakan simpanan sejak kecil kerana pada masa depan, kebanyakan harga barang-barang keperluan akan meningkat naik.

Friday, January 21, 2011

Tiga halangan untuk berjaya

Semua orang memiliki keinginan sama ada kecil ataupun besar. Semua orang impikan yang besar-besar, berasa hebat apabila memilikinya dan merasai seolah-olah kehidupan sudah sempurna. Ada orang mencapai impian mereka dengan menjadikan seseorang yang berjaya sebagai model, ada juga yang mencapai impian dengan berhempas-pulas mencari kaedah dan strategi, ada yang mencapai impian dengan berusaha mengikut gerak hati.

Makna kata, semua impian yang dicapai ada sebab dan kaedahnya, bukan berangan-angan sahaja. Asyik memikirkan impian yang dicapai, masih ramai lagi yang terkapai-kapai dalam usaha mereka untuk mengejar impian. Jadi, apakah yang telah menghalang keinginan untuk kita berjaya dalam hidup?

1. Sering kali menjatuhkan harga diri

Sejak kecil hinggalah dewasa, kita mendengar beribu-ribu perkataan yang memperlekehkan keupayaan kita untuk berjaya dengan cemerlang. Pernahkah kita mendengar ayat ini, ‘Saya gagal kalau buat kerja ini,’ iaitu ayat yang sering muncul ketika kita berhadapan dengan cabaran besar. Bagaimana pula dengan ayat ini, ‘Saya tak mampu melakukannya’ yang acap kali melemahkan semangat dan daya juang kita?

Ramai orang yang bertindak menjatuhkan harga diri sendiri tanpa mencuba, akhirnya impian mereka hancur berkecai dan tidak dapat dibentuk kembali.

2. Zon selesa

Gaji yang tetap, jaminan kerjaya dan kehidupan yang stabil adalah sebahagian daripada zon selesa. Mereka yang berada dalam zon ini sentiasa berasa bimbang jika ekonomi negara tidak stabil atau keadaan politik diganggu gugat kerana sempadan zon selesa telah diceroboh. Memang kita hendak hidup dalam zon selesa kerana ia menjamin keselamatan hidup tetapi dalam masyarakat yang inovatif, zon selesa menjadi penghalang kepada penyerlahan potensi sebenar kita.

3. Persaingan

Takut bersaing menjadikan semua keinginan cepat pudar dan semangat membara akan layu terkulai. Ada orang yang belum lagi masuk ke gelanggang permainan sudah berfikir hendak cabut lari kerana tekanan bersaing yang sangat menakutkan. ‘Ramainya orang kat sini, saya hendak balik’ adalah kata-kata pelemah minda kerana untuk berjaya dalam hidup, persaingan mesti diatasi.

Ada dua persaingan iaitu persaingan dengan diri sendiri dan persaingan dengan orang lain. Mereka yang berjaya mengatasi persaingan dengan diri sendiri biasanya akan lebih berjaya semasa berhadapan dengan lawannya kerana dorongan dalaman dapat membantunya menguatkan azam dan tekad untuk berjaya.

Ketiga-tiga faktor ini, jika ada di dalam diri kita, lambat-laun akan menghilangkan tindak balas mental dan daya tahan. Tidak kira siapa diri kita, tanamkan cita-cita yang membara supaya impian akan menjadi kenyataan.

Thursday, January 20, 2011

Mendengar untuk berubah

Kita tidak boleh menolong orang yang tidak mendengar cakap. Seseorang perlu mendengar untuk membuat tindakan.

Bagi mempastikan orang lain mendengar, kita sendiri mesti mendengar. Ia tidak akan berlaku sebaliknya. Sebaik-baiknya kita belajar untuk mendengar, membentuk kerangka pemikiran yang lebih baik dan bersedia membuat perubahan.

Ramai orang yang telah berubah apabila memberi perhatian semasa mendengar. Perubahan yang paling ketara ialah mesej yang diberikan terus menyelinap masuk ke hati dan membuka pintu hati untuk berubah. Orang yang malas belajar atau bekerja akan berubah sikap apabila mndengar kata-kata nasihat, kata-kata ulama atau teguran mesra daripada guru sekolah.

Anak-anak akan berubah menjadi sangat baik dan hormat ibu bapa apabila kata-kata lembut daripada ibu atau bapa menerpa masuk ke hati. Dengan mendengar, kehidupan yang lesu menjadi aktif dan dinamik.

Wednesday, January 19, 2011

Macam mana Jepun boleh berjaya?

Toyota adalah pengeluar kereta terbesar di dunia. Panasonic, Sony, Hitachi dan Mitsubishi juga merupakan jenama global yang bermula di Jepun. Apakah formula kejayaan orang-orang Jepun dalam mengangkat produk mereka ke peringkat global?

Sejak perang dunia kedua, Jepun mula memberi perhatian kepada pembangunan modal insan generasi muda. Maknanya, pendidikan adalah kunci kepada kejayaan masyarakat Jepun hari ini. Perbezaan orang Jepun dengan masyarakat kita sangat ketara. Jepun dikenali dengan masyarakat yang kuat membaca. Dalam bas, menunggu keretapi, di pasar raya dan di mana-mana mereka membaca. Kita pula?

Orang Jepun lebih suka bekerja berkumpulan. Contohnya banyak. Andai kita mengumpulkan sepuluh orang Jepun dan sepuluh orang Malaysia untuk melaksanakan satu tugas, sudah pasti orang Jepun dapat menyiapkannya lebih awal kerana mereka sudah biasa dengan kerja berkumpulan dan mewujudkan sinergi berganda apabila menjayakan sesuatu tugas.

Kita belum dapat sampai ke tahap berkenaan kerana tidak disemai dengan elemen kerja berkumpulan. Walaupun ada konsep gotong-royong, namun ia tidak dipraktikkan kerana kurang kesedaran untuk menjayakannya.

Tuesday, January 18, 2011

Lima petua kejayaan Pilot

Kita sering menggunakan pen berjenama Pilot. Sebenarnya pen ini telah diasaskan pada tahun 1918 oleh Ryosuke Namibi di Jepun. Ibu pejabatnya masih kekal di Tokyo, Jepun.

Bagaimana Pilot boleh kekal hingga ke hari ini? Apakah budaya korporatnya dan bagaimana pekerja-pekerja Pilot menikmati kejayaan cemerlang syarikat itu?

Pilot, sesuai dengan jenama globalnya memilih lima prinsip yang diterapkan kepada semua pekerja sama ada di Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat, China ataupun di Jepun sendiri.

1. Tiga kaki yang seimbang

Pengilang, penjual dan pengguna ada hubungan yang saling mempengaruhi. Kejayaan ditentukan oleh keseimbangan ketiga-tiganya. Jadi, mereka mesti sentiasa bekerjasama supaya syarikat berada dalam keadaan stabil.

2. Kongsi suka dan duka

Dalam apa juga keadaan yang dihadapi oleh syarikat, pekerja dan majikan berkongsi pengalaman supaya misi syarikat terlaksana. Bukan mudah untuk menerapkan elemen ini kerana ada pekerja yang boleh menahan kesusahan sebaliknya ada yang begitu takut dan mengambil keputusan untuk berhenti. Melalui perkongsian, mereka bersama-sama menyemai harapan dan kekuatan diri.

3. Atasi halangan

Halangan adalan cabaran untuk meningkat maju. Namun cara mengatasi halangan banyak ditentukan oleh bentuk latihan yang dihadapi. Pilot mempraktikkan skim latihan berterusan supaya mudah berhadapan dengan krisis dalam organisasi.

4. Satu langkah satu hari

Kejayaan bermula dengan langkah pertama dan mesti dibuat dengan betul. Konsep ini sesuai dengan amalan kejayaan orang Jepun yang dipanggil ‘kaizen’ iaitu berterusan membuat pembaikan.

5. Pendekatan yang ikhlas

Di Pilot, mereka percaya usaha dan perniagaan yang dilakukan mestilah ikhlas. Jadi, dengan pendekatan ini, Pilot mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Monday, January 17, 2011

Kita dapat apa yang dicita-citakan

Merancang masa depan banyak kebaikannya. Soalnya, apakah yang hendak dirancang?

Secara asasnya ada tiga perkara: pekerjaan, rumah tangga dan kehidupan sosial. Apabila kita memecahkan perancangan hidup kepada tiga komponen ini, kita tidak akan keliru dan dapat mengelak konflik seterusnya menjadikan gambaran hidup lebih jelas.

Mari kita lihat satu per satu ketiga-tiga komponen ini.

1. Pekerjaan

Di manakah kita berada dalam tempoh sepuluh tahun dari sekarang? Apakah tahap pendapatan semakin meningkat? Bagaimana dengan tanggungjawab, adakah ia semakin bertambah? Jika masih bekerja, sejauh mana pengaruh dalam kerjaya memberi impak ke atas kehidupan kita?

2. Rumah tangga

Orang-orang muda harus memikirkan dengan serius rumah tangga mereka kerana banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah jenis taraf hidup untuk keluarga, adakah dalam kategori sederhana atau mewah? Bagaimana pula dengan jenis rumah yang ingin dimiliki, adakah rumah kos rendah, pangsa atau rumah kampung sahaja? Soal kewangan, bagaimana anak-anak akan mendapat sokongan kewangan untuk persekolahan mereka?

3. Kehidupan sosial

Hidup mesti bersosial iaitu mengenali dan mencampuri masyarakat sekitar. Jadi, bagaimanakah kawan yang ingin dikenali, tentang wataknya, sifatnya dan persepsinya terhadap kita sebagai jiran? Andai kata kita seorang yang aktif dalam kegiatan masyarakat, apakah kumpulan masyarakat yang ingin disertai, adakah semi profesional, profesional ataupun amatur sahaja? Terakhir, apakah isu-isu yang ingin diperjuangkan dalam masyarakat yang memberi kebaikan dan faedah berpanjangan?

Semasa kita membayangkan tempoh sepuluh tahun ini, jadikan langit sebagai sempadan cita-cita kita kerana kejayaan tidak diukur berdasarkan saiz badan. Tidak ada seorag pun yang berjaya mencapai sesuatu cita-cita melebihi apa yang difikirkannya. Tetapkan cita-cita yang tinggi untuk masa hadapan yang lebih baik.

