Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Jalan tengah sebagai penyelesaian kemelut yang melanda selatan Thailand tidak bergantung kepada apa yang diputuskan Kerajaan Pusat semata-mata, sebaliknya keadilan ekonomi dan politik boleh dicapai melalui usaha keras masyarakat setempat.
Rumusan itu dibuat Pengarah Eksekutif Institut Wahid, Ahmad Suaedy, yang menjalankan kajian selama tiga bulan bermula Jun hingga September lalu di tiga wilayah majoriti Melayu Islam, iaitu Yala, Patani dan Narathiwat.
Katanya, walaupun Kerajaan Thailand menunjukkan usaha ke arah mencari perdamaian di wilayah bergolak itu, pembabitan berterusan daripada masyarakat tempatan, terutama kumpulan penggerak pembebasan tetap memainkan peranan penting.
"Matlamat utama setiap pihak untuk mencari penyelesaian sama ada mendapatkan kemerdekaan atau autonomi dan semua itu boleh tercapai melalui kesungguhan semua pihak, sama ada kerajaan atau kumpulan masyarakat.
"Selain desakan, jalan lain ialah melalui rundingan dan nampaknya perkara itu sedang berlaku dalam pergerakan sosial di selatan Thai," katanya ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk Pergerakan Minoriti Islam di Thailand: Dari Sempadan ke Tengah.
Ceramah anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) itu memberi peluang kepada Ahmad berkongsi hasil kajiannya di selatan Thai yang menjadi sebahagian daripada penyelidikannya mengenai minoriti Islam di Thailand, Malaysia (Pulau Pinang) dan Filipina.
Ahmad berkata, tidak benar pemberontakan, pemisahan dan keganasan menjadi pilihan utama Melayu Islam di tiga wilayah berkenaan untuk menuntut keadilan tetapi berdasarkan sejarah, mereka sudah lama ditekan serta ditindas.
Katanya, masyarakat Melayu Islam di sana dilarang bercakap dan belajar bahasa serta budaya mereka sama ada di sekolah atau tempat kerja sementara 60,000 askar ditempatkan di merata tempat pemeriksaan dan pos tentera.
Disebabkan penindasan yang terlalu lama itu, suka atau tidak Melayu Islam di selatan Thai terpinggir daripada politik nasional hingga ke tahap mereka dipanggil sebagai warga negara kelas kedua dibandingkan majoriti rakyat Thai atau Siam oleh sesetengah ahli sarjana.
Malah, hingga sekarang Kerajaan Thai melihat ketiga-tiga wilayah yang majoritinya Melayu Islam sebagai jajahan takluk dan tidak setaraf dengan wilayah Thai lain dan ini secara tidak langsung menimbulkan reaksi masyarakat di sana.
Ahmad berkata, peristiwa pembunuhan di Masjid Kerisek dan Tak Bai pada 2004, menyebabkan Kerajaan Pusat mempertingkatkan pengawasan dan mengumumkan perintah darurat serta memindahkan kuasa kepada tentera, bukan lagi polis.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak melunturkan semangat Melayu Islam menuntut keadilan, sebaliknya semangat itu terus membara dan kini diterjemahkan dengan menguatkan masyarakat awam melalui peningkatan kesedaran mengenai kepentingan hak asasi.
Ini termasuk meningkatkan pengetahuan mengenai budaya, pembabitan dalam perbincangan politik dan perbahasan umum serta rundingan dengan Kerajaan Pusat atau pergerakan sosial.
"Boleh dikatakan semua yang ditemubual mengatakan insiden itu banyak memberi manfaat kerana mereka berjaya memaksa Kerajaan Pusat dan dunia, terutama Asia Tenggara membuka mata mereka terhadap penindasan dan diskriminasi yang berlaku di selatan Thai.
"Walaupun ada yang tidak bersetuju dengan tindakan keganasan, mereka menghormati pihak pemberontak dan puak pemisah yang nekad menggunakan cara masing-masing untuk mencapai hasrat mereka.
