Gempa bumi 8.9 Richter membawa ombak besar atau tsunami ke bahagian timur laut Jepun. Dianggarkan lebih 10,000 orang terkorban dan beribu yang lain dilaporkan hilang. Kemusnahan sangat jelas. Reuters dan agensi akhbar seluruh dunia memberi liputan meluas kejadian yang menimpa Jepun kali ini.
Gempa bumi dan tsunami adalah perkara biasa bagi rakyat Jepun kerana negara itu terletak di atas lingkaran gunung berapi dan gempa. Rakyat Jepun telah bersedia dengan pelbagai alat keselamatan dan kaedah menyelamatkan diri ketika bencana ini. Namun, persediaan yang dibuat oleh manusia gagal menyelamatkan amukan bencana alam yang memusnahkan apa sahaja.
Selain harta benda, rumah dan kenderaan turut musnah dan hancur sama sekali. Anak-anak menangis ketakutan, orang tua didukung dan para pekerja dalam bangunan tinggi lari menyelamatkan diri. Tidak ada emosi gembira kali ini kerana kemusnahan yang dialami sangat dahsyat. Setor kereta di pelabuhan dibawa arus tsunami. Kapal yang berlabuh sama ada kecil atau besar turut dilambung ombak dan dibawa arus jauh ke bandar.
Di mana-mana saja, pekan atau bandar, kemusnahan melata. Pokok patah, rumah hanyut, bangunan terbakar dan pencemaran sampah menghiasai persekitaran Sendai selepas dua hari gempa dan tsunami besar. Gambar dan video yang disiarkan di seluruh dunia telah menggamit bantuan datang mencurah-curah ke Sendai, Tokyo dan bandar raya lain. Empat negara terawal yang bersiap sedia menghantar bantuan anggota penyelamat ialah Jerman, Sweden, Perancis dan Korea Selatan. Mereka membawa peralatan teknologi tinggi dan kemahiran maksimum untuk operasi mencari dan menyelamat.
Ketika operasi peringkat negara sedang dijalankan, bagaimana pula dengan kemahiran yang ada dalam kalangan anggota sukarelawan kita khususnya pertubuhan bukan kerajaan? Apakah mereka bersiap sedia dengan kemahiran dan tahap keyakinan yang tinggi? Barangkali kita hanya mahir dengan bantuan ketika banjir atau tanah runtuh tetapi belum teruji dengan gempa bumi dan tsunami di negara sendiri.
Barisan pemuda yang dibentuk wajar menerapkan modul kemahiran yang merangkumi semua bentuk bencana supaya pemuda-pemuda kita bersedia dengan semua kemahiran dalam sebarang keadaan malapetaka. Gempa, banjir, tanah runtuh, kebakaran atau kemalangan yang melibatkan kecemasan mesti didedahkan kepada mereka. Jika mampu, pasukan pemuda ini perlu dihantar ke tempat bencana untuk merasai sendiri kepayahan dan kesusahan berada di kawasan bencana. Malah pengalaman bersusah-susah membantu mangsa bencana adalah kepakaran yang sangat berguna. Seterusnya agensi perlu mewujudkan institusi latihan yang dibuka kepada orang ramai untuk bersama-sama mendapat kepakaran di samping mendedahkan agensi kepada masyarakat awam.
Bencana alam bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa malah meningggalkan kesan trauma yang berpanjangan. Justeru, kemahiran yang mesti diterapkan kepada pemuda ialah kemahiran kaunseling. Mereka perlu menguasai sekurang-kurangnya bahasa Inggeris supaya urusan komunikasi berjalan dengan sempurna.
Jepun menjadi medan terbaik kepada pemuda untuk merasai pengalaman menyelamat dan memberi khidmat di samping menyemarakkan dakwah dan tarbiyah. Ketika Jepun menangis kerana gempa dan tsunami, kita berdoa semoga mangsa bencana alam di sana mampu mengharungi detik-detik sukar ini dengan tabah.
No comments:
Post a Comment