Sunday, January 16, 2011

Kejayaan melalui perpaduan bahasa

Oleh ZIN MAHMUD

Perbezaan antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah antara lainnya kecenderungan penggunaan perkataan yang asal-usulnya berbeza. Bahasa Indonesia cenderung menggunakan perkataan yang asalnya daripada bahasa Sanskrit. Sementara Bahasa Malaysia dari bahasa Arab.

Umpamanya, ideologi negara Indonesia dinamakan Pancasila, perkataan asal daripada bahasa Sanskrit. Di Malaysia dinamakan Rukun Negara. Rukun asalnya daripada perkataan bahasa Arab.


Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu. Cumanya bahasa Melayu di Indonesia dipengaruhi kuat oleh bahasa Sanskrit kerana kedudukan tamadun Jawa yang dipengaruhi Hindu-Buddha berasaskan bahasa Sanskrit amat kuat.

Sementara bahasa Melayu di Malaysia berpaksikan Kesultanan Melayu di Melaka telah dipengaruhi dengan Islam hingga bahasa Arab menggantikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa ilmu.

Itu asasnya. Apabila penjajah Inggeris dan Belanda membahagikan wilayah Melayu menjadi dua iaitu Indonesia dan Malaysia, maka bahasa di kedua-dua negara juga berkembang secara berpisah. Maka banyaklah perkataan Inggeris masuk ke dalam Bahasa Malaysia, dan istilah Belanda masuk ke Bahasa Indonesia.

Maka istilah kantor, kamar dan koran yang asalnya Belanda menjadi perkataan dalam Bahasa Indonesia. Sedangkan di Malaysia, ia menggunakan istilah pejabat, bilik dan akhbar.

Katakanlah dulu proses Islamisasi tidak berlaku di Indonesia, maka bahasa Melayu antara kedua-dua negara akan menjauh. Bahasa Indonesia akan penuh dengan perkataan Sanskrit dan Bahasa Malaysia penuh dengan bahasa Arab.

Maka Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia jadi seperti Hindi dan Urdu. Ia asalnya merupakan satu bahasa. Jadi apabila kerajaan Moghul memerintah India, maka banyaklah istilah Parsi yang masuk ke bahasa itu. Muncullah bahasa Urdu.

Kini bahasa rasmi Pakistan ialah Urdu, yang penuh dengan istilah Parsi. Sementara Hindi menjadi bahasa rasmi India, penuh dengan perkataan Sanskrit.

Selama ini penutur Urdu dan Hindi boleh memahami satu sama lain tetapi akhirnya akan berpisah jauh dan satu hari mungkin tidak akan lagi memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi tulisan kedua-duanya berbeza. Urdu menggunakan tulisan jawi Parsi sementara Hindi menggunakan tulisan Devanagari.

Begitu juga dengan Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia akan berpisah jauh kerana perbezaan istilah yang akhirnya membuat penuturnya tidak memahami di antara satu sama lain.

Lebih-lebih lagi jika bahasa Belanda mempengaruhi kuat ke atas Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris ke atas Bahasa Malaysia. Tambahan pula dengan perbezaan tulisan. Ketika Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, tulisan Bahasa Indonesia adalah rumi sedangkan bahasa Melayu di Malaya menggunakan tulisan Jawi.

Hanya setelah negara ini mencapai kemerdekaan barulah usaha dibuat supaya bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi. Tetapi ejaan rumi Melayu di Malaya berbeza dengan Bahasa Indonesia.

Secara rasminya bahasa Melayu di Hindi Belanda menjadi Bahasa Indonesia ialah pada tahun 28 Oktober 1928 melalui Sumpah Pemuda.

Berpisah

Sementara bahasa Melayu di Malaya menjadi Bahasa Malaysia pada 16 September 1963. Dengan ejaan berbeza, ia semakin berpisah jauh. Maka apa yang disebut sebagai bahasa Melayu adalah bahasa Melayu di Thailand dan Brunei yang menggunakan tulisan jawi.

Oleh kerana Singapura pada mulanya negeri dalam Malaysia, maka ia juga menggunakan Bahasa Malaysia. Hanya apabila ia berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, bahas a sana dikenali semula sebagai bahasa Melayu. Tetapi tulisannya menggunakan kaedah rumi Bahasa Malaysia.

Selepas Konfrontasi dan semasa pemerintahan Presiden Suharto dan Perdana Menteri Tun Razak, terdapat perasaan jelas bahawa kedua-dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia tidak wajar dibiarkan hanyut semakin berpisah jauh.

Maka pada 16 Ogos 1972, ejaan kedua bahasa diseragamkan. Komitmen penyeragaman ejaan ini menunjukkan bahawa kedua bahasa mahu disatukan. Maka ejaan rumi diseragamkan ini turut diikut serta oleh bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei yang melihat Kuala Lumpur sebagai paksi bahasanya.

Kepentingan bahasa Belanda yang semakin berkurangan di Indonesia dan digantikan dengan bahasa Inggeris menyebabkan Bahasa Indonesia mengikut jejak Bahasa Malaysia dalam mengambil istilah-istilah yang asalnya dari bahasa Inggeris. Dominasi Amerika Syarikat ke atas Indonesia dan kemunculan teknologi maklumat akhirnya akan merapatkan lagi bahasa Malaysia dan Indonesia.

Bahasa Malaysia juga banyak mengambil istilah Bahasa Indonesia yang asal-usulnya dari Sanskrit seperti wisma, siswa dan pustaka. Nama tempat di Malaysia juga ada yang asalnya Sanskrit seperti Titiwangsa, Mahameru, Suria dan Damansara. Istilah Sanskrit dan Arab amat dekat dengan lidah bahasa Melayu.

Bahasa Malaysia juga tidak keberatan mengambil perkataan Indonesia yang asalnya dari Belanda seperti organisasi dan prestasi.

Masa depan cerah bagi Bahasa Malaysia terletak pada penyatuan semua bahasa Melayu. Baik dengan Bahasa Indonesia mahupun dengan bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei.

Seperti kata cogan jata kedua negara: Bersekutu Bertambah Mutu dan Bhineka Tunggal Ika, dalam bahasa Sanskrit bermaksud Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Sememangnya terdapat banyak perbezaan di antara kedua bahasa. Tetapi dengan sentiasa mencari jalan supaya kedua bahasa semakin mendekat, maka itulah masa depan bahasa kita.


(Utusan Malaysia, 16 Januari 2011)

Bulatkan cita-cita

Perkara yang paling hebat dan menakjubkan tentang cita-cita ialah kemampuannya membantu seseorang berada di atas landasan yang betul. Tenaga hayat meningkat berganda-ganda apabila kita mula membuat ketetapan kerana seluruh perhatian dan tumpuan adalah menjayakan cita-cita tersebut.

Cita-cita menghilangkan rasa bosan, melenyapkan keraguan, membangkitkan kesedaran dan memberi sinar harapan. Apabila cita-cita diserapkan ke dalam fikiran, secara automatik membawa tingkah laku dan perlakuan kita ke arah landasan yang betul. Pelajar yang menetapkan cita-cita pada setiap awal semester pengajian telah membina 50 peratus kejayaan, selebihnya ialah usaha dan tawakkal. Kakitangan awam yang menetapkan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) telah meletakkan peratusan kejayaan pada aras 50 peratus, selebihnya adalah komitmen yang ditunjukkan untuk menjayakan SKT berkenaan. Peniaga yang siang dan malam berfikir untuk mencari untung telah mendapat 50 peratus kejayaan sebaik sahaja mencongak wang yang hendak diperoleh dalam sebulan dua.

Ikutilah cita-cita kita. Ikut dengan betul-betul. Biarkan ia menguasai diri kita dan memberikan tindak balas automatik untuk meraih kejayaan.

Friday, January 14, 2011

Misteri Etnik: Jati diri Ponorogo

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Ramai beranggapan masyarakat Jawa ini sama saja walau di mana saja mereka berada, biarpun hakikatnya kelompok ini terbahagi kepada beberapa etnik kecil yang menjurus kepada tanah asal mereka di Indonesia. Namun, pernahkah anda tahu mengenai kewujudan masyarakat Jawa Ponorogo di Malaysia? Mendengar namanya saja sudah pelik, apalagi penceritaan mengenainya sebegitu asing. Malah, dalam kalangan orang Jawa sendiri, khususnya generasi mudanya pun tidak mengenai kelompok Ponorogo itu.

Secara ringkas, Jawa Ponorogo adalah masyarakat terbesar bertumpu di kawasan Sri Medan, Batu Pahat dan antara teramai di daerah Johor itu. Malah, mereka juga kekal satu-satunya masyarakat Jawa yang tegar meneruskan cara hidup serta budaya asal Jawa dibawa dari Indonesia.

Jawa Ponorogo berasal dari daerah di Jawa Timur iaitu Ponorogo dan kemasukan mereka ke sekitar Batu Pahat dan sebahagiannya di Selangor berlaku pada awal 1920 untuk memantapkan ekonomi mereka lantaran kesukaran membina kehidupan sempurna di tanah asal di Indonesia.

Kesempatan mendekati mereka di kawasan Sri Medan terutama di kampung Parit Warijo dan Parit Baru, menyerlahkan lagi realiti yang menampilkan kelainan sebagai penerus budaya Jawa asli dari Indonesia. Perbezaan yang ditampilkan pula bukan sekadar bahasa tetapi juga cara hidup serta wajah kampung itu sendiri.

Penulis sendiri terpegun seketika melihat persekitaran ketika melintasi jalan Parit Warijo ke rumah Ketua Kampung, Sukadi Kusmadi, baru-baru ini. Di kiri kanan jalan, kami dihidangkan pemandangan rumah besar berhalaman luas dan bersih dikelilingi pokok kelapa sawit yang tersusun kemas. Bukannya tiada kampung lain sebersih itu tetapi pemandangan kali ini mengagumkan penulis kerana selain kebanyakan rumahnya ibarat banglo mewah, halamannya juga luas yang boleh memuatkan lebih 10 kereta sekali gus.

Biarpun dikelilingi pokok kelapa sawit, persekitarannya sentiasa bersih yang menjadi antara keunikan cara hidup atau budaya Jawa Ponorogo dan bukan Jawa lain secara umumnya.