"Realitinya, sejak 2004 Kerajaan Pusat nampaknya mula memberi perhatian kepada hak budaya seperti membenarkan pembelajaran tulisan Jawi dan Melayu di sekolah. Walaupun tiada asas undang-undang, perkembangan itu memberi harapan kepada usaha seterusnya," katanya.
Merujuk kepada hujah mengenai keperluan memantapkan pergerakan sosial dalam usaha mencapai keadilan, Ahmad menceritakan temu bual dengan Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismail Lutfi Pathani.
Beliau berkata, Dr Ismail memberi tiga pilihan untuk menyelesaikan masalah di selatan Thai, iaitu kemerdekaan, autonomi atau menjadi sebahagian daripada Thailand dengan syarat jaminan kebebasan dan hak sama rata.
Katanya, ilmuwan itu berhasrat selatan Thai menjadi sebahagian dari Thailand kerana inginkan keamanan dan jaminan bahawa masyarakat wilayah itu mempunyai kebebasan dan hak sama rata kerana mereka mempunyai tradisi serta budaya tersendiri.
Selain Dr Ismail, penggerak keamanan, Ahmad Somboon Bualuang turut berjuang menuntut keadilan tetapi menggunakan pendekatan sedikit berbeza, iaitu menekankan usaha keamanan melalui proses rundingan antara kumpulan pemberontak dan puak pemisah dengan kerajaan.
Menyedari usaha itu bukan mudah, lelaki berusia 58 tahun itu tetap melakukannya demi memastikan wujud komunikasi dan persefahaman antara pelbagai pihak yang berjuang mencapai matlamat yang sama.
"Bagaimanapun hubungan baik antara pemberontak dan puak pemisah membolehkan Ahmad Somboon mengemukakan pandangannya kepada kedua-dua pihak. Begitu juga hubungan rapat dengan kerajaan, beliau dipanggil dalam mesyuarat.
"Beliau berani memberitahu kerajaan bahawa apa yang dilakukan belum cukup untuk mengeluarkan Melayu Islam daripada keadaan mereka sekarang ini yang ketinggalan dalam banyak bidang hingga menyebabkan mereka terus rasa ditindas," katanya.
Melihat kepada kesungguhan serta usaha berterusan penggerak pembebasan itu, Ahmad melalui pemerhatian dan temu bual dengan masyarakat tempatan di tiga wilayah selatan Thai berpandangan pergerakan sosial sewajarnya digunakan sebagai strategi untuk sampai kepada Kerajaan Pusat.
Selain itu, katanya, campur tangan negara jiran yang prihatin dan ingin melihat penyelesaian terbaik kepada majoriti Melayu Islam di selatan Thai juga amat diperlukan terutama dalam memberi idea serta menjadi orang tengah menghubungkan Melayu Islam di selatan Thai dengan Kerajaan Pusat di Bangkok.
Perkembangan semasa menyebabkan konflik yang berterusan antara kedua-dua pihak dan ruang untuk berkomunikasi atau berunding isu-isu penting seakan-akan tiada langsung.
Malah, ada sesetengah Melayu Islam yang mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Pusat juga nampaknya enggan meneruskan usaha 'berbicara' kerana merasakan dikhianati apabila aspirasi mereka tidak diambil peduli.
"Ramai yang saya temui mengharapkan rakyat dan Kerajaan Malaysia serta Indonesia akan menjadi jambatan merapatkan jurang komunikasi. Oleh itu, negara jiran perlu tahu apa yang sedang berlaku dalam pergerakan sosial serta aspirasi perjuangan mereka," katanya.
Maklum balas daripada peserta yang hadir pada majlis ceramah umum ialah diadakan lebih banyak kajian kerana isu selatan Thai adalah isu lama tetapi saling berkait kerana keadaan tidak menampakkan perubahan diharapkan bukan saja penduduk tempatan malah juga masyarakat dunia.
Ada juga yang mencadangkan untuk mendapatkan perhatian Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tetapi difahamkan penduduk selatan Thai lebih suka jika negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia untuk membantu kerana kedua-duanya lebih memahami situasi selain berkongsi budaya sama.
(Berita Harian Online, 4/1/2010)
No comments:
Post a Comment