Thursday, January 14, 2010

Mengurus kemarahan (2)

Kaedah Memohon Maaf

Cara atau bentuk yang dipilih semasa meminta maaf adalah refleksi daripada peri pentingnya meminta maaf. Sebagai contoh, sesetengah orang lebih selesa meminta maaf secara berhadapan atau bersemuka dan sesetengahnya pula secara bertulis. Bagaimanapun terdapat lima cara bagi kita untuk meminta maaf :

1. Bersemuka

Cara bersemuka adalah kaedah yang terbaik kerana ia memberi peluang kepada orang yang bersalah untuk bertemu secara langsung dengan saingnya dan juga memperlihatkan keikhlasan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kaedah ini sangat berkesan jika kedua-dua pihak dapat berfikir rasional dan memahami keperluan pertemuan berkenaan dan ia tidak lagi berkesan jika pihak mangsa mempunyai keinginan untuk membalas dendam dan mencetuskan konflik yang lebih kompleks dan berpanjangan.

2. Bertulis

Cara ini sangat sesuai jika orang yang hendak dimaafkan itu berada jauh. Meminta maaf secara bertulis amat baik jika maaf itu berpunca daripada suara hati kerana ada di kalangan kita tidak mampu meminta maaf dengan kata-kata tetapi mampu berbuat demikian dengan lebih berkesan dan selesa dengan menulis. Tambahan pula menulis maaf dapat mengurangkan tekanan
dan memberi ruang kepada orang yang hendak memberi maaf memikirkan secara mendalam apakah tindakan seterusnya.

3. E-Mel

Kaedah ini adalah pilihan bagi memohon maaf secara bertulis. Berbanding surat, maaf secara e-mel dapat menjimatkan masa dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar e-mel.

4. Rakaman

Bagi mereka yang tinggal berjauhan dan susah untuk melahirkan kemaafan, merakam maaf adalah satu langkah alternatif yang bijak. Cara ini memberi ruang untuk rakaman tersebut diedit sehinggalah puas. Nada dan intonasi suara juga boleh mempengaruhi pihak yang satu lagi untuk menilai keikhlasan peminta maaf.

5. Telefon

Memohon maaf secara telefon ini sangat kurang keberkesanannya. Pemberi maaf sukar hendak membuat keputusan kerana tidak bersedia untuk memberi maaf dalam masa yang singkat. Dia juga tidak diberi peluang untuk membuat keputusan secara jujur dan tujuan memohon maaf melalui telefon tidak akan mencapai objektifnya.

Kenapa Susah Untuk Memberi Maaf?

Terdapat halangan-halangan besar yang membantutkan proses memberi maaf : marah, takut, bangga diri, buruk sangka, keras hati dan salah tafsir.

1. Marah

Rasa marah adalah satu manifestasi yang sangat kuat pengaruhnya dan boleh digunakan dalam pelbagai cara – merangsang perubahan, menguatkan keazaman dan melindungi diri daripada dan kekalahan dan kesakitan.

Kemarahan sinonim dengan ungkapan “tiada maaf bagimu” yang sedikit sebanyak berpunca daripada sukarnya memberi maaf. Kadangkala api kemarahan sentiasa dibayangi dengan fikiran hendak membalas dendam.

2. Takut

Sesetengah orang enggan berfikir tentang sesuatu kejadian kerana akan menyebabkan mereka sedih dan kecewa hingga menyukarkan tumpuan kepada memberi maaf. Ketakutan itu menyebabkan mereka fikir ia akan membuka kembali luka lama dan kesedihan yang dialami akan berpanjangan.

Takut juga menghalang seseorang daripada memberi maaf kerana jika mereka percaya bahawa maaf dapat menghilangkan duka lama, mereka mungkin akan dikecewakan sekali lagi. Kebanyakan daripada mereka yang sukar memberi maaf ini terdiri daripada kurangnya kepercayaan bahawa kemaafan akan memberi manfaat dalam hidup mereka.

3. Bangga Diri

Sama seperti bangga diri dapat melahirkan simpati dan memberi maaf secara ikhlas, bangga diri juga boleh menjadi halangan untuk memberi maaf. Bangga diri bagi sesetengah orang dapat mengelakkan gambaran sebenar kelemahan dan kesalahan diri. Bangga kerana telah dapat mengecewakan orang lain dan gembira dengan keadaan tersebut mungkin menjadikan sesuatu perhubungan akan lebih sukar dan menyukarkan.

4. Keras Hati

Bagi mereka yang keras hati, sekali salah akan salah selamanya dan tidak ada lagi kepercayaan. Jadi, biar apa pun cara yang dilakukan untuk memohon maaf, pesalah berkenaan tidak perlu dilayan dan tidak perlu dimaafkan. Pada mereka, sama ada baik atau buruk, tidak ada kawasan kelabu, samara-samar ataupun peluang kedua.

5. Salah Tafsir

Barangkali salah tafsir adalah halangan yang paling besar untuk memberi maaf. Membuat keputusan dengan tergesa-gesa dan terdesak bukan hanya membuat keputusan yang tidak tepat tetapi menunjukkan kurangnya kematangan dalam berfikir dan bertindak. Apa pun yang terjadi, hakikatnya tidak ada orang yang sempurna kerana ada-ada saja kesilapan yang akan dilakukan sehinggalah nyawa terpisah daripada jasad.

Erti Kehidupan

Persoalan tentang erti kehidupan ada nilai dan kepentingannya hanya jika kita meninjau kembali perkaitan di antara sistem kejadian manusia dan sunnatullah. Apabila kita mengambil pendekatan ini, amatlah mudah untuk kita melihat perkaitannya. Sunnatullah adalah asas kepada setiap kehidupan kerana setiap kehidupan akan cuba memenuhi segala keperluannya.

Untuk hidup bermakna kita perlu membangun dan berkembang ke arah kesempurnaan dan keunggulan. Firman Allah swt dalam Surah Az-Zariat ayat 56 yang bermaksud, “Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu, Aku tidak sekali-kali menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh”.

Kesimpulan

Memberi maaf, meminta maaf dan mengharapkan kemaafan dapat memberi kesan yang sangat hebat kepada seseorang. Jika orang yang kita maafkan tersebut tersentuh hatinya dengan maaf kita, ia akan membuatkan orang berkenaan memikirkan berkali-kali tentang kehebatan maaf. Ia juga akan membuatkannya berfikir tentang siapa lagi yang perlu baginya untuk meminta maaf dan memaafkan. Seterusnya merangsang dirinya untuk berubah menjadi seorang yang mudah memberi dan menerima maaf biar apapun yang berlaku ke atasnya kerana keredhaan Tuhan adalah lebih utama.

No comments:

Post a Comment