Malah Jawa Ponorogo juga unik kerana banyak perbezaan dengan Jawa lainnya termasuk aspek bahasa dan budaya berikutan asal usul mereka dari Jawa Timur di Kepulauan Jawa.

Ramai warga tuanya juga mahir berbahasa Jawa Ponorogo halus.

Keunikan lain mereka ialah sikap lemah lembut dan berbudi bahasa dalam kebanyakan urusan. Tidak sah bertandang tanpa hidangan sekurang-kurangnya air kosong. Seperti peringatan rakan Jawa lain yang mengetahui misi Misteri Etnik mendekati masyarakat itu kali ini, jangan sekali-kali menolak hidangan jika berkunjung ke rumah orang Jawa terutama Ponorogo kerana budaya mereka memastikan tetamu tidak pulang tanpa tekak dibasahkan dulu.

Merujuk sejarah kedatangan mereka, meskipun merantau ke bumi orang dalam keadaan daif dan hanya berbekalkan kemahiran bertani, masyarakat itu berjaya membina kehidupan baik dengan kebanyakan keluarga memiliki tanah luas mencecah belasan ekar dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit dan getah.

Ia berkait rapat sifat berani meneroka kawasan baru serta rajin. Selain paparan keadaan rumah mereka yang mewah, masyarakat ini juga tebal tradisi mencari rezeki untuk diwarisi turun temurun. Lantaran itulah, meskipun Sri Medan sinonim dengan banjir selama ini, ia mampu dibangunkan dengan baik sampai sekarang atas kemahuan orang Jawa Ponorogo yang membina kehidupan lebih selesa untuk kesenangan anak cucu.

Masyarakat Jawa Ponorogo juga memiliki keteguhan mempertahankan budaya tersendiri kerana sudah menjadi tradisi di Ponorogo, Indonesia, satu pesta kebudayaan ‘Reyog’ terus diadakan setiap tahun.

Ia turut menjadi tunjang kepada keturunan Jawa Ponorogo di negara ini untuk terus mempraktikkan banyak aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti kuda kepang, barongan, wayang kulit dan permainan muzik gamelan. Lebih ketara, perhubungan berterusan masyarakat itu dengan keluarga asal di Ponorogo, membolehkan budaya itu dikekalkan.

Kebetulan, ketika tugasan Misteri Etnik ini dijalankan, ramai masyarakat di Parit Warijo berkunjung ke Ponorogo kerana di sana bakal diadakan pesta Reyog yang kebiasaannya menjadi keramaian terbesar setiap kali tiba Awal Muharam.

Kelebihan mereka juga terletak kepada darah pahlawan yang menebal dalam diri mereka, terutama jika merujuk sejarah mereka dalam perkembangan Islam dan tuntutan kemerdekaan daripada kerajaan Majapahit. Jawa Ponorogo ini turut dikenali pejuang ‘Warok’ yang diabadikan sebagai tugu besar di daerah itu di Indonesia.

Darah kepahlawanan dan keberanian itulah mendorong mereka untuk membina penempatan di kebanyakan kawasan di Batu Pahat. Malah, di Sri Medan sendiri, boleh dikatakan 80 peratus penduduknya berdarah Ponorogo selain etnik Jawa lain, Banjar dan masyarakat Cina yang bergelar minoriti di situ.

Status diri sebagai ‘orang kaya’ juga sesuai bagi menggambarkan cara hidup mereka. Difahamkan, tidak banyak kenderaan awam yang sanggup memasuki kawasan itu kerana sukar mendapat penumpang lantaran setiap isi rumah memiliki kereta sendiri, termasuk berkereta mewah.

Jika adapun, mungkin sekali bagi setiap dua ke tiga jam, kelihatan kelibat bas awam, itupun tidak ramai penumpang. Kemewahan masyarakat itu mungkin didorong keupayaan mengusahakan sektor pertanian dan perladangan. Difahamkan juga, ekonomi rumah tangga turut dibantu hasil usaha golongan wanitanya yang mahir mengusahakan pelbagai kerja tangan.

Biarpun kaya atau berkemampuan, mereka tidak lekang sikap ramah, merendah diri serta budi bahasa tinggi yang menarik hati penulis. Tidak hairanlah kerap juga program anak angkat diadakan di situ kerana mudah mendapat kerjasama keluarga yang sudi menerima tetamu.

Mereka juga dikatakan golongan kuat beribadat dan hebat berdakwah, termasuk penggunaan pentas wayang kulit sebagai saluran utamanya. Malah, ia menjadi alat utama pada zaman wali kesembilan di Jawa ketika penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat Jawa Hindu.

Namun, disebabkan Indonesia secara umumnya dan Kepulauan Jawa pada dulunya dimonopoli agama Hindu, ia sedikit sebanyak mempengaruhi budaya masyarakat Jawa termasuk Ponorogo, terutama struktur rumah.

Kebanyakan, malah mungkin semua rumah asal Jawa Ponorogo mempunyai ruang di tengah dinding berlubang dengan satu kayu setinggi paras betis di bawahnya dikenali sebagai ‘Undak Undaan’. Ia sebenarnya digunakan oleh masyarakat dulu untuk meletak kemenyan dan kelapa, kononnya untuk meraikan sesuatu. Ia nyata pengaruh Hindu yang dibawa mereka, namun sudah diketepikan kini.

Bahasa halus kian pupus


Jawa Ponorogo mempunyai beberapa kelainan jika dibandingkan dengan masyarakat Jawa lain kerana mereka bukan sekadar berasal dari Jawa Timur, satu daerah dalam Kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Barat dan Tengah, malah masyarakat itu turut mempunyai bahasa pertuturan berbeza.

Jika orang Jawa Ponorogo bercakap dalam bahasa mereka, ia mungkin tidak difahami masyarakat Jawa lain dan begitu juga sebaliknya. Lebih unik, Jawa Ponorogo mempunyai dua jenis bahasa iaitu bahasa pasar (pertuturan biasa) dan bahasa halus yang kini semakin pupus kerana kurang pengamalnya.

Satu keistimewaan masyarakat ini ialah ketegasan ibu bapa dalam memastikan bahasa Jawa Ponorogo terus diwarisi golongan muda sama ada dengan penggunaan secara kerap dalam rumah, mahupun menjadi bahasa pertuturan rasmi di mana saja mereka berada.

Justeru, tidak menghairankan jika meskipun orang Jawa Ponorogo sedang berbual dalam Bahasa Melayu sesama rakan bukan Jawa, mereka akan dengan spontan menukar bahasa pertuturan itu ke bahasa Jawa sejurus ada seorang rakan Jawa menyertai perbualan itu.

Ia juga sama dalam banyak urusan sama ada ketika menyampaikan ceramah dan ucapan sesama mereka. Sukar sekali untuk difahami lenggok bahasa Jawa Ponorogo ini kerana tiada langsung persamaan dengan bahasa Melayu.

Ketika melihat persembahan wayang kulit yang dibawa khusus dari Ponorogo, Indonesia di satu majlis perkahwinan, semua pengunjung Melayu hanya mampu terpinga-pinga, malah dalam kalangan orang Jawa juga ada yang asyik kehalusan sekali bahasa yang digunakan.

Ia sekali gus menunjukkan begitu unik sekali bahasa Jawa Ponorogo dalam masyarakat itu, namun hakikat yang perlu diakui ialah ia semakin pupus kerana tidak ramai generasi baru termasuk golongan umur pertengahan yang menguasai bahasa Jawa Ponorogo halus.

“Kue apik tenang. Ayo la neng ngomah ku. Aku madang sego.” Rasanya bahasa itu kedengaran berbeza sekali dengan orang Jawa lain. Ayat itu yang membawa maksud - “Kamu sangat baik hati. Jemputlah ke rumah saya. Aku makan nasi.” Ada antara isi ayat itu hanya ada pada orang Jawa Ponorogo.

Namun, jika diteliti pula aspek bahasa halus mereka, nyata jauh sangat perbezaan dengan bahasa pertuturan harian. Malah, jika ditanya kepada orang Jawa lain, pasti ada yang langsung tidak tahu maksudnya sesuatu perkataan itu.

Sebagai contoh, makan dalam masyarakat Jawa adalah madang dan ada menyebutnya mangan. Namun, dalam bahasa halus Jawa Ponorogo, ia disebut dahar. Nyata jauh sekali perbezaannya, bukan sekadar mengubah satu dua suku kata.

Tidur disebut turu dalam perbualan harian tetapi menjadi tilem dalam bahasa halus. Rumah atau omah menjadi griyo, manakala jalan atau dalan menjadi radosan.

Apa sekalipun, keunikan itu pasti menjadikan masyarakat itu sangat menarik untuk didekati, bukan sekadar bahasa tetapi cara hidup dan budaya mereka tersendiri.

(Berita Harian, 12 Disember 2010)

Thursday, January 13, 2011

Siam bukan Thai?

Oleh Azrul Affandi Sobry

Siam atau Thai? Bukankah ia membawa maksud serupa kerana kedua-duanya berasal daripada rumpun sama iaitu di negara jiran Thailand. Adakah masyarakat Siam di negara ini pendatang yang merantau masuk ke sini kerana pelbagai sebab, sama seperti beberapa etnik lain di Malaysia?

Tidak ramai, malah mungkin tidak ada sebenarnya yang membahaskan isu ini dengan kebanyakannya mengambil jalan mudah menggelar masyarakat Siam di negara ini sebagai pendatang dari Thailand meskipun realitinya sangat berbeza.


Berapa kerat sangat masyarakat di negara ini yang merujuk kepada sejarah bagi mengkelaskan sesiapa sebagai anak tempatan atau pendatang sedangkan realitinya, masyarakat Siam di negara ini mungkin menjadi waris terawal menjejak kaki di bumi Malaysia, mungkin juga lebih lama daripada masyarakat Melayu sendiri.

Tidak boleh dinafikan kebanyakan masyarakat di negara ini, termasuk Melayu sendiri adalah penghijrah dari negara tertentu. Malah, menurut Al Tarikh Salasilah Kedah 1928 menyebut, kerajaan Kedah sejak dulu adalah berasal dari darah keturunan Parsi dengan Sultan pertamanya digelar Maharaja Derbar Raja dan Maharaja Derbar Raja II iaitu pemerintah kesembilan ditukar kepada Sultan Mudzaffar Syah selepas memeluk Islam.

