Selepas tujuh buah gereja disimbah api petrol dan demonstrasi di beberapa tempat kerana tindak balas ke atas kebenaran menggunakan kalimah Allah kepada The Herald Chatolic Weekly, apa yang kita fikirkan? Adakah kita memfokuskan kepada keputusan mahkamah, atau keberanian pihak gereja membawa isu ini ke mahkamah, ataupun keharmonian masyarakat?
Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan berdasarkan kefahaman beliau. Sudah tentu beliau membuat kajian dan tafsiran ke atas perlembagaan negara sebelum membuat keputusan. Namun implikasi keputusan berkenaan tidak sahaja memberi kesan kepada kedua-dua pihak iaitu Kementerian Dalam Negeri dan gereja khatolik malah kesan besar ke atas persepsi dan prasangka antara kaum dan agama.
Agak lama masyarakat Melayu tidak diuji dengan isu-isu sensitif berkaitan agama selepas peristiwa Natrah di Singapura. Walaupun Natrah sudah meninggal dunia tetapi latar peristiwa itu sentiasa menjadi rujukan masyarakat apabila dikaitkan dengan agama. Walaupun terdapat beberapa isu yang dikatakan menjadi panas namun sehingga kini pihak berkuasa masih dapat mengawal keadaan. Antaranya, apabila pergaduhan di antara Melayu dan India di Kampung Medan dan Kampung Rawa, media mengawal keadaan dengan tidak membangkitkannya sebagai pergaduhan agama Islam dan Hindu, sebaliknya maklumat berkenaan dikawal.
Dalam kes penggunaan kalimah Allah ini, maklumat berkenaan tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kerajaan kerana perkembangan maklumat berlaku dengan pantas. Tindakan yang boleh dibuat ialah kerajaan memberi amaran dan pada masa yang sama menggunakan saluran media untuk memberi maklumat. Golongan yang tidak biasa dengan internet akan mudah menerima penerangan tetapi golongan muda dan laparkan maklumat, mereka akan berada berjam-jam di hadapan komputer untuk mencari maklumat. Semua saluran media sama ada pro pembangkang atau pro kerajaan, ia dilayari dengan penuh minat.
Sejak isu kalimah Allah, wujud tiga kelompok masyarakat yang jelas kecenderungan mereka. Pertama, kelompok yang membantah keputusan mahkamah. Tindakan kelompok ini ialah mengadakan demonstrasi dan menghantar memorandum kepada pihak yang difikirkan dapat menyelesaikan isu ini. Contohnya, demonstrasi di Masjid Negara dan serahan memorandum kepada Yang DiPertua negeri.
Kelompok kedua, golongan yang bersetuju dengan keputusan mahkamah. Mereka termasuk parti Pas dan pertubuhan bukan kerajaan. Dalam Pas, ada ahlinya yang seratus peratus bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.
Kelompok ketiga sangat istimewa. Mereka ini tidak peduli apa yang berlaku kerana yang penting ialah dapat cari makan dan ‘tok sah gaduh-gaduh.’ Kelompok ini wujud dalam semua bangsa dan agama.
Masyarakat Barat sentiasa cemburu dengan keharmonian rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Mereka kagum kerana kerajaan dapat menguruskan hubungan etnik dengan baik dan berkesan. Konsep pelbagai etnik ini tidak terdapat di Barat suatu masa dulu namun proses migrasi dan keperluan terhadap kebajikan sosial telah mengubah pola masyarakat di sana. Corrado Letta dalam buku ‘Malaysia-Europe: Strategic Partnership for the Pacific Century’ melihat hubungan etnik di Sabah dan Sarawak lebih baik berbanding Semenanjung Malaysia. Semua kaum di kedua-dua negeri itu dapat hidup dengan toleransi. Adalah biasa dalam sebuah keluarga ada adik-beradik yang beragama Islam dan kristian. Keadaan ini amat jarang di Semenanjung.
Bagi orang Islam, mereka faham kenapa kristian benar-benar ingin menggunakan kalimah Allah. Ianya adalah satu gerakan untuk mengelirukan masyarakat, sama ada Islam atau kristian, kerana amat mudah memasukkan elemen-elemen propaganda ketika keadaan mengelirukan. Sama ada lebih ramai orang mengenali Islam atau kristian, ia bergantung pada sejauh mana propaganda itu disebarkan.
Keadaan bertambah rumit apabila pihak kerajaan terpaksa memberi penerangan khusus kepada duta-duta asing perkembangan senario terkini apabila gereja diancam. Pihak polis pula terpaksa membuat tugasan khas dengan menempatkan anggota polis di rumah-rumah ibadat kristian dan Islam.
Sekiranya pergaduhan kaum meletus semula di Malaysia, siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Adakah pelampau-pelampau agama yang bertegas hendak menggunakan kalimah Allah atau mereka yang membuat demonstrasi atau penulis-penulis blog yang sentiasa cuba melariskan blog masing-masing dengan isu-isu sensasi?
Memetik sebahagian daripada buku Strategi dan Kiat Dakwah Fardiyah, Syatibi Center, Indonesia dalam muka surat 33 yang berbunyi, 'Sama halnya dengan orang-orang Nasrani yang ingin menyembah Allah tetapi tidak memiliki ilmu, sehingga mereka menjadi tersesat dan divonis Allah sebagai orang-orang yang sesat (akhir surah Al-Fatihah).'
No comments:
Post a Comment