Menyambut tahun 2010 dalam minggu ini terasa seperti berada dalam persekitaran yang penuh perlakuan jenayah. Dua kejadian pembunuhan yang melibatkan hubungan kekeluargaan menggemparkan seluruh negara.
Kes pertama berlaku di Taman Pinggiran Ukay, Ampang di mana seorang eksekutif wanita, Fazlina Ahmad, 39 tahun dibunuh dan mayatnya disimpan dalam almari rumah. Ketika ditemui, mulut dan hidung mangsa ditampal dengan pita pelekat. Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati kerana lemas. Orang yang tersangka dalam kes ini ialah suaminya sendiri iaitu Mohafri Mohamed, 37 tahun.
Kes kedua melibatkan empat nyawa yang dibunuh dengan kejam. Media melaporkan ada di antara mayat berkenaan yang putus kepala dan pisau tercacak di dada. Pembunuhan ini berlaku di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Mangsa-mangsa berkenaan ialah Atan Daud, ditemui dengan tangan kiri yang sudah putus, Sufiah Katas, putus tangan kanan, Siti Khadijah Ismail, pisau tercacak di dada dan Ismail Awang, tanpa kepala. Polis telah berjaya menahan individu yang disyaki dan dikatakan ada perkaitan saudara dengan keempat-empat mangsa berkenaan.
Kita tidak tahu berapa ramai lagi yang menjadi mangsa pembunuhan kejam saudara sendiri. Barangkali esok atau lusa kita akan terdengar jiran-jiran rumah ada yang mengalami nasib yang sama seperti kedua-dua kes tersebut.
Kenapa masyarakat kita mesti dipaksa menerima berita-berita dan tragedi yang menyayat hati ini? Apakah kita tidak mampu untuk membentuk sebuah masyarakat yang bebas daripada jenayah dan pembunuhan seterusnya menjalani hidup dengan amai dan damai?
Saya mengajukan persoalan ini kepada seorang pensyarah ketika kami makan tengah hari bersama.
‘Tidak ada daulat,’ katanya.
‘’Maksud Dr,’ tanya saya untuk mendapat kepastian.
‘Ye lah, kurang daulat. Kalau ada daulat tentu tak jadi macam-macam,’ balasnya.
Barangkali beliau bersetuju dengan pandangan Ibnu Khaldun yang menyatakan kedaulatan menyebabkan rakyat sesebuah negara berusaha untuk hidup aman damai, tenang dan santai.
Saya fikir pendapatnya logik tetapi kurang bersetuju.
Bagi mengulas berbagai-bagai kejadian dalam masyarakat hari ini, saya lebih cenderung melihat dari perspektif manusia sebagai individu dan unit terkecil dalam masyarakat. Individu adalah punca kepada semua perkara yang baru.
Ibnu Taimiyah menerangkan perkara ini dengan panjang lebar dalam buku ‘Amalan hati: menjernihkan jiwa menyegarkan amal’ iaitu di dalam diri manusia terkumpul amal kebaikan yang mengandungi pahala dan amal kejelekan yang mengadungi dosa. Maksud Ibnu Taimiyah sangat mudah iaitu kebaikan-kebaikan amalan seseorang pasti meruntunnya ke arah kejayaan hidup dan mendapat redha Allah swt. Orang yang mengakui kebaikan dan kebajikan tentu sekali tidak akan menzalimi diri sendiri. Dia tidak sekali-kali mencela, mencedera atau membunuh orang lain.
Ibnu Khaldun dalam buku Mukadimah menyatakan dengan panjang lebar bagaimana masyarakat kota dan bertamadun dipenuhi dengan orang-orang yang berakhlak rendah. ‘Orang yang sudah menikmati kemajuan tidak berupaya secara bersendiriannya mengurusi keperluan hidupnya.’
Maksud Ibnu Khaldun ialah kesentosaan hidup yang dinikmati menyebabkannya terlalu lemah. Kemewahan dan kesenangan hidup menjurus penduduk kota ke dalam kebinasaan. Barangkali peningkatan kes jenayah, dadah, bunuh dan rogol adalah disebabkan kerana masyarakat kini dipenuhi oleh orang-orang yang berakhlak rendah.
No comments:
Post a Comment