Namun, dalam satu versi berlainan pula, dikatakan Sultan Mudzaffar Syah (1136 - 1179) dulu pernah digelar Phra Ong Mahawangsa, satu gelaran dalam bahasa Thai yang bermaksud Tuanku Mahawangsa. Penggunaan gelaran itu dikatakan disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa, sekali gus mewujudkan satu tanggapan bahawa masyarakat Siam sudah bertapak di Kedah sejak sekian lama.

Ia dinafikan pula Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, yang menyifatkan Hikayat Merong Mahawangsa bukan fakta sejarah untuk diterima pakai. Justeru, beliau melihat fakta berkenaan sejarah institusi diraja Kedah yang berakar dari Parsi lebih sesuai diterima.

Apapun, tidak dapat tidak, kewujudan masyarakat Siam di Kedah sebagai antara penduduk awal di negara ini tidak boleh dinafikan. Banyak sebenarnya bukti kewujudan mereka terutama di negeri bersempadanan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Sebagai contoh, di Kedah sendiri, wujud beberapa nama tempat menggunakan bahasa Siam seperti Kodiang, Changlun, Napoh dan Jitra. Malah, banyak juga nama kampung menggunakan bahasa Siam.

Masyarakat Siam di negara ini, kebanyakannya mendiami di lima negeri itu bukanlah ramai, malah lebih sesuai dikatakan minoriti terkecil dengan keseluruhan tidak sampai 60,000 orang. Namun, mereka mempunyai sejarah tersendiri yang menjadikan mereka unik untuk didekati terutama apabila dikaitkan sebagai antara penduduk awal di sini.

Sejarah persempadanan negara membabitkan Tanah Melayu dan Thailand juga membuktikan bahawa masyarakat Siam di sini bukan pendatang. Ini kerana, sebelum 1909 lagi, masyarakat Siam sudah ada di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Persempadanan akibat Perjanjian Inggeris-Siam 1909, dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909, membolehkan semua negeri itu menjadi milik Tanah Melayu.

Ia menguatkan dakwaan masyarakat Siam di Kedah bahawa mereka bukan pendatang tetapi sudah sekian lama berada di negeri itu yang sebelumnya berada di bawah takluk Kerajaan Siam.

Sebenarnya, ada beberapa versi mengenai kewujudan masyarakat Siam di negara ini tetapi versi paling relevan ialah mengaitkan mereka dengan penduduk Siam di selatan Thailand. Ini dibuktikan dengan kebanyakan penempatan masyarakat itu berada di kawasan berhampiran sempadan Malaysia - Thailand seperti di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Baling dan Sik serta di Kota Star, Kedah.

Apapun, menurut penduduk Siam yang ditemui di Kampung Kubang Chenok, Kubang Pasu, Kedah, kemasukan masyarakat Siam ke Kedah sudah berlaku sebelum negeri itu diserahkan kepada Tanah Melayu, malah mungkin lebih lama, iaitu sebelum zaman pemerintahan Sultan Mudzaffar Syah berdasarkan penggunaan nama Phra Ong Mahawangsa dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Kemasukan ke beberapa negeri di Tanah Melayu didorong oleh sifat semula jadi masyarakat itu sebagai pemugar (peneroka) yang gemar membuka penempatan baru di kawasan hutan selain mengembangkan aktiviti pertanian mereka.

Malah, menurut catatan Phraboriharn Thepdhani dalam bukunya, Phongsawadarn Chart Thai yang diterbitkan di Bangkok pada 1953, bangsa Thai sebenarnya berasal dari kawasan pergunungan Altai, Mongolia sebelum berhijrah secara besar-besaran dan penghijrahan itu turut membabitkan kawasan di Tanah Melayu, iaitu di utara Semenanjung Malaysia.

Justeru, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Charun Em, 43, tegas mempertahankan kenyataan bahawa orang Siam di Kedah bukan pendatang dari Thailand tetapi bersusur galur dengan keturunan asal dari Mongolia yang turut berpindah sehingga ke beberapa negeri utara Semenanjung Malaysia.

“Kami bukan pendatang. Kami juga tidak ramai saudara mara di Thailand kerana kami memang sudah sedia ada di sini (Kedah). Rumit sebenarnya untuk mengaitkan kewujudan kami di sini dengan sejarah orang Thai tetapi bukti sejarah mencatatkan kami memang anak jati Kedah.

“Malah, dalam Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah, ada disebut bahawa orang Siam adalah salah satu daripada komuniti Melayu, sekali gus mengiktiraf orang Siam di sini sebagai anak jati Tanah Melayu. Cuma, kami tak pasti sejauh mana kami turut diiktiraf sebagai Bumiputera meskipun sering kali dikatakan kami sebahagian mereka,” katanya yang lebih selesa menggunakan masyarakat Thai berbanding Siam, selepas merujuk kepada sejarah tamadun masyarakat itu di China.

Mengupas lanjut mengenai sejarah dan latar belakang mereka, nyata banyak sekali kupasan menjurus kepada keunikan masyarakat minoriti itu. Justeru, kunjungan Berita Harian ke Kubang Chenok untuk mendekati dan melihat sendiri cara hidup serta latar belakang mereka menemui lebih banyak misteri dalam kehidupan mereka.

Sejarah sebagai peneroka jelas mempengaruhi gaya hidup mereka sehingga kini kerana dikatakan majoriti masyarakat itu masih menjadi petani, dengan sebahagian kecil menceburi bidang profesional tetapi sangat sukar menemui orang Siam yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Sejarah sebagai peneroka itu juga jelas dapat dilihat sehingga kini kerana kebanyakan perkampungan orang Siam adalah di sekitar kawasan berhampiran hutan. Kerana itu jugalah, penempatan mereka terperosok di ceruk pedalaman. Sukar untuk mengatakan mereka adalah kumpulan penduduk awal di Kedah tetapi pengaruh masyarakat itu amat kuat di Kedah.

Selain nama kawasan yang menggunakan bahasa Siam, boleh dikatakan ramai juga orang Melayu di Kedah yang mahir berbahasa Siam. Malah, ada juga perkampungan dikategorikan sebagai kampung Melayu Siam kerana keupayaan mereka menggunakan bahasa Siam sepenuhnya dalam perbualan harian.

Merujuk kepada sejarah juga menunjukkan yang pengaruh Hindu - Buddha menguasai kebanyakan negeri di Tanah Melayu sebelum kemasukan Islam. Justeru, tidak dapat tidak, ia turut mempengaruhi kehidupan orang Siam yang masih kuat mengamalkan kepercayaan kepada dukun dan bomoh yang sama sekali bukan ajaran Buddha.

Malah, masih banyak bomoh Siam boleh ditemui di semua kampung Siam. Misalnya, di Kubang Chenok saja, ada tiga bomoh yang masih aktif menjalankan aktiviti perubatan mistik dengan kebanyakannya hebat dalam ilmu pengasih.

Berbalik kepada isu Thai atau Siam, ia terus menjadi tanda tanya kerana kedua-duanya disokong oleh bukti tersendiri. Ada yang mengatakan Siam adalah sebuah negara manakala Thai adalah bangsa.

Sebut saja Kubang Pasu, pasti ramai yang mengaitkannya sebagai daerah terakhir di Kedah sebelum sampai ke sempadan Thailand iaitu di Bukit Kayu Hitam. Tidak ada laluan lain ke sempadan itu selain melalui Kubang Pasu, sekali gus menjadikannya sebagai antara daerah paling sibuk setiap kali musim cuti.

Apa tidaknya, ketika itulah ramai rakyat Malaysia akan mengambil kesempatan berkunjung ke Selatan Thailand, sama ada sekadar ke Danok atau terus ke Haadyai untuk membeli-belah dan tak kurang juga untuk berhibur. Siapa yang tidak tahu mengenai dua lokasi itu sebagai lokasi hiburan popular orang Malaysia.

Pergi saja ke situ, pasti akan terserempak dengan rakan senegara, sama ada di kedai makan, pusat hiburan atau di jalan raya.

Namun, paling utama ialah dalam perjalanan ke Bukit Kayu Hitam, pasti tidak ramai yang perasan mereka akan melalui Napoh iaitu satu pekan kecil sebelum Changlun, lebih kurang 15 kilometer dari pintu masuk ke Thailand. Di situlah, antara lokasi paling ramai masyarakat Siam berada iaitu antara Napoh menghala ke Padang Sera.

Malah, di Napoh saja, sudah terasa bahang masyarakat Siam kerana sepanjang perjalanan ke Padang Sera, singgahlah di mana kedai makan atau runcit, jelas bahasa Siam mendominasi perbualan mereka, tak kira sesama orang Siam atau dengan orang Melayu.

Nyata, pengaruh Siam masih kuat menguasai kawasan itu meskipun penyerahan Kedah kepada British dari Kerajaan Siam sudah berlaku hampir 100 tahun dulu.

Napoh ke Padang Sera berjarak 10 kilometer dan di pertengahan jalan itulah letaknya Kampung Kubang Chenok iaitu penempatan masyarakat Siam terbesar di situ. Dikatakan ia tidak seramai masyarakat Siam di Pendang tetapi ada kemungkinan mereka adalah penduduk Siam terawal yang mendirikan perkampungan sejak ratusan tahun dulu.

Ketua Kampungnya, Nuam Din Tiong, 74, turut diangkat sebagai Ketua UMNO Cawangan sekali gus membuktikan masyarakat Siam diterima sebagai satu daripada komuniti Melayu di situ. Malah, difahamkan, di Kedah, mereka dianggap sebagai Bumiputera meskipun tidak menikmati hak Bumiputera seperti orang Melayu.

Sukar sekali membezakan mereka dengan orang Melayu, apatah lagi kebanyakan mereka fasih dan tidak pelat berbahasa Melayu. Pakaian mereka yang sama dengan orang Melayu sekali lagi menambah kerumitan itu. Raut wajah mereka juga tak ubah seperti orang Melayu.

