Amerika Syarikat dan Britain memulakan serangan ke atas Libya menyebabkan 48 orang terbunuh. Dalam kejadian ini, kedua-dua buah negara mula menunjukkan kehebatan mereka dengan menceroboh negara asing bermandatkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di sebalik persetujuan negara-negara sekutu, Rusia, China dan Kesatuan Afrika mahukan serangan tersebut dihentikan segera.
Tindak-tanduk Amerika Syarikat dan sekutu rapatnya Britain dalam perang di Iraq dan Afghanistan telah menjadi makluman umum. Di Iraq mereka berjaya menangkap Saddam Hussein dan menubuhkan kerajaan yang pro kepada kehendak dan polisi yang diinginkan. Manakala di Afghanistan, kedua-dua negara itu masih bergelut untuk menamatkan perang kerana sehingga kini tidak banyak kemajuan yang diperoleh di sebalik kematian demi kematian askar masing-masing.
Libya memiliki sebuah kerajaan yang sah dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Kelebihan Libya ialah negara itu memiliki sumber minyak yang banyak dan menarik banyak syarikat cari gali dari seluruh dunia khususnya China. Tidak banyak syarikat dari Barat kerana presiden negara itu, Muamar Ghadafi tidak memandang Barat sebagai rakan. Situasi ini menyebabkan Amerika Syarikat dan Britain serta Perancis menyimpan dendam kepada presiden itu.
Adakah Libya akan ditawan selepas ini? Hanya masa yang dapat menentukannya kerana serangan peluru berpandu Tomahawk dilancarkan setiap masa. Kemusnahan mula dilihat di kawasan Benghazi dan Misrata dan menghampiri Tripoli. Satu persoalan yang sangat menarik di sebalik serangan ini ialah kenapa Amerika Syarikat dan Britain begitu bersungguh-sungguh untuk mempertahankan rakyat Libya yang tidak sehaluan dengan Ghadafi? Kenapa kedua-dua negara ini tidak menghadirkan diri di Yemen, Bahrain atau Mesir baru-baru ini?
Krisis di seluruh penjuru dunia masih belum selesai dan kini peperangan mula meletus di Libya. Jepun masih belum dapat membebaskan diri dari gempa bumi, tsunami dan radiasi nuklear, negara-negara di Timur Tengah pula sedang ditiup angin perubahan politik manakala di benua Afrika, perebutan politik negara tidak pernah berhenti. Kemasukan Amerika Syarikat dan negara-negara penakluk ke seluruh benua menyebabkan lebih banyak masalah yang muncul dan tidak membantu kepada penyelesaian. Sekiranya Muamar Ghadafi tewas dan Libya jatuh ke tangan pemberontak, bagaimana nasib Ghadafi selepas itu? Ke mana pula hala tuju Libya dalam arena antarabangsa?
Banyak persaoalan yang mesti dijawab untuk menyelesaikan konflik dan kemelut politik di Libya kerana kesan jangka masa panjang bukanlah terletak kepada Amerika Syarikat atau masyarakat antarabangsa sebaliknya rakyat Libya sendiri. Amerika Syarikat, Britain dan Perancis bersedia menghulurkan bantuan untuk memerangi Ghadafi kerana mereka terasa terancam apabila telaga minyak dibom dan dimusnahkan menyebabkan bekalan minyak dunia berkurangan. Keadaan ini menjadikan kenaikan harga minyak tidak dapat dielakkan dan menjejaskan negara-negara Barat untuk memacu pembangunan ekonomi masing-masing.
Hakikatnya, matlamat Amerika Syarikat dan sekutunya adalah pasaran minyak. Ghadafi dan rakyat Libya tidak berada di hati mereka.
No comments:
Post a Comment