Wednesday, March 16, 2011

Mangsa bencana di Jepun perlu dibantu segera

Kegelisahan masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara di Asia tidak dapat disekat apabila reaktor nuklear di Fukushima meletup. Kesan letupan ini meningkatkan risiko penduduk di negara-negara berhampiran Jepun untuk mendapat radiasi. Penduduk yang tinggal dalam radius 30 kilometer diminta segera berpindah manakala di radius yang lebih jauh, penduduk diminta menutup tingkap dan pintu rumah masing-masing. Setiap penduduk yang dijangka berpotensi terdedah kepada radiasi serta-merta diperiksa tahap pendedahan kepada radiasi dan kesihatan mereka dipantau.

Jepun sedang merana ketika ini. Gempa bumi, tsunami dan letupan rektor nuklear menyebabkan pasaran saham negara itu menjunam lebih 1000 mata dalam sehari. Keyakinan pelabur ke atas sektor tenaga amat kurang menyebabkan mereka menjual saham masing-masing. Apa lagi yang harus negara itu terima ujian? Bagaimana pula kita boleh membantu meringankan beban rakyat Jepun yang menderita setiap hari ketika ini? Apakah dengan memberi wang sumbangan sudah memadai?

Situasi di Jepun ketika ini amat berbeza ketika tsunami di Acheh, Indonesia kerana di Acheh, tidak wujud ancaman kebocoran nuklear. Masyarakat antarabangsa pula berpusu-pusu membantu. Di Jepun amat jauh bezanya kerana pasukan penyelamat dari luar masih ragu-ragu dengan tahap keselamatan anggota pasukan. Tambahan pula, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency) menyifatkan letupan berkenaan berada pada paras enam, satu takuk kurang berbanding letupan di Chernobyl, Rusia. Seorang lelaki menjerit, ‘We have to get out of here now!’ manakala seorang lagi berkata, ‘It's just not safe anymore.’ Rata-rata orang ramai termasuk pelancong tidak mahu tinggal berhampiran kawasan malapetaka kerana berasa tidak selamat. Para pelancong dan pelawat memenuhi lapangan terbang untuk keluar dari Jepun.

Bantuan paling penting kepada mangsa gempa dan tsunami serta radiasi nuklear ketika ini ialah doa yang berterusan. Doa supaya mereka selamat, sabar dengan ujian Tuhan dan melihat harapan masa depan. Kerajaan Jepun dan masyarakat antarabangsa sedang berhempas-pulas memberi bantuan dan khidmat yang terbaik supaya kemalangan jiwa tidak bertambah.

Rangsangan untuk terus positif menjadi azimat berguna kepada mangsa bencana kerana biasanya mereka akan berhadapan dengan trauma yang menyebabkan gangguan pada kesihatan dan fikiran. Ada antara mangsa ini yang tidak dapat melelapkan mata, hilang selera makan, badan susut dan kesan psikologi yang berpanjangan khususnya kanak-kanak. Bayangkan apa yang mereka fikirkan apabila melihat rumah kediaman dihanyutkan ombak besar, kereta dibadai, jiran tetangga hilang sekelip mata dan binatang peliharaan mati bergelimpangan. Tentulah mereka sedih.

Sumbangan wang ringgit juga penting kerana dapat digunakan untuk membeli barang keperluan mangsa. Sehingga kini, lawan web Yahoo! telah menyiarkan rayuan untuk pelayar Internet menyumbang kepada institusi kebajikan yang mengambil bahagian. Jumlah derma terkumpul ialah US$1.7 juta. Kerajaan-kerajaan negara sahabat yang bersimpati dengan Jepun turut membuat sumbangan masing-masing bagi meringankan beban kerajaan Jepun.

Derita mangsa bencana harus dikongsi bersama dan bukannya dengan menyiarkan kartun yang memperli ketakutan Ultraman yang cabut lari dari tsunami. Mentaliti mempersenda ketika orang lain sengsara adalah mentaliti tidak tahu malu. Akhbar yang menyiarkan lakaran ini sudah pun diberi amaran. Ketua editor akhbar ini patut berundur kerana kesan menerbitkan kartun bernada sinis itu bukan sekadar sehari dua malah bertahun-tahun. Setiap tahun pasti mangsa bencana akan memperingati tarikh 12 Mac, mereka juga akan mengingati siapa yang bersimpati dan siapa yang memperli.


Kepada mangsa gempa di Sendai, Tokyo dan bandar-bandar lain, didoakan mereka tabah dan sabar dengan kejadian yang menimpa.

No comments:

Post a Comment