“Orang Siam seperti berada di tengah-tengah antara Cina dan Melayu. Kami boleh tinggal dan makan bersama orang Melayu dan tidak pula ada masalah bercampur dengan orang Cina. Tidak pernah timbul rasa tidak selesa jika kami bercampur dengan sesiapa saja. Malah, kepercayaan kami yang ada dipengaruhi pengaruh Hindu dan Buddha memudahkan lagi pergaulan kami dengan sesiapa saja,” cerita Nuam ketika ditemui di rumahnya di Kubang Chenok.

Namun, jika diamati, pertuturan orang Siam di Kedah ada kelainannya dengan orang Siam di Thailand. Mereka ada loghat mereka tersendiri dan kebanyakannya sama dengan orang Melayu yang berbahasa Siam.

Apapun, keunikan masyarakat Siam di Kubang Chenok bukan setakat itu saja kerana banyak lagi berkaitan budaya dan cara hidup untuk diceritakan. Kemesraan dan keramahan mereka juga menunjukkan mereka begitu selesa dengan sesiapa saja.

(Berita Harian, 9 Januari 2011)

Revolusi sosial dalam komunikasi media

Kemunculan media sosial dalam tempoh sedekad yang lalu telah mengubah cara fikir dan pola kehidupan generasi muda hari ini. Medium interaksi seperti Mapster, Friendster, MySpace, YouTube, Flickr, Twitter dan Facebook menjadi pilihan mereka untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi pendapat dan minat, memuat naik dan turun video di samping membincangkan isu-isu semasa dengan santai dan terbuka.

Media sosial seperti Twitter dan Facebook menjadi ketagihan baru dalam dunia maya kerana pengguna Internet boleh berkongsi apa sahaja. Bermula dari Wikipedia pada 2001, ia berkembang dengan cemerlang untuk menghubungkan semua pengguna Internet sehingga kemunculan Facebook yang menjadi trend baru media sosial ini.

Wikipedia

Tarikan masyarakat intelek untuk memuat naik apa sahaja maklumat berkaitan politik, sosial, pendidikan, sejarah, ekonomi dan budaya menjadikan wikipedia.com berkembang dengan pantas. Apa sahaja topik boleh diperoleh di sini dan jangkauan penggunanya telah mencecah kepada 270 bahasa di dunia. Wiki adalah perkataan Hawai yang bererti pantas. Ia merujuk kepada apa sahaja yang bebas diedit oleh orang ramai.

Keupayaan Wikipedia tidak jauh beza dengan gergasi maklumat, Encyclopedia Britannica. Kajian oleh Nature pada 2005 mencatatkan secara purata Britannica terdapat tiga kesalahan manakala Wikipedia merekodkan empat kesalahan.

Friendster

Konsep Friendster ialah mencetuskan idea untuk berkongsi profil, menambah rakan siber dan berkongsi minat dalam Internet. Peranan Friendster yang utama ialah membuka laluan kepada jaringan sosial yang lebih hebat seperti hi5, MySpace, Buzz dan Facebook. Perkembangan MySpace yang dikagumi ialah keupayaannya menjadi plartform untuk muzik dan talam talian seperti Imeem, Lily Allen dan Secondhand Serenade.

Blog

Tahun 2004 menjadi hit untuk permulaan blog kerana ia menjadi fenomena baru dalam menyebarkan maklumat. Melalui blog, pengguna Internet mampu membuat laman sesawang sendiri dengan tiga langkah sahaja. Selain blogspot, terdapat puluhan blog lain yang muncul. Impak blog kepada pengguna Internet sangat ketara kerana berbekalkan minat dan kebolehan menulis, seseorang telah mampu berkomunikasi dengan semua orang di dunia ini. Ada yang kaya-raya dengan memasarkan produk mereka hanya dengan blog. Perkembangan masyarakat tidak membataskan blog kepada isu-isu tertentu malah apa sahaja topik dapat dimuat naik dengan mudah asalkan seseorang itu memiliki kemahuan untuk menulis.

Wikileaks

Julian Assange menjadi terkenal dengan menyebarkan maklumat sulit negara-negara utama dunia dan institusi untuk tatapan umum. Pendedahan maklumat ini menjadi kekuatan kepada Assange tetapi mengancam keselamatan orang lain. Wikileaks telah mengubah pandangan orang ramai terhadap bagaimana maklumat diperolehi dan dikongsi bersama.

Youtube

Sekitar tahun 2006, YouTube belum begitu terserlah. Amat mudah bagi sesiapa sahaja untuk mendaftarkan diri kerana penggunanya belum ramai. YouTube menjadi plartform kepada orang muda untuk mencuba bakat dan menunjukkannya kepada dunia betapa mereka hebat dalam nyanyian, sukan dan lakonan. Salah seorang daripada mereka ialah Justin Bieber yang mencatatkan lebih 200 juta penonton untuk klip One Time. Selain Bieber, seorang lagi anak muda yang mencatatkan nama di YouTube ialah Tay Zonday yang menyanyikan lagu ‘Chocolate Rain’ yang ditiru pula oleh Chad Vader, iaitu salah satu watak dalam filem Star Wars. Zonday menjadi terkenal dan dijemput ke sesi bual bicara beberapa stesen televisyen di Amerika Syarikat. Uniknya bukan terletak pada lagu tetapi pada suara pemuda berkenaan yang garau dan ada unsur ‘kejantanan’.

YouTube mula mengumpul pengguna Internet secara besar-besaran apabila Google membeli syarikat berkenaan dan menggunakannya sebagai plartform untuk menjana pendapatan syarikat.

Twitter

Tahun 2009 mencatatkan perubahan drastik dalam cara maklumat disampaikan. Ia mula menjadi hangat apabila pesawat US Airways mendarat di dalam Sungai Hudson, New York. Berita ini di’tweet’ oleh Janis Krums’ yang menarik perhatian umum seluruh dunia. Twitter berkembang dan melepasi sempadan horizon media tradisional sedia ada. Maklumatnya sangat pantas dan mendepani media lain untuk melaporkan sebarang perkembangan. Ia digunakan sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin politik dalam pilihan raya untuk memberi maklumat kepada pengundi yang dahagakan perkembangan mereka.

Facebook

Laman sesawang media sosial ini menjadi perhatian masyarakat dunia untuk berhubung di antara satu sama lain. Tahun 2010 menyaksikan Facebook mencatatkan 500 juta pengguna aktif dan mewakili individu, organisasi, pertubuhan dan apa sahaja yang boleh digunakan untuk berhubung dengan orang lain. Majalah TIME memlih pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sebagai Person of the Year bagi tahun 2010.

Tuesday, January 11, 2011

Hanizam dalam kenangan

Hanizam Haji Hamdani, seorang rakan yang tidak pernah dilihat menunjukkan kemarahan dalam apa juga keadaan. Sabtu, 8 Januari 2011, dia kembali ke rahmatullah selepas hidup selama 46 tahun di samping isteri dan anak-anaknya, dua lelaki dan dua perempuan. Kematiannya kerana kompilasi kencing manis yang dialami.

Saya mengenali Hanizam selepas kembali ke tanahair lapan tahun yang lalu selepas meninjau peluang-peluang kerja di sekitar Kuala Lumpur. Orang pertama yang saya kenal dan berkawan adalah Hanizam. Beliau dengan senang hati membantu saya dalam banyak perkara, dari mencari tempat tinggal hinggallah menemankan sarapan pagi dan makan malam. Kadang-kadang dia tolong bayarkan kerana berasa bertanggungjawab meringankan beban rakannya.

Hanizam seorang yang mudah membantu, ringan tulang dan sedia menjadi teman untuk mendengar cerita biar pun dalam keadaan kurang sihat. Setia kepada majikannya iaitu pengamal perubatan alternatif di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Dia tidak pernah menceritakan masalah keluarga apatah lagi keadaan kesihatannya. Walaupun sejak dua tiga tahun lalu badannya kelihatan susut dan pipinya nampak cengkung, Hanizam masih lagi mampu senyum dan bertanya khabar.

Kali terakhir saya berjumpa dan minum bersama ialah pada bulan puasa tahun lepas di Pandan Cahaya. Dia bawa sekali dua orang anak lelakinya. Kami bertukar-tukar pandangan kerana sudah lama tidak berjumpa. Masa itu dia demam dan kurang selera makan. Namun digagahi juga untuk datang selepas solat tarawikh di Masjid Al-Azim, Pandan Indah. Selepas minum kami bersalam-salaman, iaitu salam terakhir di antara kami kerana selepas itu kami berpisah untuk selama-lamanya. Lima bulan selepas itu, Hanizam meninggal dunia.

Hubungan kami sangat baik. Setiap kali rakan kami, Mamit datang dari Brunei sama ada bertugas atau dengan keluarga, kami berdua akan menziarahi Mamit dan belanjanya minum teh tarik. Selepas itu kami berbual panjang dan bertanya khabar masing-masing. Biasanya Mamit akan tinggal di hotel berhampiran Pelabuhan Kelang kerana dia menjalankan tugas rasmi di sana. Semasa pertemuan kami di Pandan Cahaya, saya maklumkan kepada Hanizam yang Mamit telah kena serangan angin ahmar (strok) dan belum pulih sepenuhnya.

Kematiannya sangat mengejutkan. Semasa sedang mencari barang keperluan rumah di Bangi, seorang rakan, Sheikh Nazri menelefon,’Assalamu’alaikum.. ada kat mana?’ Saya jawab,’Di Bangi, nak beli barang sikit.’ Agak aneh juga kerana jarang benar Sheikh Nazri telefon, setidak-tidaknya dia akan hantar mesej saja. ‘Ada berita yang mengejutkan...’ Wajah saya mula berubah kerana agak panik dengan kata-katanya. ‘Nizam meninggal dunia tengah hari ni... jenazah ada di Hospital Ampang.’ Berderau darah saya kerana tidak pernah terfikir Hanizam akan pergi lebih awal dalam usia yang masih muda.

Selepas itu saya balik ke rumah dan bersiap-siap untuk menunggu jenazah di Surau Raudhah, Bukit Mahkota. Sebaik sampai di sana, azan asar baru dikumandangkan dan jemaah bersiap-siap untuk solat asar. Sebaik turun dari kereta saya lihat isteri dan anak-anak Hanizam juga baru sampai. Saya berjumpa dengan adik Hanizam dan anak-anaknya sebelum beredar untuk menunaikan solat.

