Tuesday, March 08, 2011

Ramai kawan, hati senang

Jaringan atau networking menjadi nadi dalam bisnes kerana lebih banyak jaringan, lebih ramai orang yang tahu bisnes yang dilakukan. Seorang kenalan saya merupakan usahawan yang berjaya. Dalam masa 20 tahun, beliau telah membina empayar perniagaan dengan memiliki 10 buah anak syarikat yang memberi fokus kepada industri kimia.

Saya bertanya kepadanya bagaimana dia boleh maju dalam bisnes dan masih bertahan sehingga kini? Bagi usahawan ini, salah satu daripada sifatnya dari dulu hingga sekarang ialah menyertai ekspo di seluruh dunia. Bermula dengan ekspo, syarikatnya telah membuat jaringan kerjasama dengan usahawan dalam dan luar negara. Ada tiga tip untuk menambahkan jaringan ini.

Pertama, peramah. Ringan mulut untuk menegur atau menyapa orang lain. Wajah mesti sentiasa menunjukkan keceriaan dan gembira supaya emosi positif dapat sampai kepada orang lain. Seterusnya bercakap dengan senang hati.

Kedua, hulur bantuan. Ada masanya kenalan baru menghadapi masalah, ketika ini bolehlah kita memberi bantuan supaya dia berasa senang hati.

Ketiga, ambil peluang berkenalan dengan orang di sebelah kita. Berikan business card, bertukar-tukar nombor telefon atau apa saja yang dapat membina jaringan bisnes kita.

No comments:

Post a Comment