Penulis: Setia Hadi Lubis
Tahun: 2006
Penerbit: FBA Press, Tangerang, Indonesia.
Muka Surat: 153
Halaqah atau usrah semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi dan aktivis yang memperjuangkan cara hidup Islam. Kelompok ini menjadikan halaqah sebagai program wajib setiap minggu. Ada kalanya halaqah mendapat sambutan luar biasa kerana ahli-ahlinya begitu teruja hendak mengetahui pelaksanaan halaqah. Ada kalanya juga ia berjalan dengan hambar ibarat ‘hidup segan mati tak mahu.’
Justeru kehadiran buku kecil ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan dan galakan kepada gerakan aktiviti dakwah dan tarbiyah di samping meningkatkan keberkesanan pelaksanaan halaqah yang diadakan. Kandungannya membahaskan kaedah mewujudkan halaqah yang berjaya dan bagaimana halaqah dapat berjalan dengan lancar dan dinamik dan progresif.
Seringkali terdapat kelompok halaqah yang kurang menarik dan membosankan. Perjalanan halaqah yang kurang stabil kerana tidak cukup korum, ahli yang sering datang lewat atau kurang berdisiplin dalam pengurusan diri. Keadaan ini mengundang rasa jemu yang berpanjangan secara tidak langsung menjadikan keseluruhan proses tarbiyah menjadi lesu dan kaku.
Bagi menjadikan halaqah sebagai instrumen tarbiyah yang berkesan, ahli-ahli halaqah wajar mempastikan halaqah mereka berjalan dengan cemerlang (muntijah). Tanpa keinginan berkenaan, ia tidak memberi sebarang makna kepada jemaah dan organisasi. Hanya halaqah yang memiliki orientasi cemerlang yang berperanan secara signifikan untuk membina umat.
Buku istimewa ini sangat baik untuk dimiliki oleh ahli-ahli halaqah supaya mendapat gambaran yang jelas tentang halaqah yang muntijah. Ia merangkumi ahli dan pimpinan halaqah kerana kedua-duanya berperanan menggerakkan kejayaan berhalaqah.
No comments:
Post a Comment