Sebaik sahaja selesai membaca doa, semua jemaah memandang ke arah tengah surau kerana jenazah Hanizam diletakkan di situ. Penutup pengusung jenazah diangkat lantas terbujur kaku tubuh Hanizam di atas pangkin. Ikatan kain di bahagian kepala jenazah dibuka untuk memberi peluang kepada isteri, anak-anak dan saudara mara Hanizam menatapnya buat kali terakhir. Seorang demi seorang mengucup pipi Hanizam. Wajahnya putih bersih. Anak perempuannya yang sulung tidak dapat menahan sedih lalu menangis sepuas-puasnya sambil menahan sebak.

Anak-anak lelaki nampak tenang dan menundukkan kepala sambil mengucup pipi Hanizam seorang demi seorang. Manakala anak perempuan yang kecil dipangku oleh ibunya yang sesekali menitiskan air mata.

Di kawasan kubur Sri Putra, liang lahat telah tersedia untuk menerima jenazah Hanizam. Hanizam tidaklah terlalu berat kerana cukup tiga orang untuk menurunkannya ke dalam liang. Badannya dihadapkan ke arah kiblat. Satu demi satu kepalan tanah diletakkan di belakang dan depan badannya supaya tetap dan berkeadaan mengiring. Lalu tanah dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam liang hingga jenazah Hanizam terus hilang dari pandangan, tempatnya bersemadi sehingga ke hari akhirat.

Imam Surau Raudhah membacakan talkin yang sangat menyentuh emosi setiap orang yang hadir. Sesekali suaranya perlahan, tersekat-sekat sambil menahan sebak membacakan soalan-soalan yang akan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nangkir dan yang patut dijawab.

Isteri, anak-anak dan saudara mara Hanizam yang berada di belakang imam sudah dapat menahan emosi masing-masing dan menerima hakikat bahawa Hanizam telah selamat disemadikan dan insya Allah akan berada dalam kelompok orang-orang yang dirahmati Allah swt. Anak perempuannya yang menangis teresak-esak sebelum ini sudah berhenti menangis dan serius mendengar patah demi patah bacaan talkin berkenaan. Akhirnya, sebelum maghrib menjelma, imam membacakan doa untuk arwah Hanizam dengan harapan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Al-fatihah.

Monday, January 10, 2011

Komunikasi Antara Perseorangan dari Perspektif Islam

Setiap hari kita berhubung dengan orang lain, sama ada secara bersemuka atau menggunakan alat komunikasi seperti telefon, e-mel dan surat. Dalam era moden hari ini, kaedah perhubungan semakin mudah dan kompleks kerana inovasi dalam media perhubungan semakin canggih. Jika dulu alat hubungan agak sukar dimiliki, hari ini setiap orang boleh memiliki dua atau tiga buah telefon bimbit.

Namun, komunikasi dalam Islam mempunyai hala tuju yang jelas dan boleh dijadikan sebagai panduan. Dalam surah Ali-‘Imran ayat 104 yang bermaksud,

‘Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.’

Maksud ayat ini ialah terdapatnya beberapa kepentingan untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara sesama manusia dalam usaha mencapai suasana kehidupan yang diredhai Allah swt. Dalam Islam, penganutnya tidak hanya disuruh menjadi seorang yang hanya menjaga kepentingan diri sendiri. Kita perlu juga menjaga kepentingan ahli keluarga, masyarakat dan makhluk-makluk lain juga perlu dijaga.

Berdakwah ataupun menyebarkan risalah Allah swt merupakan tugas yang wajib bagi muslim dan muslimat. Allah swt telah meletakkan kemuliaan yang tinggi kepada para du’at.

‘Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’
(Fussilat ayat 33)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, ‘Sampaikan daripadaku walaupun jika satu ayat.’

Sebenarnya tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini amat berat. Kita ditugaskan untuk menjaga kemakmuran muka bumi dan menyeru manusia untuk berbuat kebaikan. Tugas atau amanah ini bukanlah mudah dan bergantung kepada kemampuan manusia yang terbatas. Oleh itu Allah swt telah menyediakan panduan melalui al-quran dan hadis serta mengutuskan rasul kepada umatnya untuk memandu manusia ke jalan lurus. Sifat dan peribadi rasul adalah sempurna termasuk cara berkomunikasi.

Prinsip Dakwah yang Digariskan oleh Al-Quran dan Hadis

Terdapat lapan prinsip dakwah yang diketengahkan dalam Islam dan diungkapkan dengan jelas. Prinsip-prinsip ini boleh menjadi panduan kepada pendakwah untuk membentuk strategi dan kaedah dakwah yang lebih baik dan menepati matlamat dakwah itu sendiri. Prinsip-prinsip berkenaan ialah berilmu, khudwah hasanah (contoh yag baik), sabar, bersikap lemah lembut dan belas kasihan, berbaik sangka, tawaddhuk, bermanis muka dan tutur kata serta pemurah dan menafkahkan harta kepada anak yatim.

1. Berilmu

Pemahaman tentang sesuatu subjek yang ingin disampaikan adalah amat penting. Sebagai seorang pendakwah misalnya kefahaman tentang Islam itu perlu jelas. Kefahaman yang mantap dan soleh oleh seseorang dai’ boleh menjadikan para pengikutnya yakin dengan apa yang disampaikan.

‘Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.’ (Az-Zumar ayat 9)

2. Khudwah hasanah

Khudwah hasanah atau contoh yang baik adalah elemen penting untuk mempengaruhi orang ramai, menarik mereka ke dalam jemaah dan menguasai mereka. Namun dai’ mestilah menunjukkan khudwah hasanah kepada orang ramai. Ini adalah kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.

Memiliki akhlak yang baik menjadi kelebihan kepada seorang pendakwah kerana orang ramai akan menjadikan dirinya sebagai model. Fathi Yakan dalam bukunya ‘Konsep penguasaan dalam kehidupan dakwah dan pendakwah’ menyatakan bahawa al-quran memberi peringatan dengan mengugut dan memberi amaran terhadap orang yang perbuatannya bercanggah dengan perkataannya. Amaran ini juga diberikan kepada mereka yang memperkatakan apa yang tidak mereka lakukan.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.’ (As-Saff ayat 2-3)

3. Sabar

Kita sentiasa berhadapan dengan pelabagai sikap dan telatah manusia. Ada yang bersikap kasar, pemarah, tidak berdisiplin dan lembap memahami sesuatu perkara yang diterangkan.

Andainya kita berhadapan dengan mereka yang bengis dan kasar, kita tidak perlu lekas melenting. Bagi mengubah sikap seseorang, ia memerlukan masa yang lama. Tindak-tanduk mereka banyak menguji kita. Justeru, di sinilah kesabaran amat penting dipraktikkan supaya komunikasi yang diwujudkan berada dalam keadaan terkawal.

‘Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.’ (As-Sajadah ayat 24)

Huraian di atas menunjukkan sabar itu tempat pergantungan setiap muslim. Manakala kejayaan atau keberkesanan seseorang itu bergantung kepada darjah kesabaran yang ada pada dirinya.

4. Bersikap lemah lembut dan belas kasihan

Fathi Yakan menyebut tentag jiwa manusia yang memiliki tabiat sayang kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Sebaliknya sikap atau tindakan yang keras serta kasar menyebabkan jiwa manusia kadang-kadang terdorong untuk bersifat takabbur, bertahan dalam kesalahannya dan menghindari orang yang menegurnya.

Lemah-lembut dalam berbicara dan tingkah laku boleh membuka pintu hati dan melapangkan dada orang yang kita panggil untuk berbicara itu. Kepentingan lemah-lembut dalam komunikasi jelas diterangkan oleh Allah swt dalam al-quran iaitu kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Haru a.s yang disuruh berjumpa dengan Firaun. Kisah ini diabadikan dalam surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud,

‘Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.’

Banyak lagi ayat al-quran yang menerangkan tentang keutamaan sifat lemah-lembut, bersifat belas ihsan dan pemaaf. Firman Allah swt berhubung dengan belas ihsan dijelaskan dalam surah Ali- ‘Imran ayat 134 yang bermaksud,

‘Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.’

Rasulullah saw sebagai pendakwah yang pertama adalah orang yang paling bersikap lemah-lembut dan belas kasihan kepada orang lain. Faktor ini menjadi salah satu sebab ramai orang menerima dakwah baginda saw. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw menjelaskan betapa Allah swt sukakan orang yang memiliki sifat belas ihsan dalam urusannya.

‘Sesungguhnya Allah sukakan (sifat) belas kasihan dalam semua urusan.’

5. Berbaik sangka

Sifat berbaik sangka mendorong kita untuk berkomunikasi dengan selesa. Perasaan syak dan wasangka menjadi penghalang kepada komunikasi antara perseorangan yang berkesan kerana syak sahaja sudah memadai untuk mencetuskan pelbagai masalah.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.’ (Al-Hujurat ayat 12)

‘Janganlah kamu berburuk sangka kerana berburuk sangka ialah seduta-dusta percakapa.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Tawaddhuk

Sifat tawaddhuk adalah sifat yang terpuji. Ia bermaksud merendahkan diri tanpa melampaui batas sehingga ke darjat yang menghinakan diri sendiri. Sifat yang berlawanan dengan tawaddhuk ialah takabbur.

Ulama-ulama telah memberi tiga faktor utama kepada sifat tawaddhuk ini iaitu:

i. memulakan salam apabila bertemu
ii. merelai tempat yang rendah daripada tempat yang mulia dalam majlis
iii. bencikan riak dan menjaga status

‘Tidak masuk syurga orang yang terdapat dalam hatinya sebesar zarah sifat takabbur.’
(Riwayat Muslim)

7. Bermanis muka dan tutur kata

Orang yang bermanis muka dan tutur kata akan memudahan orang untuk mesra dengannya. Senantiasa berwajah cerah dan menyembunyikan segala keluh-kesah. Wajah yang keluh-kesah dan masam membuatkan orang yang diajak berbicara merasa serba salah dan menyempitkan dada ketika berkomunikasi.

