Macam tidak percaya. Kalau di Kuala Lumpur mahu sepuluh ringgit. Di Melaka, sangat murah, belum pernah saya dapat harga macam ini.
Seorang rakan menayang rambut barunya ketika kami minum di restoran Jalan Hang Tuah. Selepas agak lama tidak berjumpa, kami berborak panjang. Katanya dia gagal dalam usahanya untuk mendapat geran penyelidikan universiti. Alasannya kerana tidak menepati kehendak universiti. Masalahnya, permohonan yang dihantar telah ditolak di peringkat fakulti, macam mana hendak lulus di peringkat universiti. Lalu saya mempelawanya untuk menjadi sebahagian daripada co-researcher kerana saya dapat geran penyelidikan dari universiti- tanpa pindaan ke atas proposal. Bangga rasanya.
Selepas minum, kami menuju ke kedai gunting rambut yang dimaksudkan. Petang-petang macam ini memang tidak ada pelanggan. Lalu saya dipersilakan duduk untuk dipangkas rambut. Sekejap saja sudah siap. Saya bertanya berapa harganya. Jawab tukang gunting: empat ringgit.
Saya rasa macam salah dengar. Saya tanya sekali lagi. Berapa cik? Jawabnya: empat ringgit. Ya, betullah, empat ringgit saja. Saya seluk saku baju dan hulurkan sekeping wang lima ringgit. Rasa ringan saja mulut hendak beritahu: 'saya bayar lima ringgit' tapi tidak sampai hati sebab tukang gunting sudah tetapkan empat ringgit.
Rupa-rupanya dalam kita membazirkan wang berbelanja besar untuk memotong rambut, ada juga kedai gunting rambut yang tidak mengambil untung yang besar. Insya Allah kedai gunting rambut ini akan menjadi pilihan saya pada masa depan.
Wah... Murahnya...
ReplyDeleteKedai gunting di mana tu?