Seorang pencari kerja hanya membuang masa hampir enam bulan apabila menerima mesej ‘minimum 3.0. Mungkin tak di short list’ setelah permohonannya sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi ditolak. Barulah beliau sedar yang namanya tidak pernah dimasukkan ke dalam senarai untuk dipanggil temuduga walaupun memilki ijazah sarjana. Sebaliknya keputusan akademik di peringkat sarjana muda lebih diutamakan, justeru kelayakan sarjana atau doktor falsafah diketepikan.
Kesedaran rakyat Malaysia untuk kembali ke universiti setelah bertahun-tahun bekerja menunjukkan peningkatan yang semakin menggalakkan. Keinginan mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah adalah tuntutan semula jadi manusia yang mahu berubah. Perkara ini disedari oleh kerajaan lalu empat buah universiti dilonjakkan sebagai universiti penyelidikan dengan menawarkan peluang dan tempat belajar di peringkat sarjana dan PhD. Kempen yang agresif dilakukan oleh keempat-empat universiti berkenaan untuk menarik seberapa ramai pelajar dari dalam dan luar negera datang belajar di tempat mereka.
Kepelbagaian kursus, kualiti pensyarah dan kemudahan pembelajaran ditingkatkan sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula institusi pendidikan tinggi bertaraf global.
Di samping itu pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan seperti peruntukan kewangan kepada pelajar yang mendapat tawaran belajar dimasukkan dalam Bajet 2009 lalu. Ia diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Inisiatif ini dilihat mampu melonjakkan minat mereka yang bekerja untuk kembali belajar dan menambah ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung dapat menambah kualiti modal insan dalam semua bidang di negara ini.
Kini terdapat 20 buah universiti awam dan berpuluh-puluh universiti dan institusi swasta yang sedang menawarkan pelbagai kursus. Keadaan seperti ini tidak pernah difikirkan apabila negara mengecap kemerdekaan dahulu. Dalam tempoh 50 tahun kita memiliki banyak insistitusi pengajian tinggi. Dengan bertambahnya bilangan pusat pendidikan tinggi, rakyat Malaysia mulai berlumba-lumba melengkapkan diri masing-masing dengan tahap pendidikan yang lebih baik kerana pelbagai sebab. Antaranya ialah bagi mendapatkan merit kenaikan pangkat, kenaikan gaji atau membina status sosial dalam kelompok perniagaan.
Dalam proses belajar, ada dalam kalangan pelajar sarjana dan doktor falsafah ini yang mula berminat dalam bidang akademik. Mungkin semasa di peringkat ijazah sarjana muda dahulu mereka tidak berfikir untuk menjadi tenaga akademik menyebabkan keputusan peperiksaan tidak begitu baik. Tumpuan pada hanya untuk mendapat kerja menjadikan CGPA mereka di bawah 3.0. Namun proses yang dilalui ketika bekerja telah memberi kesedaran kepada mereka untuk meningkatkan tahap ilmu dan kepakaran. Tempoh masa dua hingga empat tahun yang dilalui bagi mendapat sarjana dan PhD cukup untuk memberi pengalaman baru kepada mereka.
Tahap kematangan seseorang semakin bertambah, seiring dengan peningkatan umur dan tahap pendidikan serta proses yang dilalui ketika bekerja. Kadangkala tahap profesionalisme dan budaya kerja semakin baik apabila seseorang didedahkan kepada pengalaman-pengalaman hidup yang mencabar kerana dia kenal susah payah kehidupan. Di samping itu, kemahiran sosial dan komunikasi membantu kecemerlangan seseorang dalam bidang yang mereka ceburi.
Jika pihak universiti hanya mengambil keputusan peperiksaan sebagai syarat yang utama dan pertama sebagai kelayakan asas bagi jawatan pensyarah, ia merupakan nasib malang bagi pemohon yang tidak memiliki syarat tersebut. Apabila pengalaman dan buku-buku penerbitan tidak diambil kira, kelompok ini akan mula beralih ke sektor lain.
Gaji bulanan seorang pensyarah dengan gred 45 atau 51 tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan penjual laksa di siar kaki simpang masuk ke Masjid Sri Petaling yang berpendapatan RM10 ribu sebulan. Namun bagi mereka yang baru mendapat ijazah, memiliki pekerjaan yang baik adalah umpama lesen yang menjamin hidup dan masa depan.
Dalam hal ini, kadangkala pihak universiti perlu juga melihat pengalaman kerja, keupayaan menulis dan menerbit artikel dalam jurnal serta profesionalisme kerja sebagai kelayakan yang wajar diberi pertimbangan, bukan hanya bergantung pada ‘you dapat CGPA berapa?’
sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar.
ReplyDeleteana rasa Allah nak bagi kat anta yang lebih baik lagi.
kita yang Allah bagi sedikit kefahaman ini perlu utamakan positif dari negatif.
maaf ini pendapat ana.
Abd. Rahhim Abd. Wahab (ARAW)an_nahrainsg2@yahoo.com
sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar.
ReplyDeleteana rasa Allah nak bagi kat anta yang lebih baik lagi.
kita yang Allah bagi sedikit kefahaman ini perlu utamakan positif dari negatif.
maaf ini pendapat ana.
Abd. Rahhim Abd. Wahab (ARAW)an_nahrainsg2@yahoo.com
Ya, ini sebahagian daripada pengalaman rakan-rakan kita semasa cari kerja. Kita harap mereka juga bersabar, banyak berdoa dan tidak segan silu belajar. Pendapat en. Rahim sangat baik untuk dijadikan panduan.
ReplyDelete