‘...dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik...’
(Al Baqarah ayat 83)

‘Jangan kamu memandang rendah kepada sebarang kebajikan sekalipun dengan engkau menemui saudaramu dengan muka yang manis.’ (Riwayat Muslim)

8. Pemurah dan menafkahkan harta kepada anak yatim

Sifat pemurah, tangan terbuka dan suka memberi merupakan tanda yang menunjukkan kemurahan hati. Manakala sifat bakhil, tamak dan haloba menunjukkan tanda kedekut, tamak dan mengganggap semuanya adalah milik dia seorang.

‘...sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia...’ (An Nisa’ ayat 128)

Saturday, January 08, 2011

Ted Williams, berubah selepas 48 jam

Dalam masa 48 jam, Ted Williams menjadi sensasi di Internet kerana memiliki ‘suara emas’ yang sesuai dipadankan dengan penyampai atau deejay radio di Amerika Syarikat. Pengguna Internet yang menggunakan enjin carian Yahoo! untuk mencari Williams terdiri daripada 56 peratus lelaki dan 94 peratus pengguna yang mencari Williams di laman sesawang memperolehi pendapatan kurang daripada US$50,000 setahun.

Google mencatatkan bilangan pengguna yang mencari nama Williams hari ini adalah setara dengan isu-isu hangat di negara itu seperti Wiliam Daley menjadi Ketua Staf Rumah Putih dan penulis sukan Biston adalah seorang pelaku homoseksual. Manakala AOL menyifatkan ‘Ted Williams’ termasuk dalam lima senarai yang teratas dalam tempoh dua hari lepas. Digg.com pula melaporkan nama tersebut adalah paling ramai yang dicari pada hari rabu lepas.

Kisah menarik pada Williams ini jarang berlaku kepada orang lain. Seorang lelaki yang meminta wang daripada orang ramai di tepi jalan raya dengan memegang kepingan kotak yang tertera tulisan tentang keadaan hidupnya, hari ini suaranya didengar di seluruh Amerika Syarikat dan menjadi perhatian di Internet.

Barangkali keadaan itu hanya berlaku di Amerika dan dia sendiri tidak mempercayainya. ‘There's no way in the world that I could ever imagine that I would be [here].’

Friday, January 07, 2011

Kuat bekerja

Tidak ada sebarang rahsia tersembunyi untuk berjaya dalam hidup. Yang ada hanyalah masalah yang datang silih berganti umpama ombak laut yang menghempas pantai. Mereka yang kuat bekerja akan dapat mengatasi masalah, tekanan dan cabaran untuk melangkah satu aras dalam fasa kehidupan.

Di persekitaran kita, di rumah, tempat kerja atau di kawasan tempat tinggal, peluang untuk meraih kejayaan sering direbut oleh orang-orang yang sentiasa berhadapan dengan cabaran. Selepas menyedari ada cabaran, mereka mula bergerak untuk mencari penyelesaian.

Kebanyakan ahli sukan diberi pendedahan tentang konsep ini. Mereka diingatkan untuk melihat setiap pesaing sebagai cabaran dan memulakan sesi latihan dengan tekun. Hanya yang gigih dan kuat bekerja yang akan mencapai kejayaan.

Dalam kalangan pekerja dalam organisasi swasta, mereka digalakkan kuat bekerja melalui pelbagai insentif seperti ‘employee of the month’, ‘the outstanding department’ dan sebagainya.

Kuat bekerja boleh menjamin kejayaan yang lebih besar sekiranya kita bijak menguruskan masa, disiplin dan tahu matlamat yang hendak dicapai.

Punca perselisihan Kristian - Islam Mesir

Oleh Dr. Saodah Abd. Rahman

Mesir merupakan sebuah negara Islam yang miskin walaupun dalam negara tersebut mempunyai pelbagai kesan bahan peninggalan sejarah. Negara ini memiliki tamadun kuno yang terhebat di dunia.

Mesir menjadi tarikan pelancong seluruh dunia kerana ia merentasi tamadun masyarakat penyembah berhala atau Pharonic dan tiga tamadun masyarakat yang menganut agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Pelancongan merupakan salah satu pendapatan terbesar Mesir.


Sistem ekonomi yang terlalu bergantung kepada pelabur asing yang dikenali sebagai Polisi Ekonomi Terbuka (Infitah/ The Open Door Economic Policy) menjadikan negara ini salah sebuah negara Arab yang dikuasai oleh para pelabur asing sehingga keuntungan negara tidak dapat dinikmati keseluruhannya oleh masyarakat Mesir.

Polisi ekonomi begini memberi peluang yang paling baik bagi pelabur asing menguasai ekonomi Mesir. Kajian yang dilakukan oleh seorang ahli ekonomi dalam tahun 1980-an menunjukkan 70 peratus daripada keuntungan hasil daripada pelaburan melalui polisi penswastaan begini dimiliki oleh pelabur asing dan 30 peratus dimiliki oleh golongan teknokrat dan elit Mesir.

Pelabur asing terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan British merupakan pelabur asing yang menguasi ekonomi Mesir. Sikap campur tangan AS dalam hal ehwal politik Mesir dengan menyediakan bantuan kewangan bagi melindungi para pemimpin Mesir membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat Mesir kepada pelabur Barat. Misalnya, dalam tahun 1981, AS memperuntukkan lebih daripada AS$30 juta untuk keselamatan Anwar Sadat. Seminggu selepas Sadat mendapat pengesahan keselamatannya daripada kedutaan AS, beliau dibunuh oleh Leftenan Khalid Islambuli, salah seorang anggota Jamaah Islamiyah dikenali sebagai Tanzim al-Jihad. Pembunuhan pada 6 Oktober 1981 di hadapan duta AS itu berlaku ketika perhimpunan menyambut kejayaan Perang Oktober 1973.

Sikap diktator atau kuku besi yang diamalkan oleh regim Mesir dalam menyelesaikan permasalahan politik bukan sahaja menyebabkan masyarakat Mesir sama ada beragama Islam atau Kristian merasai cemas dan gelisah malah ia juga menyebabkan ramai golongan muda terutama para pelajar universiti tempatan bangun memberontak dan menyertai pergerakan radikal seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wal-Hijrah. Tanzim al-Jihad merupakan satu pergerakan yang paling radikal di Mesir.

Tanzim al-Jihad wujud dalam tahun 1970-an. Pada permulaannya mereka adalah kumpulan daripada Akademi Tentera (al-Fanniyyah al-Askariyyah). Mereka melakukan percubaan untuk menjatuhkan regim melalui serangan terhadap Akademi Teknikal Tentera dalam tahun 1974.

Selepas kumpulan ini dihapuskan dalam konfrantasi berdarah dengan polis di Alexandria, pengikutnya dibahagikan kepada banyak kumpulan. Kumpulan tersebut tersebar di merata tempat termasuk Alexandria dan Naga' Hamdi.

Kebanyakan ahli kumpulan ini datang dari Giza, dari daerah Bulaq al-Dakrur dan Imbaba, Assiut, al-Minya dan Sohag. Pengaruh pergerakan ini yang paling kuat ialah di bahagian utara Mesir.

Ahli pergerakan ini terdiri daripada golongan profesional. Sebahagian daripada mereka adalah graduan lelaki dan wanita dari universiti dan kolej terkemuka di Mesir iaitu daripada fakulti perubatan, farmasi dan kejuruteraan serta individu yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi, seperti televisyen, radio dan telefon.

Sebelum 1981, pergerakan ini mempunyai dua ratus ribu ahli. Ahli-ahlinya diwajibkan mempelajari perkara berkaitan dengan ketenteraan, undang-undang umum, latihan teori skil penggempur, menggunakan senjata dan bom. Mereka juga mengkaji tingkah laku dan kehidupan seharian individu yang memimpin negara.

Mereka juga melantik sebahagian ahlinya mendapat maklumat mengenai tempat-tempat dan kegemaran individu yang akan diserang. Mereka diajar cara menggunakan kod untuk menulis maklumat. Bagi menjamin keselamatan ahli-ahli kumpulan, mereka menggunakan nama samaran sepertimana Khalid Islambuli diberi nama Zafir.

Sikap campur tangan kuasa Barat dalam hal ehwal politik dan ekonomi Mesir bukan sahaja menyebabkan golongan radikal beranggpan mereka adalah musuh Islam, malah penganut agama Kristian di Mesir juga menjadi sasaran serangan kumpulan ini.

Kristian Koptik merupakan penduduk majoriti Kristian. Gerejanya terpisah daripada Eastern Orthodox Church (Gereja Ortodox di bahagian timur) dan Gereja Roman Khatolik dalam tahun 451 Masihi. Selain daripada Kristian Koptik, Kristian Katholik dan Kristian Evangelical juga merupakan penghuni Mesir.

Pembunuhan dan pengeboman terhadap gereja mungkin mempunyai kaitan dengan pergerakan Tanzin al-Jihad kerana apabila dikaji ideologi pergerakan ini jelas menunjukkan mereka beranggpan orang Kristian Koptik di Mesir adalah musuh Islam.

Pergerakan Tanzim al-Jihad menghalalkan pembunuhan terhadap orang yang dianggap kafir walaupun orang itu Islam. Pergerakan ini juga mengharuskan pembunuhan orang Kristian dan merompak kedai emas mereka. Contohnya di Naga Hamadi, mereka menyerang orang Kristian dan kedai emas kerana pada pandangan mereka, orang Kristian menyokong gereja untuk menentang orang Islam.

Mereka beranggapan Anba Shenouda iaitu Pope Gereja Koptik Mesir sebagai seorang musuh yang aktif terhadap Islam. Mereka menggelarnya sebagai al-kafir Shenouda al-Nasrani (Shenouda Kristian kafir).

Serangan terhadap gereja dan orang Kristian Mesir sering berlaku di kawasan-kawasan yang dihuni oleh ahli-ahli pergerakan Tanzim al-Jihad sejak tahun 1970-an. Contohnya semasa sambutan parayaan Krismas dalam tahun 1979 berlaku siri pengeboman di kawasan Utara Mesir.

Pada Januari 1980 Tanzim al-Jihad menyerang dan mengebom gereja-gereja di Alexandria. Pada musim panas dalam tahun 1981, pergerakan ini terlibat dalam pengeboman Rof al-Farag dan Zawiyya Hamra ketika berlaku pertempuran dengan Kristian Koptik.

