Apa sahaja yang kita berikan perhatian akan berkembang. Beri perhatian kepada bunga-bungaan di sekitar rumah, bunga-bunga akan berkembang mekar. Beri perhatian kepada minat dan hobi, keghairahan dan pengetahuan kita akan bertambah. Inilah sifat memberi perhatian. Ke mana sahaja kita mengarahkan perhatian, objek atau subjek berkenaan akan berkembang.
Semasa berbual-bual dengan rakan-rakan sekerja atau bercakap dengan anak-anak remaja, tanyakan kepada mereka apakah hasil akhir yang mereka inginkan dalam hidup. Apabila kita memuji rakan-rakan yang sedang berusaha gigih dalam bidang dan profesion masing-masing, beri perhatian kepada hasil yang mereka capai kerana daripada pencapaian berkenaan, kita boleh mengagak ke mana hasil akhir kesudahan kerja mereka.
Memberi perhatian atau tumpuan sangat bertenaga kerana ia seolah-olah seperti wang yang boleh membeli banyak benda. Ia adalah harta yang terpendam yang jarang diberi keutamaan. Belajarlah memberi perhatian dan kita akan lihat perbezaannya.
No comments:
Post a Comment