Sikap pemimpin kedua Gereja Koptik, Bishop Bishoy yang cuba mempersoalkan ketulenan al-Quran juga boleh menyebabkan kedudukan Kristian tidak selamat. Pada bulan September 2010 Bishop Bishoy menegaskan bahawa sebahagian ayat al-Quran mungkin merupakan tokok tambah selepas kematian Rasulullah SAW dan perlu dikaji semula.

Kenyataan beliau disanggah oleh Ahmed Tayyeb, Imam Besar Mesir dengan menegaskan sikap Bishop tersebut boleh menggugat perpaduan negara. Berikutan peristiwa itu Pope Shenouda III memohon kemaafan kepada umat Islam melalui siaran televisyen.

Ketangkasan dan kelicikan pergerakan ini bukan sahaja sukar untuk ditangani oleh kerajaan Mesir malah ia juga menggerunkan orang Kristian negara itu. Pembunuhan orang Kristian dan kemusnahan gereja sering berlaku di kawasan di mana pergerakan ini bertapak.

Misalnya pada Oktober 2010 tembakan berlaku di satu lorong di Naga Hamadi berhampiran gereja ketika orang Kristian Koptik selesai menyambut malam perayaan Krismas. Dalam peristiwa ini enam orang Kristian dan seorang pengawal keselamatan beragama Islam terbunuh.

Peristiwa serangan gereja Koptik di Alexandria pada 1 Januari 2011 waktu malam ketika Kristian Koptik menyambut tahun baru menyebabkan tujuh orang terbunuh dan 24 orang cedera mungkin dilakukan oleh ahli pergerakan Tanzim al-Jihad kerana Alexandria merupakan salah satu kawasan pergerakan tersebut.

Sistem kepimpinan dan pentadbiran yang tidak tersusun dan pengabaian terhadap keperluan asas rakyat adalah punca utama kepada kewujudan golongan radikal dan perselisihan kaum dan agama. Oleh itu para pemimpin dan pentadbir negara Islam perlu memperkukuhkan sistem kepimpinan dan pentadbiran negara supaya rakyat merasai selesa dan terbela.

Jabatan Usuludidin dan Perbandingan Agama
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

(Utusan Malaysia, 7 Januari 2011)

Thursday, January 06, 2011

Daya tahan

Apabila kita bekerja dan menunaikan tanggungjawab dengan baik, insya Allah kita akan dinilai dan diberi penghargaan. Hanya mereka yang gigih dan menepati kehendak jabatan atau organisasi yang layak mendapat pernghargaan ini, namun tahukah kita apakah nilai-nilai yang wujud di dalam diri pekerja cemerlang ini?

Salah satu daripadanya ialah daya tahan. Daya tahan sangat berkait rapat dengan keupayaan diri untuk bertindak tanpa mengira apa juga keadaan yang berlaku.

Organisasi atau syarikat yang besar biasanya memiliki matlamat, visi dan misi yang besar. Kadang kala pekerja-pekerja syarikat tidak mampu untuk merealisasikannya kerana kurang faham selain tidak tahu cara untuk mencapai matlamat tersebut.

Oleh itu cabaran untuk merealisasikan visi dan misi sangat besar dan hanya pekerja yang memiliki daya tahan yang tinggi dapat melakukannya. Kekalkan matlamat, insya Allah daya tahan juga akan terus berkekalan.

Wednesday, January 05, 2011

Mengurus marah

Dalam sukan, kalah dan menang adalah adat pertandingan. Bagi atlit yang kalah dan dapat menerima kekalahan, mereka menerimanya dengan senang hati dan bersikap terbuka. Tidak ada kata-kata hinaan dan cacian, sebaliknya kata-kata semangat untuk lebih berjaya pada kejohanan yang akan datang.

Dalam satu acara sukan, seorang atlit dari Australia, Sally Pearson telah gagal dalam bantahannya untuk mengekalkan kemenangan kerana larian yang tidak sah. Biar pun kecewa, kata-kata dan sikap terbuka yang dipamerkan amat menakjubkan bagi seorang yang berada di pihak yang kalah.

‘Ia tidak memihak kepada saya dan saya perlu menerimanya. Saya akan memikul emosi, kemarahan dan kekecewaan serta berharap agar melupakannya. Ia sangat teruk namun saya perlu menanganinya kerana ia adalah cara sukan itu berjalan.’

Keupayaan mengawal emosi ketika kalah menunjukkan tahap kewarasan yang tinggi. Emosi yang dapat dikawal mampu menghalang berlakunya sesuatu yang lebih buruk sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Serasi membawa setia

‘Saya tidak akan berganjak daripada keputusan akan keluar daripada BAM seandainya kemelut ini gagal diselesaikan. Saya setia dengannya (Misbun) kerana dialah yang membuatkan saya berjaya hari ini.’ (Lee Chong Wei, pemain badminton Malaysia)

Situasi yang sedang berlaku di dalam badan induk Persatuan Badminton Malaysia ketika ini mengaitkan sekali pemain paling hebat, Lee Chong Wei yang lebih berminat untuk dilatih oleh Misbun Sidek berbanding orang lain.

Misbun merupakan bekas pemain badminton Malaysia yang berjaya dan bertindak selaku jurulatih kepada beberapa pemain muda yang ingin menjadi pemain badminton profesional. Teknik dan corak latihan yag diketengahkan oleh Misbun telah menjulang nama Lee Chong Wei di pentas antarabangsa.

Apa yang menarik mengenai petikan ucapan di atas ialah ayat mengenai kesetiaan pemain kepada jurulatih, kesetiaan anak didik kepada guru dan kesetiaan rakan kepada rakannya. Ayat ‘saya setia dengannya’ membawa maksud yang sangat tinggi nilainya bagi seorang yang mahu dididik dan hendakkan perubahan yang lebih baik.

Dalam sukan, keserasian menjadi salah satu kriteria kepada gandingan jurulatih dan atlit. Keserasian membuka ruang kepada komunikasi yang lebih terbuka, membina keyakinan diri dan meningkatkan kefahaman pemain. Di negara-negara maju, keserasian dibayar dengan upah yang tinggi kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada resepi kejayaan. Sama ada pasukan tersebut kecil ataupun besar, keserasian mesti diwujudkan supaya setiap pemain, jurulatih dan pengurus pasukan dapat merasai semangat perjuangan yang kental.

Proses komunikasi menjadi lebih mudah apabila terdapat elemen kejayaan demi kejayaan. Setiap tunjuk ajar, nasihat atau teguran akan diberi perhatian supaya prestasi pemain menjadi lebih baik. Apabila sentiasa bersama, interaksi menjadi lebih mudah dan hubungan menjadi akrab.

Selain Lee Chong Wei, pasukan bolasepak Harimau Malaya turut mempamerkan keserasian dalam permainan mereka apabila berjaya memenangi Piala AFF Suzuki 2010. Ketua Pasukan, Safiq Rahim berkata beliau telah bersama dengan jurulatih, K. Rajagobal sejak berusia 17 tahun. Justeru sudah tahu corak latihan yag diberikan oleh jurulatih berkenaan.

Dalam apa juga usaha, kerja atau aktiviti yang dilakukan, kita memerlukan seorang yang boleh disandarkan kesetiaan untuk membimbing dan melatih ke arah kejayaan. Selain teknik dan strategi, pembinaan psikologi pemain juga wajar menjadi perhatian kerana ia mampu melonjakkan prestasi pemain ke peringkat antarabangsa.

Tuesday, January 04, 2011

'Harimau Malaya' sudah sebati

Oleh Shaarani Ismail dan Sazarina Shahrim

Penggunaan lambang Harimau Malaya dan gelaran haiwan itu yang diberikan kepada pasukan bola sepak negara tidak ada sangkut paut dengan semangat Tanah Melayu (Malaya) tetapi ia diambil bersempena semangat Harimau Malaya atau Malayan Tiger atau nama saintifiknya (panthera tigris malayensis) yang digunakan sejak sekian lama termasuk pada jata negara dan logo pelbagai agensi dan institusi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata lambang spesis Harimau Malaya sudah digunakan pasukan bola sepak negara dan tidak seharusnya ia menjadi isu kerana ia merujuk kepada spesis Harimau Malaya yang sifatnya penuh dengan semangat keberanian.

“Saya cuba tekankan bahawa lambang yang menjadi ikon kepada pasukan kebangsaan pada jersi dan pakaian rasmi ahli sukan terdapat belang harimau dari spesis Harimau Malaya.

“Jadi kalau kita rujuk dalam ensiklopedia mahupun wikipedia, nama yang digunakan adalah nama saintifik, begitu juga dengan Harimau Bengal atau Harimau Sumatera, mahupun kucing Parsi atau kucing Siam, tidak semestinya hanya orang Parsi atau orang Siam saja yang boleh memeliharanya.

“Kebetulan Harimau Malaya itu hanya ditemui di Semenanjung dan tidak terdapat di Borneo dan asas digunakan adalah sifat berani, corak belang serta habitatnya sebagai asas penilaian,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil Pengakap Malaysia ke Persidangan Pengakap Antarabangsa di Brazil, di pejabatnya, semalam.

Ahmad Shabery mengulas laporan berhubung kenyataan beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah meminta gelaran Harimau Malaya untuk pasukan bola sepak negara diubah kepada Harimau Malaysia bagi mencerminkan konsep 1Malaysia.

Menurutnya, lambang dan nama Harimau Malaya jelas semata-mata simbol dan perlu dikekalkan, namun pihaknya tidak menolak mana-mana cadangan yang mahu namanya ditukar bagi memastikan ia berperanan melambangkan kesepaduan masyarakat Malaysia.

“Bagaimanapun, jika mahu nama yang menjadi simbol ikon bola sepak itu ditukar maka kita terpaksalah melupakan spesis berkenaan dan jika mahu ia dikaitkan dengan nama pasukan bola sepak, kita lupakan belang yang ada dan kita lupakan ciri-ciri makhluk yang digelar Harimau Malaya.

“Kita boleh panggil pasukan bola sepak kita pasukan Harimau Malaysia tetapi tidak boleh dikaitkan dengan spesis Harimau Malaya kerana Harimau Malaysia memang tidak wujud,” katanya.

(Berita Harian, 04/01/2011)